Politik peduli rakyat, ramuan kejayaan - Utusan Malaysia

Politik peduli rakyat, ramuan kejayaan

Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) bertanyakan khabar dengan seorang warga emas yang baru menerima suntikan vaksin Covid-19 di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Politik peduli rakyat. Inilah ramuan kejayaan merujuk kepada kegunaan kuasa politik UMNO Pahang yang menunjangi Barisan Nasional (BN). Dan BN negeri pula tidak pernah gagal pada 14 pilihan raya umum (PRU) lepas, lalu terus-menerus memerintah Pahang sehingga kini.

Segalanya bermula dengan langkah kanan pada PRU pertama tahun 1955. Oleh kerana sikap kepedulian terhadap rakyatlah, maka BN atau Parti Perikatan ketika itu menyapu bersih kesemua tiga kerusi Parlimen serta 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Tujuh daripadanya menang tanpa bertanding.

Selain kerana semangat kebangsaan tinggi agar negara dapat dimerdekakan, faktor utama yang turut menyumbang kepada kejayaan cemerlang UMNO-BN negeri ketika itu ialah manifesto pilihan raya yang mengutamakan rakyat.

Daripada 47 perkara dalam manifesto tersebut, salah satu ialah yang menggagaskan pengwujudan sebuah rancangan pembangunan tanah berskala besar yang kemudiannya dikenali – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) atau Felda.

Matlamat utamanya agar rakyat yang sebelum ini tidak memiliki tanah atau memiliki paling luas pun tidak lebih 0.2 hektar, dapat akhirnya memiliki tanah dengan keluasan sewajarnya.

Maka, jika hari ini para peneroka dan ahli keluarga mereka bersyukur dan menghargai usaha bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein membangunkan Felda di seluruh negara, sebahagian daripada penghargaan ini patut dijuruskan kepada UMNO Pahang.

Ini diluahkan kepada saya oleh tokoh veteran UMNO yang juga bekas Speaker DUN, Allahyarham Datuk Khairuddin Mohd. Kawi dalam temu bual, kira-kira 11 tahun lalu.

Temu bual itu dalam rangka saya menerbitkan buletin khas dikenali Pembela Rakyat sempena Konvensyen UMNO Negeri Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Bandar Tun Razak, Maran pada 2010.

“(Di bawah hal berkaitan) pentadbiran, dimasukkan tentang pembukaan rancangan tanah secara besar-besaran yang teratur, tersusun, untuk diberi kepada rakyat bagi menjamin kehidupan lebih selesa.

“Ini juga diambil dan menjadi sebahagian daripada manifesto Parti Perikatan yang siap pada 1954. Ha…itu satu yang kita UMNO Pahang berasa sangat besar hati,” kata Khairuddin yang juga Setiausaha Jawatankuasa Penyediaan Manifesto di bawah Datuk Abdul Aziz Ahmad @ Pak Ngah Aziz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar ketika itu.

Menurut Khairuddin, asas utama kepada cadangan rancangan pembangunan tanah itu ialah menyedari hakikat ketika itu betapa sukarnya rakyat memiliki tanah terutama semasa penjajah Inggeris memerintah negara.

LURAH BILUT

Yang membanggakan ialah semasa Abdul Razak menjelajah ke negeri-negeri bagi mengumpul maklumat berkaitan manifesto, Allahyarham memuji UMNO Pahang susulan adanya perkara mengenai rancangan pembangunan tanah ini.

“Dan Allahyarham kata, Sultan Pahang pun (Sultan Sir Abu Bakar) bersetuju supaya tanah Pahang ini dibagi (diberi) sebagai milik orang Melayu luar Pahang yang sanggup bermastautin di negeri Pahang dengan masuk (menyertai) rancangan tanah yang diatur ini,” kata Khairuddin lagi.

Selepas itulah, usaha digerakkan bagi merealisasikan pembukaan rancangan tanah tersebut dan akhirnya Rancangan Tanah LKTP Lurah Bilut, Bentong – rancangan pembangunan tanah pertama di negara ini dibuka dan mula diduduki peneroka pada 1959.

Yang lain kata orang, ialah sejarah dan sehingga kini, Pahang ialah penyumbang tanah terluas bagi rancangan tanah Felda – 203,011 hektar dengan lebih 43,000 peneroka bukan sahaja dari Pahang malah dari negeri-negeri lain.

Dan pula kini, lebih 90 peratus daripada peneroka-peneroka ini telah pun memperoleh surat hak milik tanah masing-masing – purata 4.04 hektar tanah ladang dan lagi 0.1 hektar tanah kediaman, keseluruhannya kira-kira 182,000 hektar atau kira-kira dua kali ganda keluasan Perlis (79,500 hektar).

Mengambil senario semasa di bawah kepemimpinan hampir tiga tahun oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sikap yang samalah – kepedulian tinggi terhadap kebajikan rakyat menjadi kunci utama corak dan kaedah pentadbiran serta politiknya.

Meneruskan tradisi membela rakyat menerusi bantuan-bantuan kepada golongan memerlukan di bawah Dana Khas Pahang (DKP) pada era pendahulunya – Datuk Seri Adnan Yaakob, Wan Rosdy memperkenalkan pula Bantuan Prihatin Pahang (BPP).

Pada tahun ini sahaja, hampir RM20 juta diperuntukkan meliputi sumbangan secara bulanan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri mahupun secara one-off kepada pelbagai golongan dan kaum termasuk dalam kalangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB).

Dalam usaha meningkatkan hasil negeri menerusi kaedah percukaian, kadar lapuk dikaji dan dinaikkan, namun tidak melibatkan golongan bawahan melainkan mereka yang mampu menampungnya. Misalnya cukai balak – yang terkesan cuma tauke-tauke balak yang menyebabkan margin keuntungan mungkin terkesan sedikit tetapi tidaklah merugikan.

Oleh sebab itulah juga, hasil negeri terus melonjak di bawahnya dengan mula mencecah angka RM800 juta sejak 2019, iaitu RM847.3 juta dikutip pada akhir 2019 dan RM850.46 juta pada akhir tahun lepas.

Hasil negeri ini pula bukannya untuk menjadi kebanggaan semata-mata tetapi menurutnya, mesti dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai rupa termasuk pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) secara percuma kepada yang memerlukan.

Dan rakyat terus teruja dengan kepemimpinan politik negeri sebegini, apatah pula dengan pendekatan Wan Rosdy berkenaan kewangan seperti mana selalu disebutnya – berbelanja, jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut, demi rakyat juga.

PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN