Konsep kekeluargaan Barat yang masih karut

Konsep kekeluargaan Barat yang masih karut

DALAM Islam, peranan dan tanggungjawab bapa sangat jelas iaitu sebagai pemimpin, menyediakan ekonomi keluarga, pelindung dan pendidik. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENA tidur belum hilang daripada kelopak mata. Tilam dan bantal mendodoi, memujuk untuk terus mendayung dalam indah cereka mimpi yang asyik tanpa penamat. Hari masih sejuk dan gelap. Namun, paluan pada pintu kamar yang berterusan dengan suara lembut lagi tegas.

“Nak, bangun subuh.” Azan belum berkumandang, namun Ayah sudah bangun lebih awal. Ceria menyambut pagi dengan jubah dipakai kemas. Muka bersih dan sedikit basah dengan air wuduk. Setelah mengejutkan saya, terus dia bergegas ke masjid untuk berjemaah mendirikan tunjang agama.

Suara ayah sering menjadi panduan dan kompas diri ini agar membuat keputusan yang lebih baik. Mengimbau kembali perwatakan dan bimbingan ayah, saya sering terkenang pada surah Tahrim 66:6 yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Lazimnya dapat difahami, ayat ini sebagai bentuk perintah kepada bapa untuk menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka. Namun jika dikupas lebih mendalam, Islam menyeru bapa untuk memelihara diri mereka terlebih dahulu. Mempersiagakan diri mereka dengan ilmu dan menunjukkan perwatakan yang lebih baik. Sebagai contoh, apabila saya dikejutkan oleh ayah untuk solat subuh, sudah tentu timbul perasaan hormat dan segan kepada ayah yang sudah lebih awal bangun dan bersiap untuk ke masjid tatkala air liur basi saya masih melekat di celah gigi.

Dalam Islam, peranan dan tanggungjawab bapa sangat jelas. Menurut satu kajian oleh Baharith dari Universiti Ummul Qura telah menulis tentang peranan bapa menurut Islam. Tulisan ini bertajuk Mas’uliah al-Ab alMuslim Fi Tarbiyah Al-Awlad Fi Marhalah At-Tufuliyah dan telah menggariskan beberapa peranan bapa seperti sebagai seorang pemimpin, menyediakan ekonomi keluarga, sebagai pelindung dan sebagai pendidik.

KUNO

Sebaliknya di Barat, kajian kebapaan sejak sebelum 1970-an adalah amat sedikit sekali. Menurut sebuah pusat di Amerika Syarikat, iaitu Pusat Statistik Pendidikan Nasional (NCES) menjelaskan bahawa peranan bapa hanya sebagai pencari nafkah atau bertanggungjawab terhadap keperluan ekonomi semata-mata. Bahkan pada ketika itu, peranan bapa tidak sangat ditonjolkan sebagai pendidik dalam sesebuah keluarga berbanding ibu.

Walaupun kajian baharu menunjukkan perkembangan pencerahan kepentingan bapa dalam pembesaran kanak-kanak, ia lebih memberi penekanan kepada kesan negatif bapa yang tidak hadir dalam hidup anak mereka. Di Barat, gerakan pluralisme jantina yang memperjuangkan jantina hanya sebagai binaan sosial telah memberikan impak kepada norma peranan jantina yang sudah lama wujud dalam fabrik sosial masyarakat termasuklah peranan ibu bapa dalam penjagaan kanak-kanak.

Sebelum ini, kebanyakan sistem perundangan lebih mengutamakan hak jagaan kanak-kanak diberikan kepada ibu dalam kes penceraian atas kebergantungan kepada norma peranan ibu sebagai penjaga utama kepada kanak-kanak dan satu anggapan bahawa jagaan ibu adalah lebih baik bagi kepentingan kanak-kanak tersebut. Kini dengan panji kesaksamaan undang-undang (legal egalitarianism), golongan bapa mendakwa anggapan tersebut adalah satu diskriminasi yang bergantung kepada norma peranan jantina yang kuno dan tidak lagi relevan di ambang kebebasan pluralisme jantina.

ANAK YATIM

Dr. Daniel Amneus seorang penulis yang sering dirujuk oleh Pejuang Hak Bapa di Barat, dalam ungkapan pengenalan buku The Case for Father Custody menyatakan, sistem keluarga yang diketuai oleh wanita telah mencipta gelandangan dengan menggalakkan wanita untuk bergantung kepada sistem kebajikan dan membiak anak yatim yang lapan kali ganda lebih berkemungkinan menjadi delinkuen. Ini disokong oleh satu kajian di Universiti British Columbia yang menyatakan ketiadaan peranan bapa dalam kekeluargaan menyebabkan 70 peratus pencapaian rendah akademik anak-anak dalam keluarga terjejas dan berpotensi melakukan tindakan negatif dan jenayah.

Menarik untuk kita membuat perbandingan kajian kebapaan yang dijalankan di Barat yang sudah tentu lebih dibina atas dasar falsafah dan epistemologi ilmiah Barat yang berbeza dengan Islam kerana sumber kajian Islam adalah berdasarkan wahyu dan ijtihad (pemikiran) manusia serta penyelidikan. Perbandingan ini menunjukkan perbezaan yang ketara di mana bagi Islam, tanggungjawab dan peranan ibu bapa jelas dinyatakan dan digalas di atas satu fakta kebenaran yang tidak akan berubah.

Di Barat pula, peranan ibu bapa sering dibincangkan dalam konteks perbalahan antara jantina dengan anggapan bahawa masyarakat asalnya bersifat patriaki (patriarchal). Kini dengan kewujudan kebebasan pluralisme jantina, kecelaruan itu makin berganda.

Mungkin sebagai masyarakat, kita seharusnya tidak gelojoh untuk melacurkan jati diri untuk menerima kewibawaan dan konsep kekeluargaan Barat yang masih dilanda polemik kekarutan. – UTUSAN

PENULIS ialah seorang peguam litigasi yang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN