TIDAK keterlaluan jika diandaikan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Anak Biju bertanding pada pilihan raya atas tiket apa sekali pun sama ada di kawasan Parlimen Saratok atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerian, beliau dijangka memperoleh kemenangan mudah. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas adalah manifestasi kepada andaian ini.
Sebagai wakil rakyat, Ali membuktikan beliau mampu memberikan perkhidmatan seperti ditagih oleh pengundi kawasan tersebut. Dari sudut pandang lebih luas, salah satu sebab mengapa Canselor Jerman, Angela Merkel mampu bertahan selama 16 tahun dan begitu popular dalam kalangan rakyat serta dihormati oleh pemimpin lain adalah kebijaksanaannya menangani isu yang dihadapi.
Oleh kerana Jerman sinonim dengan ungkapan meritokrasi, sebab itu jua gaya kepimpinan Merkel tidak bersandarkan retorik tetapi lebih kepada membuat keputusan berlandaskan fakta.
Begitu juga Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern diberi mandat lebih besar dalam pilihan raya 2020 kerana terbukti walaupun dalam usia muda, beliau mampu memimpin dengan begitu baik sekali. Walaupun Ardern diuji dengan beberapa isu besar seperti tembakan rambang di masjid di Christchurch pada 2019, tetapi tindakan pantas dan pintar beliau telah meredakan keadaan sehingga mampu menyatupadukan rakyat New Zealand.
Gaya kepimpinan Merkel dan Ardern adalah selari kerana kedua-duanya mampu menghadapi dan membuat beberapa keputusan yang berat dalam waktu singkat.
Keistimewaan kedua-dua pemimpin ini ialah mencerna nasihat daripada pakar, seterusnya membuat keputusan bukan hanya bersandarkan kepentingan politik tetapi mengambil kira banyak faktor lain seperti alam sekitar, ekonomi, sosiobudaya dan perundangan.
Seorang pemimpin tidak perlu pakar dalam bidang tertentu untuk membuat keputusan yang bernas tetapi mesti mempunyai kekuatan untuk memahami isu dihadapi walau bagaimana rumit masalah dihadapi. Paling penting adalah sebelum membuat keputusan, pemimpin berkenaan perlu kaitkan isu tersebut dengan keadaan sekeliling yang lebih mencabar.
Ramai pertikai apabila Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Kesihatan kerana bersandarkan dalil beliau tidak mempunyai latar belakang bidang perubatan. Tetapi apa yang lebih penting adalah kemampuan Khairy untuk memahami maklumat dan nasihat disampaikan oleh pakar kementerian berkenaan.
TAKSUB
Umpamanya apabila data penularan varian Covid-19, Omicron dalam kalangan mereka yang baru pulang dari luar negara dipersembahkan, maka keputusan walau bagaimana sukar dilakukan perlu dibuat oleh menteri berkenaan. Jika keputusan yang dibuat hanya bersandarkan kepentingan politik, maka agak pasti berbeza hasilnya jika faktor sosial, ekonomi, kesihatan dan perundangan diambil kira jua.
Perdana Menteri Finland, Sanna Marin walaupun menjawat jawatan tertinggi itu pada usia agak muda iaitu 34 tahun, beliau amat disukai rakyat Finland terutama sekali dalam hal strategi menangani pandemik. Serupa dengan Merkel dan Ardern, Marin mampu membuat keputusan dengan baik setelah mengaitkan pelbagai faktor bersangkutan.
Walaupun dalam usia muda dan begitu taksub dengan isu alam sekitar, setiap keputusan yang dibuat bukan semata-mata bersandarkan kepentingan alam sekitar sahaja.
idak dinafikan ada sebilangan YB (Yang Berhormat) yang berada dalam jemaah menteri, tidak kira kementerian mana dipertanggungjawabkan tugas yang diamanahkan dapat dilunaskan dengan begitu baik sekali. Bukan kerana menteri tersebut mempunyai kepakaran tertentu yang bersangkut paut dengan agenda kementerian diterajui, tetapi mampu kerana terbuka menerima nasihat pakar dan membuat keputusan selepas itu.
New Zealand dan Finland dianggap negara paling berjaya menghadapi pandemik dan sebahagian besar kejayaan ini adalah kerana strategi yang digubal oleh Ardern dan Marin. Kedua-dua pemimpin ini bukanlah pakar kesihatan umum atau epidemiologis tetapi mampu menerima nasihat dan membuat keputusan bersandarkan fakta yang dipersembahkan.
Sebab itu amat penting seorang pemimpin atau mereka yang berada dalam jemaah menteri melalui proses pembelajaran akademik sekurang-kurangnya peringkat sarjana muda. Bukan sangat penting bidang yang dipelajari tetapi proses pembelajaran itu akan mendidik individu tersebut menilai fakta dan data ketika membuat keputusan.
Ini kerana setiap dasar yang digubal adalah direncanakan oleh mereka yang pakar tetapi keputusan akhir sama ada hendak dilaksana atau sebaliknya bergantung kepada keputusan kepimpinan tertinggi. Dalam kes kementerian, ia adalah tanggung jawab menteri.
Ambil contoh mudah, iaitu Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Dakwah dan Kepimpinan, yang sesetengah pihak berpendapat agak janggal menerajui kementerian berkenaan. Tetapi hakikatnya adalah tidak kira apa jua jurusan diambil dan pada tahap akademik apa sekali pun, proses pembelajaran termasuk analisis data adalah selari berbanding dengan individu yang mengambil jurusan alam sekitar umpamanya.
Sebab itu, yakinlah bila maklumat dan data dipersembahkan oleh pakar berkenaan perubahan iklim umpamanya, menteri akan membuat keputusan bukan sahaja berdasarkan nasihat pakar tetapi jua pengalaman Tuan Ibrahim sendiri.
PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).










