Industri pembinaan belum sedia? - Utusan Malaysia

Industri pembinaan belum sedia?

KERAJAAN disaran mengambil beberapa langkah dalam melaksanakan pengurusan projek pembinaan agar lebih praktikal dan selamat. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI MANA umum maklum, kerajaan melaksanakan sebanyak tiga kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa dalam jangka masa dua tahun. Kini, kita sedang beralih ke fasa endemik seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada penghujung Oktober ini.

Hal ini akan dilaksanakan selepas 80 peratus penduduk negara menerima dos lengkap vaksin. Namun begitu, apa yang menjadi persoalan, keadaan ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya terutama sektor pembinaan.

Ini kerana penekanan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang diwujudkan telah memberi cabaran besar kepada kebanyakan pemain industri di seluruh negara termasuk kontraktor. Antara cabaran utama adalah kewajipan setiap pekerja menjalani kit ujian pantas (RTK) antigen dengan kaedah kendiri atau di fasiliti kesihatan setiap dua minggu.

Menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, keputusan tersebut merupakan langkah proaktif bagi menangani penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja di tapak pembinaan. Kontraktor perlu menanggung kos RTK-antigen untuk kesemua pekerja mereka yang ramai jumlahnya di sesebuah projek pembinaan.

Pihak kontraktor agak terbeban dengan kos RTK-antigen yang tinggi. Tambahan pula kos ini tidak dinyatakan dalam mana-mana klausa kontrak dan insurans. Akibatnya, kontraktor perlu menanggung kos yang dianggap sebagai luar jangka ini disebabkan pandemik Covid-19.

Untuk isu seperti ini, kerajaan harus memperhalusi dan menilai semula SOP bagi fasa endemik ini dengan melihat pendekatan yang boleh diambil. Sebelum ini, beberapa negara telah melonggarkan secara keseluruhan SOP. Namun, tindakan tersebut menyebabkan peningkatan jumlah jangkitan dan kewujudan varian baharu sehingga kerajaan terpaksa mengetatkan kembali dan memperbaharui SOP.

Bagi tujuan ini, saya syorkan beberapa langkah dalam melaksanakan pengurusan projek pembinaan agar ia lebih praktikal dan selamat. Apa yang perlu dilaksanakan dalam memastikan industri pembinaan berjalan lancar sebelum fasa endemik bermula yang dijangkakan pada penghujung Oktober nanti merangkumi aspek-aspek berikut:

Polisi kerajaan yang lebih menekankan keselamatan pekerja industri pembinaan terutama semasa pandemik. Ini adalah disebabkan sehingga kini tidak ada sebarang polisi yang menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja industri pembinaan diwujudkan walaupun negara dilanda penularan Covid-19 hampir dua tahun.

Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) boleh bekerjasama dengan syarikat-syarikat insurans dan takaful untuk mewujudkan polisi bagi membantu menampung kos ujian RTK antigen, tindak balas rantai polymerase transkripsi balikan (RT-PCR) dan rawatan pekerja sekiranya dijangkiti Covid-19.

Memperhalusi dan mempermudahkan SOP untuk industri pembinaan agar ia dapat difahami dan dipatuhi oleh pekerja-pekerja di tapak pembinaan terutama pekerja asing.

Kerajaan harus melabur secara konsisten dalam pembangunan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, jambatan dan infrastruktur digital kerana ia adalah pemacu utama dalam meningkatkan ekonomi negara dan secara langsung memberi impak kepada industri pembinaan.

Tuntasnya, pandemik Covid-19 telah menggugat kemajuan negara terutamanya menjejaskan pembangunan ekonomi termasuk industri pembinaan yang memberikan impak cukup besar. Justeru, kerajaan perlu memandang serius hal ini dengan mengembalikan pertumbuhan ekonomi sambil membangunkan masyarakat yang inklusif dan seimbang berteraskan konsep Keluarga Malaysia.

PROFESOR Madya Dr. Goh Kai Chen ialah Penyelidik Utama di Pusat Kelestarian Infrastruktur & Pengurusan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×