SEKALI lagi saya diserang bertubi-tubi di saluran rasmi TikTok oleh sebahagian guru dan mereka yang tidak bersetuju dengan kritikan yang saya lontarkan ke atas segelintir golongan itu yang suka merekod telatah anak murid serta beraksi di depan kamera sewaktu dalam bilik darjah.
Rata-rata marah kerana mencadangkan agar guru dilarang membawa masuk telefon bimbit ke dalam kelas kerana kononnya langkah sedemikian kembali ke zaman lampau sedangkan gajet tersebut sangat diperlukan untuk tugasan tertentu. Cadangan tersebut sebenarnya sekadar perli kerana selama ini kita marahkan para pelajar yang membawa masuk telefon bimbit ke dalam kelas.
Namun pada hari ini, kita pula boleh lihat guru yang sibuk menggunakan telefon bimbit mereka, merakam telatah murid lalu dikongsikan ke dalam media sosial. Itu yang kita tidak setuju. Kadang-kadang telatah yang dirakam sebenarnya memalukan murid itu sendiri dan sekarang ada trend baharu, iaitu guru merakam kesusahan murid.
Kalau blur (mengaburkan) wajah murid masih boleh diterima, ini tidak, habis dirakam semuanya.
Lebih jelek lagi, ada guru wanita sibuk menyanyi dan menari. Sebahagian netizen mengatakan kononnya itu cara untuk mengajar kanak-kanak. Eh, pelik pula, ada sebahagian video tersebut tidak ada pun murid, tengok guru itu sahaja sibuk menyanyi. Oh ya, satu lagi. Kalau aksi itu tujuannya untuk mengajar kanak-kanak, lalu mengapa ia disebarluaskan dalam media sosial?
Guru lelaki muda pun tidak terlepas juga, acah-acah kononnya handsome (kacak) dan jambu (lawa). Aduhai, apa sudah jadi? Dahulu kita merintih dengan sikap para pelajar yang semakin hanyut, tapi sekarang guru pula yang sudah hanyut? Yang selalu buat perkara-perkara sebegini biasanya guru muda. Guru veteran majoriti besar tidak bersetuju pun. Malangnya, disebabkan tindakan guru muda ini, habis terpalit pada semua.
SELEBRITI
Kepada ibu bapa yang tidak suka gambar atau video anak anda dirakam dan disebarkan, jangan teragak-agak untuk mengambil tindakan. Jangan sesekali beri peluang pada mereka mengambil kesempatan ke atas anak anda untuk menjadi terkenal.
Ada guru yang betul-betul faham bila nak rekod dan bila tidak boleh, seperti segelitintir guru selebriti yang membuat video-video mengajar di luar waktu kelas. Itu tidak apalah, kita sokong.
Guru sangat disanjungi dan disayangi. Disebabkan kasih dan sayang kepada guru, kita kena tegur mana yang perlu. Bukan ada maksud untuk menghina atau merendah-rendahkan. Takkanlah para guru boleh merintih dengan sikap ibu bapa dan masyarakat yang tidak memahami tugasan guru tapi tak boleh terima rintihan kami? Kenalah adil.
Kesimpulannya, kepada guru-guru yang suka buat content dalam media sosial, lakukanlah setelah habis kelas atau di luar sekolah. Tidak perlu melebih-lebih sangat. Saya yakin, bukan semua guru suka dengan gelagat anda terutama guru veteran. Kadang-kadang menyampah tengok guru-guru wanita yang berjoget-joget, buat aksi manja.
Bila kena gangguan seksual, dimarahnya pula kaum Adam.
Guru yang memahami akan mengambil teguran saya dengan positif. Terima kasih kepada semua guru yang ikhlas mendidik dan membimbing murid-murid sehingga ke menara gading.
Tanpa anda semua, siapalah kami. – UTUSAN
PENULIS ialah pengkaji isu tempatan dan antarabangsa.










