BARU-BARU ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021. Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 ahli Parlimen.
RUU tersebut adalah suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana-mana orang yang diganggu secara seksual. Selain itu, RUU tersebut akan turut menubuhkan Tribunal bagi Antigangguan Seksual, meningkatkan kesedaran tentang gangguan seksual dan mencegah ia berlaku serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.
Perkembangan terbaru ini memberi satu isyarat positif bahawa semua pihak dalam negara kita tidak akan sesekali bertolak ansur dengan isu melibatkan gangguan seksual. Namun terus terang dikatakan, Malaysia sebenarnya perlukan sebuah peruntukan undang-undang khusus bagi membendung dan menghentikan sebarang jenis gangguan yang boleh berlaku kepada mana-mana pihak dan bukan hanya mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung dan menghentikan gangguan berbentuk seksual atau lebih dikenali umum sebagai gangguan seksual sahaja.
RUU Antigangguan Seksual 2021 hanya dapat memberi tumpuan terhadap salah laku ataupun gangguan yang berbentuk seksual. Ia tidak dapat membendung dan menghentikan salah laku dan gangguan selain daripada yang berbentuk seksual. Sekiranya RUU Antigangguan Seksual 2021 ini dikuatkuasakan kelak, dibimbangi ia tidak sempurna dan lengkap kerana terbatas bagi membendung dan menghentikan gangguan berbentuk seksual sahaja.
Terdapat pelbagai jenis salah laku dan gangguan boleh berlaku kepada orang ramai di luar sana yang memiliki kesan sama teruk dengan gangguan seksual. Semua jenis gangguan yang boleh berlaku ini perlu dikenal pasti dan diatasi dengan lebih berkesan melalui sebuah peruntukan undang-undang khusus supaya tiada pihak berterusan melakukan sebarang jenis salah laku ataupun gangguan kepada pihak lain.
Apa maksud gangguan? Gangguan boleh ditakrifkan sebagai sebarang jenis perbuatan ataupun perkataan yang boleh menyakiti hati dan perasaan seseorang. Ia juga boleh merangkumi tindakan fizikal terhadap diri mangsa. Gangguan ini boleh berlaku secara lisan, penulisan ataupun melalui sebarang jenis tindakan yang boleh mengundang perasaan tidak puas hati dan tidak selesa kepada orang lain.
Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi moden pada masa kini, gangguan ini juga boleh berlaku secara dalam talian. Gangguan-gangguan ini boleh dilakukan sekali-sekali dan ia juga boleh berlaku secara kerap. Apa yang paling penting, gangguan-gangguan ini memberi kesan negatif kepada orang yang terpaksa menghadapi masalah gangguan berkenaan sama ada secara fizikal, emosi atau mental. Antara gangguan-gangguan yang boleh berlaku kepada orang ramai adalah berbentuk seksual seperti yang hangat dibincangkan pada ketika ini di negara kita.
Namun begitu, perlu diingatkan terdapat juga pelbagai jenis gangguan lain yang boleh memberi kesan buruk yang sama dengan gangguan seksual terhadap diri mangsa yang diganggu. Antara gangguan-gangguan lain yang ada adalah berbentuk fizikal seperti mencubit, menampar, menendang, meludah dan lain-lain lagi.
EJEKAN TUBUH
Terdapat juga gangguan peribadi seperti mengeluarkan kata-kata kesat ataupun perkataan yang menghina dan menjatuhkan reputasi dan maruah mangsa. Ia juga boleh meliputi salah laku ataupun gangguan menghendap dan mengintip. Gangguan jenis ini juga boleh merangkumi perbuatan ejekan tubuh (body shaming). Ejekan tubuh ialah perbuatan mencela, mengejek dan menghina bentuk atau penampilan fizikal mangsa.
Terdapat juga gangguan berbentuk diskriminasi. Gangguan diskriminasi ini boleh dilakukan terhadap diri mangsa kerana faktor usia, latar belakang, warna kulit, bangsa, agama, tahap intelek atau pendidikan, kebolehan untuk menguasai sesuatu jenis bahasa dan lain-lain lagi. Terdapat juga gangguan berbentuk psikologi di mana sebarang jenis perbuatan ataupun kata-kata kesat yang boleh memberi impak mendalam terhadap emosi dan mental mangsa. Sebarang jenis aktiviti pembulian termasuk buli siber juga adalah gangguan yang perlu dibendung dan dihentikan dengan segera.
Usaha bagi membendung dan menghentikan gangguan seksual tidak akan berjaya dilakukan sekiranya kita masih membiarkan banyak lagi gangguan dilakukan dalam masyarakat. Kita tidak boleh pisahkan gangguan berbentuk seksual ini dengan semua jenis gangguan yang ada di luar sana kerana kesemua jenis gangguan ini memberi kesan negatif yang sama terhadap mangsa.
Undang-undang sedia ada dalam negara juga dilihat tidak berupaya dan mencukupi bagi membendung dan menghentikan semua jenis gangguan ini. Oleh yang demikian, wajar sekiranya sebuah akta khusus yang boleh melarang semua jenis gangguan ini diwujudkan di negara kita. Dengan adanya sebuah akta khusus ini, tiada pihak di luar sana yang berani untuk melakukan sebarang jenis gangguan kepada orang lain. Melalui undang-undang khusus ini juga, mangsa dapat menggunakan saluran undang-undang yang lebih berkesan bagi menuntut sebarang jenis pampasan dan melindungi diri mereka daripada sebarang jenis gangguan.
Sebelum ia dikuatkuasakan, RUU Antigangguan Seksual 2021 perlu dilihat dan dinilai semula dengan memperluaskan skop definisi atau maksud gangguan itu sendiri dan bukan sekadar memberi tumpuan terhadap gangguan berbentuk seksual sahaja. Kerajaan boleh membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi melihat cadangan yang telah dikemukakan di atas dengan lebih teliti.
Pada masa sama, rujukan juga boleh dilakukan dengan melihat kepada peruntukan undang-undang yang telah diwujudkan oleh negara-negara lain seperti Harassment Act 1997 di New Zealand dan Protection from Harassment Act 1997 di United Kingdom yang meliputi pelbagai jenis aspek gangguan dan bukan hanya sekadar fokus terhadap gangguan berbentuk seksual. – UTUSAN
DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).










