Cadangan agar diteliti kembali usul Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu 1947 untuk memberi kerakyatan serata kepada semua warganegara atas nama Melayu pada masa ini bukan sahaja tidak sesuai. Bahkan ia satu langkah ke belakang. Walaupun tujuannya murni bagi meleraikan pergeseran kaum akibat persoalan keturunan yang menjadi-jadi kebelakang ini, ia yang tidak realisitik dahulu akan terus tidak praktikal.
Perlembagaan Rakyat digubal sebagai gerak balas terhadap Perlembagaan Malayan Union 1946. Ia disusun bersekali All Malayan Council of Joint Action (AMCJA), pakatan politik bukan Melayu dan parti Melayu Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Ia mengandungi 10 perkara, enam yang pertama adalah saranan AMCJA dan selebihnya oleh Putera.
Perkara 6 mengenai kerakyatan sama rata bagi semua penduduk bukan asal yang menganggap Persekutuan Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap mereka, selain sanggup mencurahkan kesetiaan utuh adalah anjuran AMCJA. Manakala Perkara 10, iaitu kerakyatan itu hendaklah dinamakan Melayu adalah gagasan Putera.
Dari satu segi, Perkara 6 kelihatan sebagai satu prinsip seimbang. Namun, setelah diteliti, ia langsung tidak selari dengan cara ketibaan dan kehadiran penduduk bukan asal Cina dan India di negara ini. Ini kerana mereka berada di sini sebagai tetamu di sebuah negara yang bertuan rumah.
Oleh itu, sifat kerakyatan yang diberikan itu tidak boleh sama rata dalam erti kata kesamaan nilai. Sebagai tuan rumah yang memiliki tempat ini, penduduk asal tidak boleh berkongsi segala-galanya atas nisbah saksama. Walaupun begitu, tuan rumah tidak pernah melayani tetamu dengan cara yang tidak sepatutnya. Ini dapat dilihat pada ihsan yang diberikan tuan rumah kepada tetamu yang boleh terus hidup secara asal, meskipun dalam kehidupan nasional. Dengan ini, tetamu antaranya dibenarkan mempunyai persekolahan dalam bahasa etniknya.
Sebenarnya, etnik Cina Malaysia menikmati banyak keistimewaan warisan jika dibanding dengan saudara mereka yang menetap di tempat lain. Ini semua kerana budi baik etnik Melayu dan dikanunkan pula dalam perundangan negara untuk menjaminkan keadilan, iaitu hak yang tidak lebih dan tidak kurang pada kewajarannya untuk penduduk bukan asal.
Kerakyatan atas nama Melayu pada Perkara 10 kelihatan sudah janggal walaupun dilihat secara sepintas lalu. Ini kerana kerakyatan lazimnya dikaitkan dengan negara dan bukannya etnisiti. Barangkali nama Melayu itu merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu. Jika benar, sepatutnya nama Tanah Melayu atau nama Inggeris Malaya digunakan dan bukannya Melayu.
Nama Melayu sahaja pada kerakyatan itu pasti mengundang kekeliruan sebab ia lebih merujuk kepada pengelompokan penduduk berdasarkan leluhur, tradisi serta sejarah bangsa. Dengan kata lain, etnisiti Melayu yang menyangkut soal keturunan tidak dapat dipisahkan daripada salasilah etnik Melayu.
Contoh kerakyatan Indonesia yang digunakan untuk perbandingan dengan yang di Malaysia adalah juga tidak sesuai. Ini kerana asas pembentukan negara bangsa di sana berbeza sekali dengan di Malaysia. Sehubungan itu, Indonesia memilih asimilasi yang menghendaki semua etnik yang berbeza menjadi satu sahaja dalam kehidupan nasional. Manakala di Malaysia, kita memilih integrasi yang terus membenarkan etnik berbeza hidup secara tidak sama walaupun dalam kehidupan nasional.
Seperkara lain, Indonesia ialah nama negara dan panggilan Bangsa Indonesia sebagai komuniti nasional republik itu merujuk kepada rakyat pelbagai etnik dari segi nasionaliti Indonesia dan tidak kepada mana-mana etnisiti. Sehubungan itu, kita juga menggunakan nama Bangsa Malaysia untuk merujuk kepada komuniti nasional kita yang berkongsi ideologi sivik selain aspirasi, sentimen dan gagasan kenegaraan sama walaupun terdiri daripada pelbagai etnik.
Sebenarnya tujuan cadangan nama kerakyatan Melayu ini adalah untuk menyelesaikan masalah perkauman yang kian meruncing. Namun ia akan menimbulkan pertikaian kerana perkaitannya yang tidak tepat. Ini kerana kerakyatan pertama-tamanya adalah hubungan antara individu dan negaranya di mana individu itu memperlihat kesetiaannya untuk kemudiannya dilindungi negaranya. Ini jelas menunjukkan kerakyatan lebih berkait dengan negara dan tidak dengan etnisiti.
Oleh itu, nama negara Malaysia yang harus digunakan dan bukannya nama lain yang boleh mengelirukan. Ini juga selari dengan penubuhan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai entiti khusus di Nusantara. Dengan ini, kita terus bergerak ke hadapan dengan nama Malaysia sahaja!
Walaupun berada dalam rumpun penting Kepulauan Melayu, nama Malaysia lebih afdal diangkat dalam konteks kerakyatan kita yang adil. Ini kerana kerakyatan bukan sahaja lebih bersinonim dengan nasionaliti iaitu keterikatan kepada sesebuah negara, ia juga adalah keahlian dalam negara itu.
Sesungguhnya Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja cerminan selain kesinambungan kepada Perlembagaan Rakyat 1947, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan 1957, ia juga penerus aspirasi nasional yang ada di dalam kesemuanya. Justeru, ia wahana politik semasa yang perlu dirujuki untuk menggubal dasar negara agar progresif dengan masanya.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










