Ayuh sepakat pangkah parti sama! - Utusan Malaysia

Ayuh sepakat pangkah parti sama!

UNDI bersifat berpecah-belah tidak akan memberi keuntungan bukan sahaja kepada pengundi Melayu tetapi juga pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina sebagai kumpulan kedua terbesar. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka mempunyai implikasi besar kepada politik negara. Kesan yang bakal berlaku pada 20 November nanti mempunyai makna besar.

Ia dapat dilihat dari pelbagai sudut mengikut kepakaran dan minat analisis masing-masing. Saya lebih berminat melihat percaturan dan persaingan kuasa parti-parti politik orang Melayu iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta reaksi dan keputusan pengundi.

Barisan Nasional (BN)/UMNO, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) meletakkan kesemua calon masing-masing di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Paling tidak, pertandingan yang berlaku adalah tiga penjuru iaitu antara BN-PH-PN.

Pertandingan dengan PH sebagai satu pihak sudah diduga dari awal. Apa yang menarik dan menjadi persoalan, PN dan BN juga meletakkan semua calon untuk bertanding di kesemua kerusi. Yang anehnya PN dan BN ini adalah terbentuknya kerajaan kerjasama di peringkat Pusat. Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak akan terbentuk jika tidak ada ahli Parlimen daripada Bersatu turut sama memberi kerjasama.

Kalau di peringkat Pusat terbentuknya kerjasama antara BN dan PN, kenapa dalam PRN Melaku berlaku persaingan antara BN dan PN? Tidakkah PH itu adalah musuh politik utama BN dan PN?

Dalam membicarakan persoalan ini, ada beberapa isu yang seakan tidak jelas dan terlindung di sebalik ketidakseragaman antara peringkat Pusat dan peringkat negeri.

Kenapa BN tidak dapat membuat kata putus kerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam menghadapi musuh politik utama bersama iaitu PH (khususnya PKR, DAP dan Amanah)? Walaupun rundingan difahamkan berlaku antara BN dan PN sebelum penamaan calon diputuskan, tetapi ia gagal mencapai kata sepakat kepada kerjasama UMNO-Bersatu-Pas.

Akhirnya dalam konteks PRN Melaka, BN dan PN adalah musuh politik. Apakah implikasi kepada perpaduan Melayu akibat apa yang berlaku di Melaka ini? Adakah UMNO akan mendapat keuntungan besar kerana dapat bertanding di semua kerusi DUN? Apakah PH akan mendapat kelebihan kerana pengundi Melayu telah berpecah kepada dua kumpulan?

Kalau benar pengundi Melayu berpecah kepada dua kumpulan, adakah akan memberi peluang mudah kepada calon PH memenangi kerusi DUN tersebut? Dalam hal ini kita dapat katakan parti-parti politik Melayu masih belum sedar di mana kedudukan sebenar mereka dalam negara berbilang kaum pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Analisis mereka tentang keputusan PRU-14 belum benar-benar sampai ke peringkat ‘analisis sebenar’ yang benar-benar matang. Tempoh masa 22 bulan pentadbiran kerajaan PH belum dilihat sebagai suatu yang menggugat kedudukan parti-parti politik Melayu. Rasa besar diri serta rasa masih mempunyai sokongan besar (berasaskan sejarah lalu) bagi sesetengah parti politik Melayu masih belum hilang. Perasaan akulah ‘parti Melayu keramat yang berkuasa’ belum hilang dari lubuk pemikiran.

RUNTUH

Parti politik Melayu lupa bahawa kembali berkuasanya kerajaan Pusat berteraskan parti-parti politik Melayu adalah kerana wujudnya semangat kerjasama berasaskan Melayu-Islam. Dengan kata mudah, kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri pada hari ini tidak akan terbentuk jika kerjasama tersebut tidak berlaku. Katakanlah Bersatu menarik diri, kerajaan hari ini akan runtuh.

Kita harus merenung dan menganalisis dengan matang dan tenang, parti politik Melayu manakah yang selalu membawa onar membuka laluan, membawa perpecahan dan akhirnya menjurus kepada keruntuhan? Parti ini perlu ditolak. Percaturan politik pasca PRU-14 sudah berbeza dengan situasi politik sebelum 2018. Parti-parti politik Melayu yang kuat dalam tahun-tahun sebelum 2018, jangan lagi terus berasa kuat kerana realiti sebenar sudah benar-benar berubah.

Di satu pihak, pengundi bukan Melayu telah benar-benar bersatu, parti-parti politik Melayu pula berpecah-belah tidak berkesudahan. Apakah tindakan rasional yang perlu bagi pengundi-pengundi Melayu dalam menghadapi situasi baharu?

Dalam keadaan situasi parti-parti politik Melayu tidak mampu membentuk satu kerjasama utuh antara UMNO-Bersatu-Pas, maka pengundi mesti membuat satu keputusan berani membentuk ‘kerjasama pengundi.’ Para pengundi perlu membuat satu keputusan tepat dan berani dengan hanya memberi undi kepada sebuah parti politik yang mampu membina kesejahteraan dan kestabilan.

Pengundian bersifat berpecah-belah tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak. Ini bukan sahaja kepada pengundi Melayu, tetapi juga kepada pengundi bukan Melayu khususnya kaum Cina sebagai kumpulan kedua terbesar. Andainya selepas 20 November ini tidak ada sebuah parti yang menang majoriti terjamin dapat membentuk sebuah kerajaan kuat dan stabil, usaha dilakukan bagi mengadakan PRN tidak bermakna. Belanja besar, tenaga dan jerih perih yang diberikan tidak bermakna.

Fikir dan renungkan wahai pengundi Melayu yang budiman dan bijaksana. Pejamkan mata seketika, buka seluasnya mata hati. Pilih permata, pastikan pasca PRN lebih bererti.

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×