“Apa nilai kejujuran?” tanya sahabat, seorang peguam kepada saya, petang Sabtu lalu.
Apabila saya tanya balik, apa maksud soalan itu, dia menyatakan, “apakah ada lagi kejujuran dalam politik?”
Lalu spontan saya jawab, “masih ada. Sekiranya berlaku pembohongan, mungkin dipaksa atau terpaksa.”
Petang itu, kami berdua berbual tentang tiga dokumen penting yang kini tular di media sosial – dua dari Istana Negara dan satu dari Pejabat Perdana Menteri. Tiga dokumen itu mendedahkan wujud satu perselisihan (konflik) antara Istana Negara dan Putrajaya. Ia bermula pada 26 Julai lalu, apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) memaklumkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa semua enam ordinan darurat telah pun dibatalkan. Apabila diasak oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang mahu tahu bilakah jemaah menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, bilakah pembatalan Ordinan tersebut diwartakan dan sebagainya, menteri menyatakan bahawa atas arahan Speaker Dewan Rakyat, beliau akan menjawab semua soalan itu pada 1 Ogos (kelmarin).
Tiga hari kemudian, dalam satu kenyataan akhbar Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong menegur menteri tersebut kerana kenyataannya pada 26 Julai lalu itu tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Soalnya, apakah maksud di sebalik bahasa Istana Negara, tidak tepat dan mengelirukan itu?
Barangkali terkilan dengan kenyataan oleh Istana Negara itu, Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar pada lewat petang sama (29 Julai) bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Malangnya, Istana Negara terus mempersoal kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu. Dalam warkah Seri Paduka sendiri, Yang di-Pertuan Agong menegaskan, cadangan pembatalan ordinan darurat itu telah disembah lewat oleh kerajaan kepadanya, iaitu pada 24 Julai (dua hari sebelum Dewan Rakyat bersidang). Selain itu, cadangan itu dilakukan secara tergesa-gesa kerana belum lagi dibentangkan di Parlimen.
Selain itu, warkah tersebut juga menegur tarikh kuat kuasa pembatalan ordinan-ordinan darurat, yang dikebelakangkan (retrospective) mula berkuat kuasa pada 21 Julai 2021, walhal permohonan diterima oleh Yang di-Pertuan Agong pada 23 Julai. Mengakhiri warkah Seri Paduka, Yang di-Pertuan Agong kemudian bertitah, “cadangan pembatalan ordinan-ordinan darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh beta.”
Mengikut sahabat saya itu, perbuatan merahsiakan apa yang sebenarnya berlaku dengan tujuan mengelirukan Dewan Rakyat serta perbuatan tidak mematuhi titah istana supaya ordinan darurat dibentang dan dibahaskan, tidak mencerminkan ‘kejujuran’ yang sepatutnya menjadi amalan serta budaya seorang Yang Berhormat.
Kebetulan, pada 31 Julai lalu, sebuah portal berita memetik veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah ‘berbohong’ mengenai pembatalan ordinan darurat, lalu menggesanya berundur.
DEMONSTRASI
Berlatarkan fakta yang disebut di atas, saya tidak berasa hairan kenapa pada Sabtu (31 Julai) lalu, ramai warga kota berbaris panjang mengibarkan bendera hitam tanda protes terhadap kerajaan, walaupun sedar tentang risiko jangkitan virus Covid-19.
Semua maklum, seluruh dunia melihat kita. Sebuah portal berita antarabangsa melaporkan, ratusan rakyat Malaysia mengadakan demonstrasi di tengah ibu kota dengan mengibarkan bendera hitam tanda protes terhadap kerajaan. Mengikut penganjur, ada 1,000 orang hadir tetapi mengikut Polis Diraja Malaysia, jumlah yang hadir hanyalah sekitar 400 orang.
Portal berita itu memetik seorang peserta, Karmun Loh berkata, “kita lawan sebab rakyat sedang menderita tetapi kerajaan ini sibuk main politik.” Seorang peserta lain, Shaq Koyok pula berkata, “Perdana Menteri mesti letak jawatan.”
GERAKAN #BenderaHitam
Gerakan #BenderaHitam mula dikesan pihak berkuasa pada awal Julai lalu. Sebuah portal berita memetik Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat menyertai gerakan itu untuk mengibarkan bendera hitam di premis mereka (rumah atau pejabat), di jalan raya atau di mana sahaja. Selain itu, rakyat juga boleh menyertainya dengan menggunakan gambar bendera hitam di pelbagai platform bagi menzahirkan protes terhadap kerajaan. Selain menggesa Perdana Menteri meletak jawatan, gerakan itu juga mahu darurat ditamatkan dan Parlimen dibenarkan bersidang.
Menurut penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, “sekiranya gerakan #BenderaHitam gagal dibendung, ia boleh berkembang dan membawa kepada kejatuhan kerajaan PN.”
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dipetik sebagai berkata, siasatan telah dimulakan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.
Gerakan #BenderaHitam melambangkan kemarahan rakyat terhadap kenyataan sesetengah pemimpin kerajaan yang sebelum ini meremehkan kempen bendera putih yang mana objektif utamanya adalah membantu rakyat yang menderita dan kehabisan makanan serta keperluan hidup.
Seorang Menteri Besar menggelar kempen bendera putih itu sebagai satu propaganda antikerajaan dan enggan mengiktirafnya.
Ada pihak mengatakan, protes bendera hitam di ibu kota pada Sabtu lalu tidak memberi apa-apa impak negatif kepada kerajaan disebabkan jumlahnya kecil jika dibandingkan dengan protes jalanan Bersih 2.0 pada Julai 2011, di mana dikatakan disertai antara 10,000 hingga 20,000 orang. Jangan lupa, 10 tahun lalu kita tidak ada pandemik Covid-19, kita tidak ada prosedur operasi standard (SOP) yang wajib dipatuhi.
Setakat kelmarin, dua matlamat gerakan #BenderaHitam telah pun menjadi realiti – darurat tidak disambung selepas tarikh itu dan Parlimen sudah mula bersidang, walau tidak seperti diharapkan. Hanya matlamat ketiga belum kesampaian. Ada yang menyatakan sukar akan berlaku. Ada yang menyatakan sebaliknya. Dalam politik tidak ada yang mustahil.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










