Waspada ‘tangan menghayun buaian’ - Utusan Malaysia

Waspada ‘tangan menghayun buaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM anda terus membaca nukilan ini, ingin saya bagi satu amaran – setiap perenggannya penuh dengan data-data dan fakta. Penat untuk menghadamnya.

Dan saya lebih galakkan wanita mengikuti coretan ini. Saya percaya otak sebelah kiri orang perempuan lebih pantas berkembang dari orang lelaki, seawal umur 0 hingga 6 tahun lagi.

Otak kiri golongan ini dikatakan mengatur bahagian tubuh sebelah kanan – bekerja untuk mengingat kata-kata, matematik, lisan, logik, fakta, analisis, syair, nyanyian, terperinci dan lebih teratur.

Sedangkan otak kanan cenderung kepada kreatif, warna, artistik, visualisasi, gagasan, khayalan, holistik, muzik, bentuk dan ruang.

Kerana itu tak hairanlah semenjak di bangku sekolah lagi, pelajar perempuan menduduki ranking teratas dalam kelas sehinggalah ke peringkat universiti.

Hari ini Malaysia ada 32 ahli Parlimen wanita. Jumlah itu mewakili 14.4 peratus sahaja daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen.

Penguasaan politik wanita terus mencatat skor terendah iaitu 10.8 peratus (skor 0.108), sekali gus golongan ini masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dari data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 2018, daripada keseluruhan 687 orang calon yang bertanding pada peringkat Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), hanya 75 orang calon (10.9 peratus) daripada kalangan wanita.

BERTANDING

Barisan Nasional (BN) sahaja menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU-13, Pakatan Harapan dengan 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding dan Pas mempunyai 36 calon wanita daripada jumlah 548 calon yang bertanding.

Parti Warisan pula menampilkan sembilan calon wanita, Harapan Rakyat (tujuh), Parti Rakyat Malaysia (lima), Penang Front Party (tiga), People’s Action Party (dua), Parti Cinta Sabah (dua) dan lima wanita bertanding sebagai calon Bebas.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan wanita dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau DUN adalah 251 orang daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon.

Dari laporan Perangkaan Demografi dikeluarkan 10 Februari tahun ini, penduduk Malaysia dianggarkan 32.73 juta orang pada suku keempat 2020 – meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta pada tempoh sama 2019.

Jumlah penduduk itu merangkumi 29.85 juta orang (91.2 peratus) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8 peratus) bukan warganegara.

Dan lebih menarik lagi, beza jumlah antara penduduk perempuan dan lelaki tak lari jauh, masing-masing 15.90 juta dan 16.83 juta. Penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta. Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) pula meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh sama.

PENENTU KEMENANGAN

Bercakap pasal orang perempuan, saya ambil contoh Iceland yang telah lama dianggap tempat terbaik di dunia untuk seorang wanita. Sepanjang sembilan tahun lalu, negara itu mendahului indeks kesamaan jantina Forum Ekonomi Dunia.

Namun untuk capai tahap itu bukan mudah. Pada 24 Oktober 1975, wanita Iceland bersepakat mogok kerja. Mereka enggan memasak, membersihkan atau menjaga anak-anak mereka. Pada hari itu, kedai-kedai di Iceland kehabisan satu-satunya makanan yang disediakan masa itu, sosej.

Memanggilnya simbolisme, tetapi dengan cara ‘menyerang’ sebegitu, wanita-wanita Iceland berjaya memastikan orang lelaki menghormati pekerjaan mereka dan menuntut gaji sama.

Hari ini, Iceland menjadi negara pertama di dunia berjaya membuktikan majikan tidak membayar wanita kurang daripada lelaki untuk kerja yang sama. Malah, majikan bergegas untuk mematuhi peraturan baharu dalam mengelakkan denda. Syarikat-syarikat dan agensi-agensi kerajaan yang mempunyai lebih daripada 25 kakitangan mesti mendapatkan pensijilan kerajaan tentang polisi gaji mereka yang sama.

Wanita di Iceland sangat berpendidikan. Dan menyaksikan peratusan yang tinggi memegang jawatan pengurusan. Wanita negara itu tidak melepaskan kerjaya mereka untuk mempunyai anak-anak. Akhir tahun 2017, Iceland mendapat perdana menteri wanita kedua, berusia 41 tahun memiliki tiga anak lelaki.

Dalam PRU-14, SPR menyenaraikan 14,940,624 pengundi berdaftar yang layak mengundi. Daripada jumlah tersebut sebanyak 50.58 peratus atau 7,557,187 terdiri daripada pengundi wanita berbanding lelaki iaitu 49.42 peratus.

Jelas, wanita menjadi menjadi penentu kepada kemenangan. Jika pola ini berterusan sehingga PRU-15, ditambah lagi dengan kelayakan mengundi diturunkan dari umur 21 tahun ke 18 tahun, golongan (wanita) ini patut digeruni oleh mana-mana parti politik tanah air ini – yang dikusutkan lagi dengan komponen induk parti Melayunya sudah berpecah-belah.

Dan apa lagi bila difikirkan rekod peratusan keluar mengundi 82.32 peratus dalam PRU tiga tahun lepas itu.

Penatkan baca nukilan ini?

Tapi yang sudah terang lagi bersuluh impak ‘tangan menghayun buaian ini’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN