Peritnya bila minyak masak ‘kering’

Peritnya bila minyak masak ‘kering’

Minyak masak paket
STOK minyak masak dilihat seolah-olah tidak pernah cukup untuk menampung permintaan rakyat tempatan. – UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA turun dari kereta untuk membeli sebotol air bagi menghilangkan dahaga, kelihatan mulut seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terkumat-kamit memperkatakan sesuatu selain raut mukanya sedikit penat selepas keluar dari sebuah kedai runcit. Raut wajah penuh risau itu terus diperagakan oleh kanak-kanak berkenaan walaupun dia berhenti rehat buat seketika waktu di atas kerusi batu yang terdapat di hadapan premis berkenaan.

Dengan berani, saya bertanya kepada remaja berkenaan mengenai kelakuan ‘pelik’ yang ditunjukkan itu. Dia kemudian melontarkan patah kata penuh sayu, “Minyok peket habih belako doh bey, nok patoh kaki gateh basikal.” (Minyak masak peket sudah habis semuanya, nak patah kaki kayuh basikal)

Cerita kanak-kanak itu lagi, lebih lima buah kedai runcit yang sudah dia jelahi untuk mendapatkan minyak masak peket sebagaimana dipinta oleh ibunya. Lebih mengejutkan kata kanak-kanak itu, ada peniaga yang membuat syarat minyak masak peket perlu dibeli dengan barangan lain.

Itu sebahagian kisah rakyat di bawah yang dilihat ‘perit’ untuk mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi selepas bahan mentah itu mulai ‘kering’ di pasaran sejak beberapa minggu sebelum ini. Meskipun Malaysia merupakan pengeluar kelapa sawit utama dunia, namun stok minyak masak dilihat seolah-olah tidak pernah cukup untuk menampung permintaan rakyat tempatan.

TAMAK

Sikap ‘tamak’ segelintir individu yang mahu menjadi ‘kaya’ sekelip mata menerusi aktiviti penyeludupan bahan mentah itu ke negara jiran menjadi salah satu punca berlakunya ketirisan ini.

Selain itu, permintaan yang terlalu tinggi daripada penduduk di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala melonjakan lagi ‘nafsu’ tauke minyak membawa keluar barangan subsidi negara itu.

Membuatkan tauke bertambah ‘mabuk’ apabila harga minyak masak peket bersubsidi dijual pada harga RM6.50 hingga RM7 di negara Gajah Putih itu berbanding hanya RM2.50 bagi setiap sekilogram bagi pasaran tempatan. Difahamkan, golongan tauke minyak masak peket ini mampu ‘melarikan’ sekurang-kurang 8,000 kilogram bahan mentah itu ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok. Hasil jualan ke Thailand itu memberi keuntungan sekitar RM4 bagi sekilogram dengan perkiraan mudah, tauke mampu menjana pendapatan bersih sehingga RM25,000 setiap bulan tanpa perlu bermandi peluh.

Siapa tidak mahu meraih laba untung dengan mudah tanpa perlu bersusah payah? Hanya keluarkan modal dan beri upah kepada ‘tentera semut’ untuk mengangkut bahan mentah itu keluar dengan selamat ke Thailand.

RUGI RM4B

Dalam sidang akhbar minggu lalu, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, kerajaan mengalami kerugian RM4 bilion akibat penyeludupan barangan subsidi ke negara jiran.

Jumlah peruntukan itu agak besar buat negara dan ia mampu memberikan lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Namun, bagi golongan tamak, mereka pastinya tidak mempedulikan perkara tesebut asalkan poket mereka sentiasa tebal dengan duit. Bak kata raja lelong, untung pusing dunia, rugi biar tauke sakit kepala.

DARAH DAGING

Kerja-kerja penyeludupan barangan subsidi dari Malaysia ke Thailand bukan perkara baharu dan ia sudah berlaku sejak puluhan tahun lalu. Jarak sempadan yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok berkeluasan kurang 50 meter merancakan lagi aktiviti ini. Malah penyeludupan sudah menjadi sebahagian daripada darah daging dalam kalangan penduduk sempadan terutama di Pengkalan Kubor (Tumpat), Rantau Panjang dan Bukit Bunga (Jeli).

Tidak cukup itu, ada dalam kalangan penduduk di negara ini menjadikan penyeludupan sebagai ‘lubuk’ rezeki menyara keluarga sehinggakan kerjaya tersebut diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Kerjanya mudah, terima arahan dan angkut barangan itu ke pangkalan haram yang terdapat di sepanjang sungai. Apabila semuanya selesai, mereka akan terus diberikan upah sebagaimana dijanjikan.

Lagi banyak pergerakan, maka berlipat kali gandalah upah yang diterima oleh penyeludup. Situasi itu menjadi salah satu cabaran buat pasukan penguat kuasa dan kerajaan dalam membendung kegiatan ini. Ditambah pula dengan kerakusan tauke meraih pendapatan mudah menerusi aktiviti penyeludupan barangan subsidi tersebut. Tidak cukup dengan itu, golongan penyeludup boleh dikatakan sudah masak dengan setiap laluan di sepanjang sempadan selain mempunyai ‘pasukan tinjau’ yang akan memaklumkan pergerakan pihak berkuasa.

SAMPAI BILA?

Semuanya bergantung kepada kerajaan. Jika kerajaan serius mahu mengekang kegiatan ini, mereka boleh menggunakan segala peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan. Kita mempunyai pelbagai akta yang boleh disabitkan kesalahan ke atas pelaku sekiranya ditangkap melakukan aktiviti ini. Persoalannya, adakah pendekatan undang-undang secara ‘total’ ini mampu mengatasi masalah tersebut?

Perkara ini dilihat boleh diatasi jika semua pihak mengambil tanggungjawab dan meletakkan kepentingan negara di hadapan berbanding peribadi. Nescaya, jika sikap jujur dan tanggungjawab ada pada diri setiap ahli Keluarga Malaysia bermula dari sekecil anak sehingga ke orang nombor satu negara, masalah ketirisan ini mampu diatasi.

Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada kita semua. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.
Ko guano? – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN