PKR tidak pernah ‘cuti’

PKR tidak pernah ‘cuti’

ABDULLAH SANI ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

MESKIPUN tumbang selepas ‘Langkah Sheraton’, jentera PKR dikatakan tidak pernah berehat dan terus menyantuni rakyat.
Walau telah melalui siri ‘pengkhianatan’ diikuti kekalahan parti itu di medan pilihan raya, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, DATUK ABDULLAH SANI ABDUL HAMID terus mengangkat agenda reformasi.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan jurugambar, AFIQ RAZALI bersama Abdullah Sani yang juga Ahli Parlimen Kapar dan bekas pemangku Presiden Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Klang, Selangor, baru-baru ini.

SUMPAH KERAMAT PKR
PKR adalah parti reformasi. Kita tidak mempunyai garis panduan untuk turun bertugas. Pada hari kita menang, kita sudah turun padang.

Dalam konteks PKR, bermula dengan pegang jawatan dalam PKR itu maksudnya telah berlaku sumpah keramat dan kita telah ada pengakuan daripada kepimpinan untuk melakukan sumpah taat.

Tiada cuti untuk kami dan begitulah didikan Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa memikirkan kebajikan rakyat yang telah mempercayai kita.

Untuk menjadi wakil rakyat, kita lalui pemantauan yang luar biasa apabila kita berada di bawah pimpinan PKR. Kita lantang di Dewan tetapi perlu rasional dan mampu bercakap perkataan baik dengan rakyat.

WAN AZIZAH MEMIMPIN MELALUI TELADAN
Ketika bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerajui kami, pesanan beliau sering mengaitkan tanggungjawab seorang pemimpin yang telah dipilih rakyat. Itu merupakan tanggungjawab kita dengan Pencipta kita.

Wan Azizah sangat serius apabila menyampaikan pesanannya bahawa rakyat telah memilih pemimpin mereka dengan harapan, maka setiap tanggungjawab harus dilangsaikan.

Saya sentiasa tersentuh kerana beliau adalah presiden wanita ketika itu yang tidak kurang hebatnya dengan yang lain.

SEDIA DENGAN PRU15
Pendapat peribadi saya, memang sudah sampai masanya untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) supaya kestabilan boleh dikembalikan tetapi adakah kita sudah mengambil kira keadaan Covid-19, keselamatan rakyat, ekonomi negara, pendidikan dan sumbangan terhadap pekerjaan?

Selesaikan semua persoalan ini dan selepas itu baru kita bercakap tentang PRU15. Akta Anti Lompat Parti perlu diselesaikan dahulu supaya tiada ruang untuk memudaratkan mandat rakyat kerana sebab itu juga rakyat meluat dengan politik.

TAWAR DIRI NAIB PRESIDEN
Apa yang membolehkan saya berkeyakinan untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR kerana merasai bahawa saya mewakili rakyat yang kebanyakannya adalah golongan pekerja. Melihat negara kita yang telah dinilai dengan kepimpinan sejak enam dekad lalu, kita mendapati mereka (kerajaan) tidak fokus pendekatan hak pekerja.

Saya yang pernah berada dalam pimpinan MTUC memberikan sedikit kekuatan untuk saya memberanikan diri bertanding kali ini. Belum ada dalam sejarah parti yang menunjukkan pemimpin kesatuan pekerja dapat tergolong dalam kelompok pemimpin tertinggi parti.

Tuntutan dan kebolehan untuk mengembalikan hak pekerja perlu ada atas asas dasar yang jelas. Perlu disediakan kerangka yang tepat kerana sebelum ini tidak begitu.

PRESTASI TERGUGAT?
Masa pilihan raya diadakan itu tidak langsung membantu dukungan terhadap demokrasi. Ia berlaku dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tidak mampu untuk berjumpa dengan orang dan mempunyai undang-undang yang ketat.

Jika kita lihat di kedua-dua pilihan raya negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor, peratusan keluar mengundi adalah rendah. Jangan dianggap ini sebagai unjuran bahawa parti ini tidak diterima.

Kita lihat dengan kehadiran PKR setelah berlakunya ‘Langkah Sheraton’, kita nampak pengisian ahli PKR bertambah sehingga hampir setengah juta. Kalau kita tidak diterima, mana mungkin keahlian kita bertambah?

Ini dapat dibuktikan melalui angka dan data. Pada ketika ini, jumlah ahli kita melebihi 1.2 juta orang malah merupakan parti kedua terbesar selepas UMNO. Kekalahan itu perlu dilihat menerusi gambaran yang lebih besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×