Norma baharu bertadarus - Utusan Malaysia

Norma baharu bertadarus

Ancaman Covid-19 menyebabkan kelas tadarus tidak lagi dibuat secara bersemuka seperti dahulu sebaliknya secara dalam talian menggunakan media sosial atau aplikasi termasuk Facebook, WhatsApp, Zoom Meeting dan Google Meeting. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan teknologi komunikasi masa kini merupakan norma baharu dalam kehidupan manusia. Kehadirannya tidak boleh disangkal lagi terutama apabila berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Namun, Islam tidak pernah menolak kemajuan dan menerima penggunaan teknologi komunikasi ini sebagai alat yang boleh digunakan untuk mencapai kebaikan. Hal ini pernah disebut dalam kata-kata hikmah Arab bermaksud: “Didiklah (persiapkanlah) anak-anakmu atas hal yang berbeza dengan keadaanmu (sekarang) kerana mereka adalah makhluk yang hidup untuk satu zaman yang bukan zamanmu (sekarang).”

Oleh itu, umat Islam perlu menggunakan kemudahan teknologi ini sebagai alat yang boleh mendatangkan manfaat terutama apabila adanya program-program atau aplikasi yang memudahkan urusan ibadah umat Islam seperti aktiviti tadarus yang biasa dilakukan di bulan Ramadan.

Dewasa ini sudah wujud kumpulan-kumpulan yang memperkasakan al-Quran melalui Facebook, WhatsApp, Zoom Meeting, Google Meeting dan sebagainya. Kumpulan tersebut dilaksanakan oleh institusi atau persendirian secara percuma mahupun dikenakan bayaran. Kumpulan yang aktif secara dalam talian antaranya Jom Baca Al-Quran, Kelas Quran Kak Yah Global, Mengaji Al-Quran Secara Online, Kelas Mengaji Al-Quran Secara Online, Kelas Mengaji Tahap 1, Kelas Mengaji Tahap 2 dan Azdan Quranic Centre.

Kesemua kumpulan ini mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk belajar dan memperbaiki bacaan al-Quran. Faktor jarak tidak menjadi halangan untuk belajar membaca al-Quran secara bersama dengan adanya teknologi. Guru dan murid boleh bertemu walaupun hanya secara maya.

Begitulah hikmah dan nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada umat Islam pencinta al-Quran. Umamah al-Bahili meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya.”(Sahih Muslim).

RUTIN

Bukan sahaja mereka yang membaca al-Quran, malah golongan yang mendengarnya juga dikira sebagai melakukan amal kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204)

Oleh itu, setiap mukmin perlu menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai amalan harian yang tidak sesekali diabaikan.

Bersempena menyambut Ramadan, bertadarus 30 juzuk al-Quran merupakan amalan rutin bagi orang yang bersungguh-sungguh mengejar ganjaran pahala berganda. Malah melalui bertadarus inilah umat Islam boleh memperbaiki bacaan al-Quran masing-masing.

Pada masa ini, pelbagai kaedah tadarus sama ada secara bersemuka atau secara dalam talian dilaksanakan bagi tujuan tersebut, iaitu menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran sepanjang Ramadan. Namun, umat Islam perlu memahami konsep dan tujuan tadarus agar tidak terlepas daripada mendapatkan manfaat terutama bagi yang menggunakan teknologi media ini.

Tadarus perlu ada pembaca dan orang yang menyemak bacaan serta menegur kesilapan bacaan tersebut. Oleh itu, tadarus mesti dibaca secara berkumpulan sekurang-kurangnya dua orang yang salah seorang daripada mereka mahir dengan hukum tajwid.

Tadarus yang dilakukan akan memperoleh pahala bagi yang membaca al-Quran terutama apabila dibaca secara tartil dengan makhraj dan tajwid yang betul, bukan mengejar untuk menghabiskan juzuk al-Quran.

PAHALA

Tadarus yang dilakukan akan memperoleh pahala bagi yang mendengar bacaan al-Quran di samping menghayati maknanya. Pahala khatam al-Quran akan diperoleh jika tadarus dilakukan oleh ahli yang tetap sehingga khatam 30 juzuk al-Quran bukan daripada ahli yang silih berganti.

Pahala khatam al-Quran juga akan diperoleh jika dibaca dari juzuk 1 hingga 30 dan bukan dibahagikan mengikut kumpulan dengan juzuk yang berbeza-beza walaupun dapat menghabiskan 30 juzuk.

Salah seorang guru al-Quran yang mengetuai kumpulan tadarusnya, Noriah Siren berkata, hatinya tergerak untuk mewujudkan kumpulan tadarus dalam kalangan adik-beradik apabila salah seorang adiknya meminta mengajar al-Quran menggunakan panggilan video.

Kelas tadarusnya dianggotai lima orang lagi adik-beradik perempuan dan seorang adik ipar. Kelas diadakan setiap pagi seawal pukul 7 dengan pengisian bacaan berdasarkan surah tertentu dengan mengajar hukum tajwid dan makhraj huruf secara hands on (amali). Dia yang merupakan guru kelas al-quran dan fardu ain (KAFA) dan memiliki tauliah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan bersyukur dapat membantu ahli keluarganya memperbaiki bacaan al-Quran.

Kakak sulungnya, Noorlaila Ghafar, 64, rasa bertuah kerana dapat menyampaikan tadabbur al-Quran yang dipelajari dari pondok kepada adik-beradiknya di samping dirinya sendiri dapat memperbaiki bacaan al-Quran.

“Belajar al-Quran secara dalam talian dengan guru lain, tidak puas kerana kadangkala tidak berpeluang untuk membaca. Saya tiada tauliah menyampaikan tafsir al-Quran, sekadar berkongsi ilmu dengan adik-beradik bagi menguji kefahaman ilmu yang dipelajari,”katanya.

Perkongsian ilmu sebegini turut mengeratkan lagi hubungan adik-beradik di samping dapat bertanya khabar dan melepaskan rindu kerana mereka berada pada jarak yang jauh untuk bertemu secara fizikal.

PENULIS ialah Kluster Sidang Editorial Jurnal Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN