Suara rakyat di Twitter ‘menakutkan’ - Utusan Malaysia

Suara rakyat di Twitter ‘menakutkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjadi sebuah parti politik secara rasminya pada 8 Julai lalu selepas permohonan mereka diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Namun, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, pastinya Pejuang berdepan pelbagai cabaran untuk bergerak termasuk mendapatkan ahli-ahli baharu.

Bagaimanapun, itu tidak melemahkan semangat mereka sebaliknya menjadikan kecanggihan teknologi untuk menjalankan aktiviti-aktiviti parti.

Di ibu pejabat Pejuang di Putrajaya, baru-baru ini, Ketua Pejuang Muda, DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN berkongsi pandangan tentang isu-isu semasa dengan wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN dan jurugambar, FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

UTUSAN: Difahamkan belia paling ramai menyertai Pejuang. Apa yang membuatkan mereka tertarik dengan parti ini?

ABU HAFIZ: Pertama, mereka yang perlukan platform politik. Nak bergerak sebagai platform politik, maka mereka memilih Pejuang sebagai alternatif.

Kebanyakannya juga tidak dinafikan mereka yang merupakan bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masuk Pejuang.

Kedua, mereka yang melihat parti-parti politik yang wujud tidak memenuhi cita rasa mereka. Jadi, mereka perlu untuk memilih satu wadah lain. Dan ketika pemilihan Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, yang dipilih seimbang, tidak terlalu ramai orang politik, ada juga orang-orang profesional.

Saya walaupun sebelum ini ahli Bersatu, latar belakang saya lebih kepada akademik berbanding politik. Ini satu gambaran latar belakang siapa yang ada dalam Pejuang yang menarik minat mereka.

Ketiga, fokus kami jelas. Dimuatkan dalam teks angkat sumpah, iaitu untuk melawan korupsi, rasuah dan pengkhianatan. Sebagai seorang ahli Pejuang, dia tidak boleh subscribe kepada idea untuk korupsi dan kerosakan daripada rasuah. Itu mungkin salah satu tarikan. Benda yang baharu selalu orang tertariklah. Parti-parti ini merupakan salah satu wadah yang mereka mencuba.

Pada waktu sama, ada juga mereka yang melihat satu spektrum baharu untuk mereka mendapatkan jawatan. Itulah yang diingatkan oleh Pengerusi kami, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ini bukan tempat mencari jawatan bahkan beliau mengingatkan banyak kali, mereka yang mempunyai jawatan rasmi dalam parti tidak semestinya akan dijadikan calon pilihan raya.

Sejak 8 Julai lalu yang mana Pejuang didaftarkan secara rasmi, terdapat lebih 5,000 ahli.

 

Setiap parti politik mempunyai sayap Pemuda masing-masing. Apa kelebihan dan keistimewaan Pejuang Muda?

Saya tidak boleh nafikan, tarikan Dr. Mahathir sangat kuat, orang kata parti politik watak. Politik watak di Malaysia sama ada suka atau tidak, ia masih lagi dominan. Kalau UMNO watak seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Najib Tun Razak; di Bersatu ada Tan Sri Muhyiddin Yassin; dalam Pas adanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tarikan kepada Dr. Mahathir itu satu. Yang lain-lain Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Marzuki Yahya, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, ini semua membantu ke arah tersebut.

Kami pun berfikir di peringkat awal, apa yang kami nak bentuk parti ini? Apa keunikannya? Yang kami nak capai adalah kejujuran dalam berjuang.

Kalau kami ambil sekalipun disebabkan untuk menjadi mass party yang banyak bermaksud kuat, itu kami telah lalui dalam Bersatu. Akhirnya kami terjatuh disebabkan pengkhianatan. Dan itu sangatlah menyakitkan ketika mana kita membentuk satu ruang yang cukup lama.

 

Sekumpulan anak muda dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Dataran Merdeka mendesak Perdana Menteri meletak jawatan, baru-baru ini. Komen?

Saya sokong idea turun (perhimpunan) ini untuk menunjuk rasa. Tetapi ia perlu tepat pada waktunya. Waktu sekarang sangat tidak sesuai dalam keadaan (Covid-19) kematian meningkat, positif harian meningkat.

Tapi jangan melihat kepada mereka yang turun, tetapi kenapa mereka turun? Mereka sudah ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 16 bulan, berkurung dalam rumah, taat setia dengan arahan. Tapi kenapa mereka tidak pernah turun (sebelum ini)?

Bayangkan, pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) nak dapat Ogos, itu pun tidak pasti awal atau hujung bulan. Dalam tempoh sebulan ini orang sudah menderita. Ketika kempen bendera putih, ada pula orang agama dalam kerajaan mengatakan ini sebagai tidak tawakal kepada Allah. Ya, anda patut untuk meredakan dalam keadaan yang baik, bukan menambah marah kepada orang. Jadi, kalau mereka turun itu, meskipun tidak sesuai pada pandangan saya, mereka punya sebab itu justified (ada asas).

 

Bagaimana suara-suara rakyat dalam media sosial?

Saya seorang anak Melayu yang sangat-sangat hormat dan sayangkan institusi raja-raja Melayu. Tapi sekiranya institusi raja-raja Melayu tidak lebih proaktif (tapi mereka sudah sangat proaktif), bila mana keadaan makin memburuk, saya bimbang suara-suara ini akan lebih kuat untuk menolak mereka dan itu tidak memberikan kebaikan kepada bangsa Melayu dan institusi raja. Kalau pergi ke Twitter, kita (Malaysia) sudah republik. Kita boleh lihat perbincangan dan semangat mereka di Twitter, macam tidak ada nilai payung-payung negara ini.

Dan perkara itu sangat tidak sihat dan saya sangat tidak setuju, ia perlu dibendung. Kerana dalam Twitter, kewujudan pandangan-pandangan sebegitu kadang-kadang agak organik berbanding dalam Facebook. Organik bermaksud berani untuk menulis dan menzahirkan siapa dia. Jadi, kita perlu masuk ke sana untuk melihat. Tengok perbincangan, mereka sudah kasar sangat. Ini sangat tidak sihat dan perlu untuk diperbaiki.

Rakyat kita perlu membezakan antara politik kepartian dan politik kenegaraan. Bercakap, mengkritik pengurusan negara bukan semestinya politik kepartian, ia politik kenegaraan. Ini bermaksud sekiranya anda bukan ahli mana-mana parti politik, anda mempunyai hak mutlak untuk memberikan komentar terhadap keadaan negara. Kita adalah pembayar cukai, maka kita bertanggungjawab dan mempunyai hak untuk bertanya. Dan kefahaman ini perlu diubah.

 

Pandangan Dr. jika lebih ramai golongan muda dilantik sebagai pemimpin utama dalam kerajaan?

Orang muda? Ya, bagus. Tapi bukan sekadar orang muda, orang muda yang berpengalaman dan orang muda yang mempunyai kemampuan. Tiket muda semata-mata tidak boleh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×