SOP PKP: Normal atau norma baharu? - Utusan Malaysia

SOP PKP: Normal atau norma baharu?

Tradisi makan besar yang menghimpunkan seluruh ahli keluarga pada ambang Tahun Baharu Cina kali ini tidak dibenarkan dalam bentuk lama, iaitu tiada had jumlah. – Utusan/Amir Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Banyak amalan kita sebelum menularnya pandemik Covid-19 tidak dapat diteruskan kerana keperluan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), iaitu satu set cara atau peraturan yang dikeluarkan sesuatu pihak untuk dituruti satu per satu selain langkah demi langkah bagi menjayakan sesuatu urusan, sama ada perniagaan, kempen, kegiatan dan sebagainya. SOP diwujudkan untuk mencapai kejayaan bagi pelbagai perkara, antaranya keberkesanan, hasilan bermutu dan keseragaman dalam melakukan sesuatu. Pada masa sama, SOP penting untuk mengurangkan kegagalan selain salah faham tentang sesuatu urusan itu.

Untuk itu, tradisi makan besar yang menghimpunkan seluruh ahli keluarga pada ambang Tahun Baharu Cina kali ini tidak dibenarkan dalam bentuk lama, iaitu tanpa had jumlah. Inilah SOP bagi majlis tersebut pada kali ini yang mengehadkan bilangannya agar sederhana kecil sahaja. Adanya had ahli keluarga menyertainya selain peraturan himpunan tentang penjarakan fizikal adalah untuk mengurangkan kontak yang didapati faktor jangkitan utama pandemik Covid-19. Tidak dapat dinafikan, semua ini perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Oleh itu, ia dipanggil normal baharu sebagai terjemahan daripada new normal.

BERJABAT TANGAN

Normal baharu adalah keadaan dalam masyarakat tentang wujudnya sesuatu yang tidak pernah ada dan berlainan pula dengan pernah ada. Ia keadaan tidak wujud dahulu yang kini perlu dibiasa-biasakan sehingga berakhirnya sebab yang mewujudkannya. Jadi, normal baharu adalah satu keadaan sementara sahaja dan boleh tidak diteruskan apabila tamatnya krisis yang menyebabkan cara lama hendaklah digantikan dengan cara baharu.

Dalam hal ini, makan malam Tahun Baharu Cina kali ini dengan beberapa kekangannya adalah normal baharu. Dengan ini, ia tidak perlu diteruskan apabila pandemik Covid-19 tidak menjadi ancaman lagi. Pada masa itu, ia pasti digantikan semula dengan cara lama, iaitu norma sedia kala. Sehubungan itu, norma makan malam Tahun Baharu Cina dengan kelaziman yang dihadiri ramai ahli keluarga tanpa sebarang larangan adalah bukan sahaja syarat utamanya. Itu juga adalah sifat sebetulnya.

Dengan ini, makan malam Tahun Baharu Cina dengan kekangan SOP bukan norma baharu, iaitu new norm. Sebaliknya ia normal baharu. Begitu juga dengan banyak amalan yang perlu dibiasa-biasakan kini akibat pandemik Covid-19 tidak akan terus kekal setelah penyakit itu tiada nanti. Antaranya larangan berjabat tangan dan bersentuhan sewaktu bertemu.

Natijahnya di sini ialah harus ada bukan sahaja perbezaan dalam penggunaan ungkapan normal baharu dan norma baharu. Penggunaannya juga harus tepat. Ini kerana dua ungkapan ini membawa dua pengertian yang tidak sama. Justeru, ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya, apatah lagi secara berselang-seli.

MANTAP

Normal baharu ialah cara baharu yang dibiasa-biasakan kini sebagai penyesuaian atau penggantian kepada cara lama yang sudah mantap sebelum berlakunya sesuatu yang memerlukan perubahan dilakukan. Ia bersifat hanya seketika dan boleh ditinggalkan untuk kembali kepada penggunaan cara lama setelah sesuatu yang menyebabkan perubahan itu tiada lagi.

Sekiranya cara baharu seketika ini terus kekal dan meninggalkan cara lama, maka normal baharu akan bertukar menjadi norma baharu, yakni cara baharu yang sudah diterima sebagai tindakan biasa baharu untuk dilanjutkan amalannya dalam sesuatu urusan itu sebagai cara standardnya. Dengan ini, norma baharu ialah cara baharu yang dikehendaki diguna pakai oleh semua pihak kerana ia sudah menjadi cara yang diharapkan masyarakat sebagai resamnya, setelah ia sudah diterima umum sebagai caranya yang sesuai lagi betul untuk menggantikan yang lama.

Norma baharu adalah cara yang diterima sebagai penanda aras dalam melakukan sesuatu, dalam erti kata ia cara yang diiktiraf dan rasmi pula selain diguna pakai secara kekal sehingga digantikan norma lain yang baharu. Ia cara yang diperlukan umum kerana merupakan cara yang tepat dan mungkin satu-satu cara yang direstui masyarakat yang menganggapnya beradat lagi beradab.

Untuk pemahaman lanjut, berhijab bagi kaum hawa Muslim Malaysia adalah normal baharu apabila ia mula-mula wujud pada awal 1990-an ekoran kebangkitan Islam pada waktu itu atau sebelum itu walaupun ia memang merupakan tuntutan dalam Islam. Kini berhijab adalah norma, yakni perlakuan yang diharapkan daripada wanita Muslim di negara ini, setelah menjadi norma baharu untuk suatu ketika selepas menjadi normal baharu pada awalnya.

PKP

SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah normal baharu, yakni ia cara baharu untuk seketika sahaja dan akan ditinggalkan sejurus tiada lagi pandemik Covid-19. Ini termasuk pemakaian wajib pelitup muka sepanjang masa di kawasan awam oleh semua orang. Ini kerana ia bukan kelaziman kita sebelum ini dan tidak mahupun diteruskan oleh banyak orang. Meskipun begitu, sebilangannya akan menjadi norma baharu dan akhirnya norma setelah ia rata-rata mahu terus diamalkan sebagai perlakuan yang realistik. Antaranya berkomunikasi secara talian untuk mesyuarat kerana didapati ia jauh lebih praktikal dalam banyak keadaan.

PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN