Warga emas sekeliling cerminan diri kita - Utusan Malaysia

Warga emas sekeliling cerminan diri kita

KEWUJUDAN orang tua di sekeliling sepatutnya memberi peringatan terhadap nasib dan kesudahan diri kita sendiri. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIA tua sering kali disebut sebagai usia emas. Barangkali bagi menggambarkan nilai terhimpun pada diri seseorang itu hasil daripada pengalaman hidupnya yang panjang kerana ia sesuatu yang amat mahal dan berharga.

Bagaimanapun, usia tua turut dikaitkan dengan perkara-perkara tidak diingini tetapi tidak dapat dielakkan iaitu kemerosotan kualiti hidup, kelemahan tubuh dan anggota badan, kehilangan nikmat dunia, kesunyian, kebimbangan terhadap nasib akhir, sakit dan akhir sekali, kematian. Apabila dipandang dari sudut ini, masa tua ialah masa yang suram dan tidak menyenangkan.

Muda dan tua pada hakikatnya adalah sebahagian daripada sifat semula jadi setiap kejadian, iaitu pasti mempunyai permulaan dan kesudahan.

Dalam sebuah hadis (riwayat Ahmad, Tirmidhi dan Hakim), Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat tentang manusia yang paling baik, dan baginda menjawab: “Seseorang yang panjang umurnya dan baik amalnya.” Lalu baginda ditanya manusia bagaimanakah pula yang jahat ataupun celaka? Jawab baginda: “Seseorang yang panjang umurnya dan jahat amalnya.”

Dalam hadis ini, jelas baik atau buruknya seseorang bukan terletak semata-mata pada umur tetapi amalannya. Umur yang panjang itu merupakan suatu kelebihan hanya kalau sekiranya ia diisi dengan amal kebajikan dan sebaliknya jika hanya diisi dengan maksiat dan pendurhakaan kepada Allah.

Hakikatnya manusia itu diciptakan hanya untuk menghambakan dirinya kepada Penciptanya. Bagi setiap yang menginsafi hakikat ini, seluruh kehidupannya hanyalah untuk tujuan itu.

Namun, kebanyakan manusia mudah lupa terhadap nasib akhirnya kerana terlalu asyik dengan nasib hidupnya di dunia yang sementara ini. Maka dengan rahmat Allah, sedikit demi sedikit perubahan ditunjukkan pada dirinya bagi menghadapi hari kesudahan.

Dalam al-Quran disebutkan, semakin bertambah usia seseorang, semakin lemah genggaman tangannya (Hud: 15-16), semakin kabur penglihatannya (Isra’: 72), semakin mudah tersentuh perasaannya (Luqman: 22), semakin banyak gugur giginya (Ali Imran: 145), semakin lemah tulang dan sendinya (al-Nisa’: 78), semakin lebat uban di kepalanya (Ali Imran: 185) dan semakin kuat rasa ingin bersendirian jauh daripada manusia (al-An’am: 32).

Perubahan-perubahan ini pastilah tidak menyenangkan dan jika boleh, mahu dielakkan daripada berlaku. Namun, ia adalah sebahagian daripada fitrah kejadian insan yang tidak dapat dielakkan.

MARHALAH

Dalam surah Yasin ayat 68, Allah menjelaskan, orang yang dipanjangkan umurnya akan dikembalikan kepada sifat asalnya, iaitu lemah. Firman Allah: “Sesiapa yang kami panjangkan umurnya maka kami akan kembalikannya kepada keadaan asalnya…”

Justeru, bagi yang benar-benar beriman dan menginsafi hal keadaan dirinya, usia tua itu hanyalah suatu marhalah daripada perjalanannya menuju kepada Allah. Seorang yang lebih berusia dikira lebih mulia hanya kerana dia lebih dahulu dan lebih lama mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka panjang atau pendeknya umur seseorang bukanlah dilihat pada bilangan tahunnya tetapi pada sedikit atau banyaknya amal kebajikan yang dikerjakan dalam hidupnya.

Umur adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah. Bagaimanapun, ada disebutkan dalam sebuah hadis bahawa umur umat Nabi Muhammad SAW itu hanyalah sekitar 60 hingga 70 tahun.

Sebenarnya dalam soal usia, yang lebih utama ialah kualiti hidup dijalani, bukan panjang atau pendeknya kehidupan itu. Maka sebahagian manusia memperoleh keberkatan dan kemuliaan dalam hidupnya disebabkan amalan dan sumbangannya. Yang lain pula tidak memperoleh sebarang kebaikan untuk bekalan hari akhirat walaupun berumur panjang.

Anas bin Malik ialah contoh seorang yang diberkati hidupnya dengan usia melebihi satu abad manakala Umar bin Abdul Aziz tetap meninggalkan kesan amat besar kepada umat Islam walaupun hayat dan pemerintahannya tidak panjang.

HARTA

Menurut sebuah hadis, umur merupakan salah satu daripada empat perkara yang akan dipertanyakan oleh Allah pada hari pengadilan, manakala tiga perkara lain ialah masa muda (digunakan untuk apa), harta (dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan), dan ilmu (sama ada diamalkan).

Sesuatu yang tidak diketahui hakikatnya tetapi tidak dapat dielakkan berlaku pastilah amat menakutkan sesiapa sahaja yang memikirkan tentangnya. Begitulah halnya apabila seseorang memikirkan tentang kesudahan diri dan nasib akhirnya.

Mati ialah sesuatu tidak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa dan itu diketahui secara pasti oleh setiap manusia. Apa yang tidak semua orang tahu ialah nasib akhir sesudah mati. Dalam soal inilah hal keadaan seorang beriman berbeza dengan yang tidak. Hanya dengan keimanan dan keyakinan sahaja seseorang berupaya menghadapi hari tua, seterusnya kematian dengan jiwa teguh dan keberanian.

Hanya keimanan dan keyakinan akan menggerakkan seseorang mengerjakan amal kebajikan demi membela nasib akhirnya selepas mati.

Usia muda sememangnya masa yang mengujakan dan disebabkan keterujaan itulah ramai lupa kepada yang akan datang selepas itu, iaitu hari tua dan kematian yang pasti berlaku.

Justeru, kewujudan orang tua di sekeliling sepatutnya memberi peringatan terhadap nasib dan kesudahan diri sendiri kerana mereka merupakan cerminan masa hadapan kita. Maka menghormati orang yang lebih tua khususnya ibu bapa sendiri merupakan amalan amat ditekankan oleh agama, manakala bagi yang berusia hendaklah mengasihi mereka yang muda.

Apa yang menghubung dan mengikat kedua-dua generasi ini ialah identiti diri dan nasib akhir yang sama sebagai insan dan disebabkan itu mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Orang muda perlukan petunjuk dan nasihat daripada pengalaman mereka yang sudah berusia sedangkan orang tua memerlukan sokongan dan dukungan daripada mereka yang masih muda dan kuat.

PENULIS ialah Felow Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×