Pahit getir 30 tahun Azerbaijan - Utusan Malaysia

Pahit getir 30 tahun Azerbaijan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Azerbaijan merupakan salah sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan khazanah dunia. Negara yang terletak di Kaukasus Selatan antara Asia dan Eropah ini sudah berusia 30 tahun setelah mengecapi kemerdekaan pada 30 Ogos 1991.

Namun, sejak awal abad ke-20 lagi, Azerbaijan mengalami beberapa kali proses pertukaran sistem pemerintahan negara yang dipacu oleh motif, sejarah dan latar belakang berbeza seperti Republik Demokratik Azerbaijan (RDA) 1918, Republik Sosialis Soviet Azerbaijan (1920) dan Republik Azerbaijan (1991).

Fakta utama yang perlu diketahui ialah Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaan pada 28 Mei 1918 dan RDA merupakan sebuah negara demokratik – sekular pertama dalam sejarah dunia Islam. Republik ini terbentuk setahun setelah Revolusi Februari 1917 yang menoktahkan pemerintahan Empayar Beraja Rusia. Kejatuhan Empayar Rusia yang bertahan selama lebih 200 tahun memberi peluang kepada Azerbaijan untuk membentuk sebuah negara berdaulat dan berdiri sendiri. Fatali Khan Khoyski berasal dari kota Shaki dilantik sebagai Perdana Menteri RDA yang pertama.

Di sebalik berhadapan kesukaran sewaktu awal pembentukannya, RDA masih mampu menggabungkan prinsip dan cita-cita demokratik Barat, liberal dan nilai budaya Timur. Ia merupakan sebuah negara sekular dan bebas yang memberikan hak sama rata dalam hal ehwal politik, sosial dan ekonomi kepada warganya tanpa mengira asal usul, kelas dalam masyarakat atau jantina mereka.

Apa yang menarik tentang RDA, sekalipun mereka bertahan hanya dalam tempoh dua tahun, namun kejayaan yang dikecapi begitu besar dan membanggakan. Hubungan diplomatik dengan negara-negara berdaulat merupakan antara dasar luar negara yang penting dalam memastikan wilayah RDA sentiasa terpelihara dan dihormati.

Hasil daripada hubungan diplomatik ini, 16 negara seperti Belgium, Switzerland, Belanda dan Finland mendirikan kedutaan besar masing-masing di ibu kota Baku. Dalam masa singkat sahaja, RDA berjaya menyatukan seluruh Azerbaijan di bawah satu kepemimpinan.

Parlimen Azerbaijan pertama ditubuhkan pada 1918 dan merupakan forum di mana perwakilan semua agama dan etnik dapat menyuarakan pandangan mereka secara bebas. Parlimen disokong oleh Kabinet yang terdiri daripada mereka yang cerdik, muda dan berkarisma. Antara pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan RDA termasuklah pemulihan saluran minyak Batum di Baku, meneruskan pembinaan kereta api Julfa, mewujudkan Bank Negara Azerbaijan, mengeluarkan mata wang kertas dan melaksanakan beberapa langkah yang proaktif dalam mengembangkan Syarikat Perkapalan Caspian. Pencapaian republik ini tidak berakhir di sini. Pada 1 September 1919, Parlimen Azerbaijan menetapkan undang-undang mengenai pembukaan Universiti Kebangsaan Baku. Di samping itu, golongan wanita diberi hak untuk mengundi, jauh lebih awal daripada Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat lain.

Para pemimpin muda RDA juga bekerja keras ke arah diplomasi. Terdapat beberapa usaha yang dijalankan RDA bagi mendapatkan pengiktirafan dunia seperti menghantar beberapa perwakilan dan diplomat yang terpilih ke Persidangan Perdamaian Paris 1919. Ketika pertemuan dengan Presiden AS waktu itu, Woodrow Wilson, RDA membuat beberapa permintaan. Antaranya mengiktiraf kemerdekaan RDA dan memasukkan RDA ke dalam Liga Bangsa-Bangsa. Perwakilan RDA ke persidangan tersebut telah menyakinkan Presiden Wilson yang kemudiannya menyebut: “Saya berbicara dengan para pemuda yang bercakap dengan nada yang sama berkenaan idea, konsep kebebasan dan hormat terhadap hak dan keadilan.” Misi tersebut berjaya mendapatkan pengiktirafan untuk RDA secara de facto oleh para peserta Persidangan Perdamaian Paris 1919.

Malangnya, campur tangan tentera Bolsheviks mengakibatkan RDA terbubar pada 1920 dan sejurus kemudian, bermulalah pemerintahan Kesatuan Soviet selama 70 tahun.

Runtuhnya Kesatuan Soviet memberi peluang sekali lagi untuk Azerbaijan mengisytiharkan kemerdekaannya pada 1991. Sekalipun kewujudan RDA begitu singkat, namun RDA menjadi salah sebuah era yang paling hebat dan membanggakan dalam sejarah Azerbaijan. Warga Azerbaijan dan kerajaannya akan terus menerus mengingatinya dengan penuh penghormatan.

Ketika Azerbaijan kembali merdeka pada 1991, mereka menyatakan kesetiaan terhadap tradisi republik yang pertama. Secara rasminya, 28 Mei diisytiharkan sebagai Hari Republik serta pelbagai langkah diambil dalam memelihara legasi peristiwa bersejarah itu.

Kini, Azerbaijan merupakan ahli penuh anggota organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Dari 2019 hingga kini, Azerbaijan berjaya memimpin Gerakan Negara-Negara Berkecuali dengan menegakkan prinsip Bandung bagi memastikan tindak balas yang sistematik dan memadai terhadap cabaran dunia pada saat ini.

Dalam pada itu, Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Galey Allahverdiyev berkata, tahun ini, warga Azerbaijan menyambut Hari Republik dengan perasaan bangga.

“Kami baru sahaja membebaskan tanah air kami yang telah dijajah selama 30 tahun.

“Berikutan pernyataan tiga hala yang ditandatangani antara Presiden Azerbaijan, Presiden Rusia dan Perdana Menteri Armenia, kami berpendapat terdapat satu harapan baharu di rantau kami, wilayah Kaukasus Selatan.

“Azerbaijan tetap teguh pada komitmennya untuk bekerjasama dan menjaga hubungan damai dengan negara-negara tetangga,” katanya, baru-baru ini.

PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN