Usah berlengah, terus melangkah - Utusan Malaysia

Usah berlengah, terus melangkah

Ketika penularan pandemik Covid-19, golongan kanak-kanak tidak terkecuali berdepan pelbagai cabaran luar jangka dan tidak cukup bersedia termasuk proses pembelajaran secara kendiri. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini hal-hal berkaitan pendidikan dan pembelajaran di rumah banyak dibincangkan secara terbuka. Ternampak Menteri Pendidikan sendiri mengendalikan sesi soal jawab tentang pelbagai isu baharu dan lapuk. Pandemik yang melanda membuatkan sesi bersemuka seumpama ini lebih penting dan telus.

Dengan berlarutannya perintah kawalan berkurung kesekian kalinya, hal-hal tersebut pasti menjadi lebih rumit untuk dikawal, apa lagi untuk dibereskan. Soal-soal kebajikan dan kesejahteraan bertambah meruncing, khususnya dari segi kesihatan mental serta emosi. Ini merupakan satu fenomena menyeluruh tanpa mengenal batasan dan sempadan tempat, kelompok mahupun kefahaman politik. Rata-rata di seluruh dunia perangkaan serta perkembangan seumpama ini terus membimbangkan kerana ramai yang kehilangan punca, dan oleh itu terjerumus dalam pelbagai kemelut sosial dan kehidupan. Kadang kala mengorbankan nyawa tidak berdosa. Dan angkanya meningkat hari demi hari, apa lagi jika diambil kira mereka yang mengelamun akibat tekanan keadaan semasa. Ramai pula dikatakan dalam peringkat umur yang agak muda terdesak dengan pelbagai cabaran luar jangka yang mereka tidak cukup bersedia.

Ini termasuklah soal pembelajaran itu sendiri apabila berlangsung secara kendiri tanpa apa-apa latihan serta bimbingan tersusun rapi. Hanya secara bidan terjun kerana mereka terpaksa dan dipaksa berbuat demikian di rumah dengan persediaan amat minimum khususnya dari segi emosi. Malah ramai menyangkakan hal-hal ini dapat diselamatkan dengan memberi peranti dan komputer percuma. Maka pelbagai skema diwujudkan sekelip mata bernilai jutaan ringgit, digerakkan berserta publisiti dengan megahnya.

Malangnya dalam keasyikan ini kita terlupa aspek emosi para pelajar adalah lebih penting (dan rapuh) daripada sebarang peranti dan peralatan yang diberikan. Malah sebaliknya boleh berlaku beberapa peristiwa ganjil kerana para pelajar mudah terpengaruh dengan pelbagai tarikan alam maya – baik atau buruk. Lebih-lebih lagi yang melekakan dan melalaikan terus diperagakan satu alam maya khayalan. Maknanya pembelajaran di rumah tidak ketinggalan dikompromi sehingga tidak berkesan. Kepada sesetengahnya menggusarkan emosi khususnya kepada yang tidak berdisiplin kerana tiada persediaan sempurna seperti yang dikatakan di atas. Apatah lagi urusan memberi bimbingan kepada para pelajar secara maya memakan masa agak lama dan tidak berlaku semalaman seperti yang sering diandaikan. Maka, jika hal ini dibiarkan berlarutan, memandangkan keadaan yang tidak menentu lagi membimbangkan akan memburukkan lagi keadaan. Dengan itu, satu perancangan teliti wajar difikirkan segera bagi membetulkan keadaan.

PISAU TAJAM

Satu cara adalah dengan menggunakan ruang dan peluang yang ada semasa fasa kawalan pergerakan dan berkurung. Tujuannya untuk mendahulukan mana yang dahulu.

Yakni memberi kefahaman mendalam tentang diri individu pelajar serta kemahiran kawalan emosinya. Ini termasuk juga soal-soal etika dan moral terutama sekali berkaitan penggunaan alat dan peranti yang dibekalkan. Setiap satu umpama pisau tajam yang boleh menghiris dan membunuh dengan sengaja atau tidak. Para pelajar amnya tidak sedar hakikat ini kerana ketajaman teknologi kurang nyata berbanding pisau. Namun, tidak kurang berbahaya.

Umum tahu, alat-alatan ini telah menular dalam masyarakat serta kehidupan harian pelajar, sekali gus kesesuaian penggunaannya tetap menjadi tanda tanya. Misalnya dalam media sosial yang meluas dengan tabiat buruk menghantui ramai. Apatah lagi kesesuaiannya sebagai alat pengajaran dan pembelajaran berasaskan lunas-lunas etika serta pekerti teknologi. Walaupun hal ini masih samar-samar, bayangan umum dari pengalaman global tidak memberangsangkan. Maka tidak salah jika kita mengambil iktibar untuk mencari dan menjadikannya jalan keluar yang lebih selamat

Maksudnya, perlu ditanamkan semula soal-soal etika termasuk pekerti teknologi sebagai budaya yang penting dalam pembelajaran dunia Covid-19. Dunia yang menuntut norma baharu berkaitan serba-serbi penghidupan. Ini menuntut para pelajar mengenali diri mereka dengan dekat lagi (Learning to be, mengikut UNESCO) agar mereka celik emosi dan mempunyai keupayaan menepis pelbagai bentuk cabaran emosi serta ketika. Bahkan berupaya pula bangkit semula apabila terhimpit dalam keadaan ‘kekosongan’ jiwa akibat kekangan hidup angkara Covid-19 atau kemelut sosial lain seperti buli dan kekusutan budi.

Kesemuanya ini akan mendorong pelajar untuk benar-benar menjiwai norma baharu melampaui arahan-arahan seperti memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal semata-mata. Mereka diupayakan lebih daripada itu dalam memupuk satu kecerdasan budaya dan nilai yang sebenarnya merupakan benteng mencegah wabak Covid-19 daripada merebak. Ini tentunya memerlukan satu anjakan minda dalam pendekatan mengasuh keperibadiaan pelajar. Ia mengambil kira suasana semasa dengan tuntutan berlainan daripada yang lain. Pun begitu, ia tidak akan berlaku secara sistematik selagi pendekatan lama masih menjadi pegangan, sedangkan di banyak organisasi lain ia sudah pun mula menyusul untuk menghidupkan budaya pasca-Covid-19 yang berkekalan. Sewajarnya institusi pendidikan turut serta kerana di situlah mulanya pemupukan tabiat baharu yang berteraskan kefahaman baharu melalui pendidikan.

Prosedur operasi standard (SOP) hanya sekadar bantuan sementara yang tidak akan kekal untuk mengubah budaya hidup. Tambahan pula ia berubah-ubah mengikut keadaan – kadang kala tidak menentu dan mengelirukan. Istilah ‘penjarakan sosial’ berbanding ‘penjarakan fiscal’ adalah contoh terbaik dalam memahami kesan memupuk tabiat baharu berasaskan pendidikan.

Pendek kata, era baharu menagih perubatan yang juga baharu. Hentikan sementara cara lama supaya memberi nafas kepada cara baharu tumbuh serta berakar dan berputik. Yakni didikan nilai, etika dan kecekalan untuk berubah bagi masa hadapan yang lebih mencabar, sudah tiba masanya. Jangan lagi berlengah dan membuang masa. Terus maju mencipta tabiat baharu untuk berubah.

Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×