Apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan pandemik Covid-19, kegusaran mula timbul dalam kalangan mahasiswa. Pertama, adakah kuliah akan terus dilaksanakan secara dalam talian? Kedua, bagaimana sekiranya PKP berlanjutan?
Persoalan tersebut sebenarnya telah terjawab menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk semester kedua sesi 2020/2021 dijalankan secara hibrid. Pelajar berkeperluan yang berada di kampus akan mengikuti sesi PdP secara dalam talian dan bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Bagi pelajar yang masih berada di rumah, perlu terus kekal di lokaliti masing-masing dan mengikuti pembelajaran kuliah secara dalam talian.
Tetapi, apakah PdP hibrid? PdP hibrid merupakan gabungan pembelajaran secara dalam talian dan bersemuka. Kelebihannya dapat mengatasi isu bilangan pelajar yang ramai di dalam kelas dan dapat menghabiskan sukatan pembelajaran selama 14 minggu sesi kuliah terutama ketika pandemik.
Sekalipun PdP dilaksanakan secara hibrid untuk semester akan datang, namun hakikatnya pembelajaran secara dalam talian lebih ditekankan dan dipraktikkan secara meluas di institusi pengajian tinggi (IPT).
Persoalannya, wajarkah PdP secara dalam talian diteruskan? Bagaimana pula dengan penerimaan pelajar tentang perkara ini? Apakah implikasi yang mungkin timbul terhadap kualiti program di IPT?
IPT seharusnya semakin bersedia dan sistem teknologi pengajaran perlu ditambah baik seiring keperluan semasa. Umpamanya, universiti awam harus meningkatkan kualiti sistem penyampaian pendidikan melalui massive online open courses (MOOC).
MOOC adalah kursus dalam talian dengan tajuk yang trending dan terkini untuk menarik perhatian pelajar. Format pengendalian kursus adalah dalam bentuk video asli berdurasi lima minit sebagai topik disertai dengan kandungan multimedia interaktif untuk mengukuhkan pemahaman pelajar.
Bagi menambah pengetahuan pelajar, pembangun MOOC perlu membekalkan mereka dengan bahan rujukan tambahan seperti video, artikel jurnal dalam bentuk pdf dan sebagainya.
Selain itu, universiti juga disaran membina sendiri aplikasi dan platform bagi memberi lebih kefahaman kepada pelajar di samping meningkatkan lagi kualiti capaian internet.
HILANG FOKUS
Beberapa pengkaji berpendapat, proses penerimaan terhadap sesuatu perkara bergantung kepada individu berpandukan ciri-ciri tertentu. Hasil kajian saya menunjukkan rata-rata pelajar cenderung memilih PdP secara bersemuka kerana memberi lebih kefahaman terhadap subjek dipelajari. Terdapat pelajar menyuarakan kebimbangan sekiranya PdP diteruskan secara dalam talian akan menyebabkan mereka hilang fokus, kurang bermotivasi dan kurang daya tumpuan.
Bagaimanapun, masih terdapat pelajar bersetuju PdP diteruskan secara dalam talian kerana IPT harus mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan mereka. Tetapi kelonggaran perlu diberikan kepada pelajar tahun akhir untuk berada di kampus dan dibenarkan menggunakan kemudahan tertentu dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi menyiapkan projek ilmiah tahun akhir.
Ini menunjukkan segelintir pelajar masih mengharapkan PdP dilaksanakan secara bersemuka berbanding secara dalam talian. Dalam konteks ini, seharusnya IPT dan pensyarah perlu diberikan lebih peluang oleh pelajar untuk mereka meningkatkan kualiti PdP berbanding sebelum ini.
Namun begitu, kedengaran suara-suara sumbang mempersoalkan implikasi kualiti program-program di IPT jika diteruskan PdP secara dalam talian. Malah ada beranggapan, situasi ini akan mempengaruhi jumlah kemasukan pelajar baharu kelak.
Tetapi tahukah anda, kualiti program yang ditawarkan di universiti terus kekal relevan kerana pensyarah masih menjalankan PdP mengikut rancangan pengajaran yang diluluskan oleh pengurusan universiti? Yang membezakan hanyalah kaedah pelaksanaan kuliah dan aktiviti bergantung pada kreativiti pensyarah masing-masing.
Tambahan pula program yang ditawarkan tersebut akan melalui proses semakan kurikulum. Bahkan sesi pembelajaran akan menjadi bertambah baik dengan kaedah hibrid yang diperkenalkan oleh KPT untuk semester akan datang.
Pelbagai inisiatif juga diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dan IPT untuk meningkatkan PdP secara dalam talian. Antaranya inisiatif Pakej Pelan Data dan Peranti yang diberikan kepada pelajar daripada golongan B40. Kementerian dengan kerjasama syarikat telekomunikasi memperuntukkan RM24 juta untuk tujuan ini.
Jika sebelum ini pengajaran dalam talian hanya sebagai bahan bantu mengajar tetapi ekoran Covid-19, ia berubah sama sekali. Apabila PKP dikuatkuasakan, pengajaran dalam talian sudah dikira sebagai kaedah utama pembelajaran.
Jadi, sudah tiba masanya untuk kita memantapkan lagi PdP dalam talian terutama untuk kegunaan pada masa akan datang. Setiap individu harus menerima perubahan dan inovasi ini demi kepentingan bersama.
PENULIS ialah Profesor Madya di Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi.










