Mukadimah
SEBAGAIMANA slogan Merakyatkan Membangun Bersama Islam, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh tidak pernah kekok menyantuni pelbagai pihak termasuk media tanpa terikat dengan protokol ketat.
Ini jelas terlihat apabila mesej dikirim kepadanya pada hujung minggu memohon reaksi berkaitan isu semasa dibalas tanpa lengah bersama undangan ‘mengejut’ ke pejabatnya di Kompleks Islam Darulnaim, Kota Bharu.
Dalam pertemuan itu, antara pencerahan diberikan Che Mohd. Rahim ialah berkaitan prosedur nikah, kahwin dan cerai di musim Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kepada wartawan Utusan Malaysia, TOREK SULONG dan jurugambar ZULHANIFA SIDEK, beliau berkongsi situasi urusan ‘rumah tangga’ rakyat Kelantan termasuk statistik terkini dan sejauh mana iklimnya berubah disebabkan pandemik, baru-baru ini.
UTUSAN: Sejauh mana PKP dan Covid-19 yang berpanjangan ‘menggagalkan’ hasrat pasangan untuk berkahwin?
CHE MOHD RAHIM: Sebenarnya PKP bukan penghalang kepada pasangan di Kelantan yang ingin mendirikan rumah tangga. Usaha murni mereka untuk ‘membina masjid’ tetap berjaya dilangsungkan dengan pendekatan yang selamat dan mudah sekali pun dalam kekangan.
Merujuk statistik sepanjang 2020, permohonan untuk berkahwin masih stabil iaitu 19,436 berbanding 2019 sebanyak 19,703. Beza cuma 267 permohonan sahaja ketika lingkaran Covid-19 melanda negara.
Pada tahun ini, permohonan untuk nikah sudah mencecah 10,804 untuk tempoh tujuh bulan pertama. Ada yang sudah selesai dan sebahagian lagi dalam proses kelulusan.
Kenapa tidak ditangguhkan sahaja pernikahan memandangkan negara kita sekarang ibarat dalam ‘edah’ kerana virus Covid-19 masih wujud?
Kalau dah jodoh tu, tak ke mana jika itu sudah jadi ketentuan. Ini mungkin satu peluang untuk melangsungkan perkahwinan secara mudah. JHEAIK tidak menangguhkan mana-mana perkahwinan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak melibatkan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Malah pemohon boleh melangsungkan perkahwinan secara dalam talian dengan penelitian integriti dan kesahihan pengantin lelaki, pengantin perempuan dan saksi yang disahkan oleh pegawai agama atau imam.
Ini bermakna tiada pergerakan wali dan pengantin perempuan berlaku. Malah lebih melicinkan urusan jika wali iaitu bapa pengantin perempuan melakukan akad nikah sendiri. Sebelum ini kebanyakannya diwakilkan kepada imam atau jurunikah yang bertauliah.
Apa lagi prosedur atau syarat utama nikah norma baharu?
Semua pejabat agama diarahkan melaksanakan kursus perkahwinan secara dalam talian. Kursus ini syarat wajib bagi mendapatkan sijil yang melayakkan pemohon melangsungkan perkahwinan. Kita tidak melaksanakan nikah dahulu, kursus kemudian.
Pada peringkat awal PKP dahulu pun sudah ada perkahwinan secara maya. Namun, bilangannya tidak ramai dan pada waktu itu juga JHEAIK tidak sempat melakukan persediaan tersusun sebagaimana sekarang.
Golongan mana paling banyak mendirikan rumah tangga pada musim pandemik?
Setakat ini, golongan muda berusia 25 tahun ke atas dan mereka yang berkahwin untuk kali pertama mendominasi. Mereka teruskan juga untuk kahwin kerana sudah lama bertunang atau sudah menetapkan tarikh untuk diijabkabulkan.
Malah disebabkan situasi terkini negara kita, ada keluarga memilih jalan ringkas tanpa mengadakan urusan merisik dan bertunang. Persetujuan antara dua keluarga dibuat menerusi panggilan telefon.
Daripada jumlah permohonan untuk berkahwin, berapa banyak pula yang diluluskan dalam tempoh sama?
Pada 2019 sebanyak 16,652 pasangan diijabkabul dan didaftarkan sebagai pasangan suami isteri yang sah manakala pada 2020 sebanyak 16,271 pasangan dan 2021, setakat Julai, 9,015 pasangan bergelar raja sehari. Kebanyakannya kumpulan pasangan yang menamatkan zaman bujang atau berkahwin kali pertama.
Ketika ini wujud ketidakseragaman antara negeri-negeri terutama berkaitan kursus kahwin. Komen?
Ya, saya tidak menafikan. Namun, kita ada agensi utama di peringkat kebangsaan iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyelaraskan perihal ini untuk keseragaman.
Bagaimanapun, itu tidak menjejaskan perkhidmatan kami kepada masyarakat.
Adakah nikah secara dalam talian masih dibenarkan memandangkan Kelantan kini sudah masuk Fasa Kedua Program Pemulihan Negara (PPN)?
Kita boleh pertimbangkan dan membenarkan ia dilangsungkan berasaskan permohonan dan integriti pemohon serta kemudahan gajet antara kedua-dua keluarga mempelai.
Setakat ini rasanya tidak ada permohonan sedemikian kerana perkhidmatan yang kita permudahkan telah memberi ruang dan peluang lebih selesa dalam konteks bersemuka.
Fatwa membenarkan perkahwinan secara maya tetapi dalam satu majlis yang rasmi dan mempunyai kredibiliti.
Bagaimana dengan kes nikah di luar negara seperti Thailand?
Sepanjang PKP, isu nikah di luar negara tidak berbangkit kerana pintu sempadan ditutup. Jabatan tidak menerima sebarang pendaftaran semula perkahwinan yang dilaksanakan di Thailand.
Kalau ada yang tampil mendaftar bererti mereka telah melakukan satu kesalahan lain iaitu merentas sempadan negara tanpa kebenaran kerajaan.
Sejauh mana pandemik dan PKP berpanjangan memberi kesan kepada kadar perceraian di Kelantan?
Di Kelantan, masalah tekanan hidup akibat terkesan dengan PKP bukan faktor utama penyebab perceraian.
Sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, JHEAIK hanya mencatatkan sebanyak 735 kes perceraian.
Sebanyak 3,166 pasangan bercerai pada 2019, manakala 2020, sebanyak 2,746 pasangan bercerai.
Semua perceraian boleh dikatakan disebabkan tipisnya ilmu berumahtangga, tiada keserasian hidup dan kurang tabah dengan cabaran hidup berkeluarga.
Sebab itu kita menekankan kursus perkahwinan sebagai satu syarat wajib manakala lafaz taklik selepas ijab kabul perlu dihayati oleh pasangan yang berkahwin.










