Tugas utama pensyarah ‘tergelincir’ - Utusan Malaysia

Tugas utama pensyarah ‘tergelincir’

INTI utama bagi sesebuah universiti adalah para pensyarah dan profesor yang menjadi tenaga pengajar. – IHSAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI adalah identiti penting bagi pembangunan sesebuah negara dan tamadun bangsa. Kemajuan sesebuah universiti mempunyai hubungan rapat dengan penghasilan sumber manusia yang bakal memimpin dan mencorakkan negara.

Inti utama sesebuah universiti adalah para pensyarah dan profesor yang menjadi tenaga pengajar utama, bukan bangunan tersergam indah atau bilik tutorial dan dewan kuliah gah. Runtuh dan rosaknya nilai ilmu dan falsafah dimiliki pensyarah dan profesor yang menjadi pengajar dan guru kepada mahasiswa, maka universiti itu akan runtuh atau tidak lagi cemerlang.

Saya suka merujuk kepada bidang tugas utama seseorang pensyarah universiti. Secara kasarnya, tugas mereka adalah pengajaran-pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, persidangan dan perundingan. Adakah lima tugas utama ini masih menjadi asas kepada kerja pensyarah kini? Atau pensyarah dibebani oleh tugas yang bukan bidang utama mereka?

Mengikut pemerhatian dan pengalaman saya, tugas utama pensyarah mula ‘tergelincir’ daripada asas sebenar dan sepatutnya. Pensyarah kita tidak lagi benar-benar dinilai dan digalakkan membina kerjaya berasaskan tugas-tugas utama sebagai seorang individu yang bekerja di institusi pengajian tinggi. Pensyarah kini mula dibebani kerja-kerja bersifat perkeranian dan pentadbiran yang sepatutnya dilakukan oleh kerani dan pegawai tadbir universiti.

Dalam hal berkaitan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pendidikan berasaskan hasil (OBE), pensyarah diarah menyediakan bahan-bahan berkaitan yang sebenarnya mengganggu tugas utama mereka, iaitu memperdalamkan ilmu dalam bidangnya. Kadang-kadang apa yang dilakukan adalah tidak penting dalam pembinaan ilmu sebenar.

Kedaan ini menjadi lebih buruk apabila pentabdir utama universiti iaitu naib canselor dan timbalan naib canselor (TNC) tidak menegur kekhilafan tugas ini. Ia berjalan seolah-olah sebahagian daripada tugas utama pensyarah. Amalan ‘kurang tepat ini’ diperteguhkan lagi oleh pentadbir utama di peringkat fakulti iaitu dekan dan timbalan dekan. Pemimpin di peringkat fakulti ini yang sepatutnya menegur.

Di sini nampak pembaziran tenaga kepakaran berlaku. Ketua jabatan dan pensyarah yang mempunyai ijazah kedoktoran dan kepakaran dalam bidang khusus masing-masing sepatutnya memperdalamkan bidang ilmunya tanpa gangguan. Walau tidak diminati akan kerja-kerja (perkeranian dan pentadbiran) sedemikian tetapi atas dasar kepatuhan (walaupun dalam hatinya menolak), kerja-kerja itu mesti dilakukan juga.

Persoalan ini nampak kecil tetapi mempunyai makna dan kesan besar kepada kerjaya sebenar pensyarah, pembangunan dan kecemerlangan sebenar universiti bahkan kepada tamadun bangsa dalam jangka panjang. Unsur-unsur dan amalan ini sebenarnya merosakkan fungsi sebenar universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu secara tidak langsung.

KOLOT

Apa yang sepatutnya berlaku adalah seseorang pensyarah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan ilmu dalam disiplinnya – membaca, meneroka, menyelidik dan menerbit. Penilaian kenaikan pangkat kepada profesor madya dan profesor juga mesti difokuskan kepada kecemerlangan ilmu yang tulen tanpa dikaitkan dengan isu-isu remeh (apatah lagi persoalan fahaman politik dan pegangan seseorang pensyarah).

Dalam bidang sains sosial misalnya, persoalan seperti berapa tahun memberikan kuliah, melakukan jaringan sebagai profesor pelawat dengan universiti luar, berapa buku akademik dihasilkan, berapa artikel akademik diterbitkan, berapa penyertaan seminar dan persoalan lain berkaitan rapat dengan akademik mesti dijadikan pengukuran asas.

Persoalan bersifat proses seperti penyelidikan juga dianggap penting. Apa jua penyelidikan mesti diiktiraf oleh universiti. Dalam hal ini, penyelidikan persendirian (tanpa dana universiti atau pihak luar) tetapi menghasilkan artikel akademik atau buku yang baik dalam bidangnya patut diiktiraf oleh pusat penyelidikan dan inovasi (PPI) bagi penilaian prestasi tahunan dan proses kenaikan pangkat.

Pengarah PPI mesti bersifat terbuka, jangan bersifat kolot dan tertutup. Ini kerana ada bidang yang tidak memerlukan dana besar, hanya perlu pemikiran kritis, analisis teori dan bahan sekunder, penelitian perpustakaan dan pemerhatian.

Seseorang pensyarah dalam bidang sains dan teknologi lebih mungkin memerlukan dana kewangan besar bagi alatan dan proses penyelidikan tetapi bidang sains sosial mungkin berbeza. Penyelidikan perpustakaan mungkin mampu menghasilkan hasil penyelidikan dan tulisan yang baik. PPI dan TNC mesti melihat dan menilai semula persoalan ini agar keputusan dibuat adalah tepat dan tidak bersifat memihak atau berat sebelah. Apa gunanya sesebuah penyelidikan dengan dana ratusan ribu, sekiranya tidak menghasilkan tulisan dan sumbangan besar kepada khazanah ilmu dan pemikiran tamadun bangsa?

Peranan pensyarah dan fungsi universiti tetap sama walaupun zaman dan prosesnya berubah. Perubahan persekitaran, teknologi tidak semestinya mengubah peranan asas universiti dan tugas utama pensyarah serta profesor. Pembahagian dan pengkhususan kerja antara staf bukan akademik dan tenaga akademik mesti berlaku. Pemimpin utama universiti mesti menjadi pemimpin akademik dan bukan ‘pak turut’ semata-mata demi mempertahankan kedudukan pangkat dan gaji besar.

Apa yang difikirkan bercanggah dengan prinsip akademik dan pengajian tinggi mesti ditegur dengan cara baik, berhemah dan berkesan. Arahan kepada pihak bawahan mesti tepat dan mempunyai kesan baik, bukan sekadar demi kedudukan. Semua pihak mesti sama-sama berbincang dan meluahkan yang patut demi kebaikan semua.

Universiti adalah nukleus ummah dan pembangunan tamadun. Rosak universiti maka rosaklah bangsa dan negara. Untuk meruntuhkan sesebuah negara bukan hanya dengan menggugurkan bom nuklear tetapi rosakkan nilai pendidikan, rosakkan pengurusan universiti, lunturkan pemikiran profesor dan rendahkan nilai ilmu dan kematangan mahasiswanya.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×