Hujung minggu lalu, seorang sahabat bertanya, tidak bolehkah kita wujudkan sebuah Mahkamah Perlembagaan untuk mendengar kes-kes melibatkan pentafsiran atau kesan peruntukan Perlembagaan Persekutuan?
Saya tanya balik, kenapa dia bangkitkan isu itu sekarang? Beliau menjawab, kebelakangan ini kerap kes-kes berkaitan Perlembagaan difailkan di Mahkamah Persekutuan. Terbaharu, kes yang difailkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Februari lalu.
Soalnya lagi, tidakkah lebih baik Mahkamah Persekutuan (sebagai mahkamah paling tinggi dalam hierarki kehakiman negara) mengkhususkan tenaganya mendengar kes-kes dari Mahkamah Rayuan? Betulkah ada kes yang hendak dirayu oleh peguam dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan, tetapi malangnya tidak mendapatkan izin (leave) daripada Mahkamah Persekutuan atas sebab-sebab tertentu.
Betul juga kata sahabat saya itu. Walaupun kita ada tiga tangga badan kehakiman di peringkat atasan, hakikatnya hanya sekali rayuan secara automatik, iaitu dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan. Selepas itu, jika ada pihak yang masih terkilan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, rayuan kali kedua ke Mahkamah Persekutuan belum pasti. Jika perayu gagal mendapatkan izin (leave) daripada Mahkamah Persekutuan, kes itu terhenti di situ sahaja.
Andainya kes-kes melibatkan Perlembagaan Persekutuan tidak menjadi tanggungjawab Mahkamah Persekutuan (disebabkan kes-kes begini didengar hanya oleh Mahkamah Perlembagaan yang hendak ditubuhkan), kita boleh pastikan ada rayuan kali kedua secara automatik dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mana-mana pihak yang mahu berbuat demikian.
Pada 27 Januari 2019, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan kerajaan menubuhkan Mahkamah Perlembagaan untuk mendengar kes-kes berkaitan Perlembagaan Persekutuan.
Sehari selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada masa itu), Datuk Liew Vui Keong mengakui memang ada cadangan dikemukakan untuk mewujudkan satu Mahkamah Perlembagaan.
Bagaimanapun, pada pandangannya, kes-kes Perlembagaan masih boleh didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, kerajaan tidak melihat ada keperluan menubuhkannya.
Pendapat serupa dinyatakan oleh Profesor Harding, seorang pakar undang-undang Perlembagaandalam makalahnya, A constitutional court for Malaysia: A misconceived legal transplant? (https://theasiadialogue.com). Beliau menyatakan, ada dua sebab utama kenapa sesetengah pihak menyatakan Mahkamah Perlembagaan perlu diwujudkan. Bagaimanapun, mengikut pendapatnya, kedua-dua alasan itu tidak berasas (both of these reasons are unfounded).
Mengikut Harding, dua sebab tersebut adalah seperti berikut. Pertama, ada pihak yang kurang puas hati dengan prestasi badan kehakiman dalam hal perkara Perlembagaan. Justeru kita perlu wujudkan satu mahkamah khas untuk memikul tanggungjawab ini. Kedua, terdapat banyak kes kebelakangan ini yang menyaksikan pertembungan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Penubuhan Mahkamah Perlembagaan adalah untuk menangani masalah konflik bidang kuasa ini, misalnya kes-kes sensitif seperti pertukaran agama.
KHUATIR
Mengikut Harding, mahkamah yang ada di negara ini sekarang are doing a pretty good job (telah menunjukkan prestasi yang baik), mampu memutuskan kes-kes melibatkan isu konflik bidang kuasa. Sekiranya ditubuhkan Mahkamah Perlembagaan, apakah kita pasti prestasinya akan lebih baik lagi?
Dalam makalahnya yang lain bertajuk The Fundamentals of Constitutional Courts (https://constitutionnet.org/), Harding menggariskan kebaikan dan keburukan penubuhan Mahkamah Perlembagaan. Antara kebaikannya:
– Kemuktamadan dan keseragaman pentafsiran Perlembagaan.
– Pemilihan dan pelantikan hakim dalam kalangan yang punyai kepakaran undang-undang Perlembagaan, lebih arif dan kompeten memutuskan persoalan sensitif.
Antara keburukan atau kesan negatif:
– Khuatir (curiga) ia akan menjadi sebuah badan yang terlalu berkuasa.
– Hanya satu peluang untuk membuat keputusan yang betul (tiada sistem rayuan daripadanya).
Bidang kuasa Mahkamah Persekutuan
Pada masa ini, bidang kuasa Mahkamah Persekutuan disebutkan dalam Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Fasal (1), mahkamah ada bidang kuasa memutuskan persoalan sama ada undang-undang itu terbatal atau tidak sah disebabkan bertentangan dengan Jadual Ke 9, dan pertikaian mengenai apa-apa soal lain antara negeri-negeri atau antara Persekutuan dan negeri.
Di bawah Fasal (2), mahkamah boleh dalam situasi di mana terdapat apa-apa prosiding di hadapan suatu mahkamah lain yang menimbulkan soalan tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, memutuskan soal itu dan menghantar balik kes kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan.
Di bawah Fasal (3), mahkamah ada bidang kuasa rayuan.
Di bawah Perkara 130 pula, Yang di-Pertuan Agong boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta pendapatnya (opinion) mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya dalam mahkamah terbuka.
Kesimpulannya, Mahkamah Persekutuan ada empat jenis bidang kuasa iaitu bidang kuasa asal, bidang kuasa rayuan, bidang kuasa rujukan dan bidang kuasa nasihat. Bidang kuasa rayuannya diperincikan lagi dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Seksyen 87 (bagi rayuan kes-kes jenayah) dan Seksyen 96 (bagi rayuan kes-kes sivil).
Andai Mahkamah Perlembagaan khas ditubuhkan, tiga bidang kuasa Mahkamah Persekutuan sekarang (bidang kuasa asal, bidang kuasa rujukan dan bidang kuasa nasihat) boleh diserahkan kepadanya. Ini bermakna bidang kuasa yang dikekalkan kepada Mahkamah Persekutuan hanyalah bidang kuasa rayuan di bawah Perkara 128 Fasal (3).
Pastinya semua ini tidak boleh berlaku kecuali satu dasar baharu dapat dibentuk dan Perlembagaan Persekutuan dapat dipinda.
Saya katakan kepada sahabat tadi, dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlarutan, idea penubuhan Mahkamah Perlembagaan adalah satu mimpi di siang hari.
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










