Tokoh prihatin nasib rakyat - Utusan Malaysia

Tokoh prihatin nasib rakyat

GAMBAR tidak bertarikh, Rahah Mohamed Noah dan Abdul Razak Hussein bersama-sama anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS kira-kira 44 tahun Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein meninggalkan kita, semalam isterinya, Tun Rahah Mohamed Noah, 87, yang dikasihi mengikut jejak suaminya meninggalkan dunia yang fana ini.

“Tun pendiam orangnya, tidak pernah menonjolkan diri, tetapi mempunyai kekuatan yang tersendiri,” demikian ungkapan yang tertera dalam biodata rasmi oleh Yayasan Tun Razak bagi menjelaskan sifat anak bongsu daripada 10 adik-beradik kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama, Tan Sri Mohamed Noah Omar.

Pada 4 September 1952, sebaik sahaja menamatkan sekolah menengah di Johor Bahru, Allahyarham yang ketika itu berusia 19 tahun berkahwin dengan Abdul Razak yang berumur 30 tahun yang pada masa itu berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima anak yang semuanya lelaki iaitu Mohd. Najib, Ahmad Johari, Mohd. Nizam, Mohd. Nazim dan Mohd. Nazir. Allahyarham menanggung sebahagian besar tugas mendidik anak-anak disebabkan Abdul Razak sering tiada di rumah kerana jadualnya padat dengan pelbagai urusan kerja.

Sebagai seorang isteri, Rahah telah menyediakan rumah tangga sempurna untuk suaminya, seorang tokoh yang sentiasa bekerja kuat untuk negara, bangsa dan agama.

SEDERHANA

Seperti yang diungkapkan dalam biodata oleh yayasan berkenaan, Allahyarham mempunyai semangat kental dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi yang menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia kepada Abdul Razak.

Sifatnya yang sederhana dan bersahaja adalah resipi utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat kampung dan bandar. Sifat sederhana ini amat bersesuaian dengan kehendak suaminya yang tidak mahu isterinya menunjuk-nunjuk serta berlebih-lebihan dalam semua hal. Sifat ini jugalah yang banyak membantu meningkatkan populariti Abdul Razak sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.

IBU TUNGGAL

Kisah Rahah juga boleh dibaca dalam buku The Three Swans terbitan MPH Group Publishing Sdn. Bhd. pada 2010 mengenai bagaimana Allahyarham yang berasal dari Muar, Johor menempuh liku-liku hidup bersama-sama dua saudara perempuannya termasuk Tun Suhailah (isteri Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn).

Tambah yayasan itu lagi, Allahyarham ialah seorang tokoh yang sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang nasib rakyat Malaysia. Buktinya Allahyarham mematuhi nasihat suami untuk tidak membazir wang rakyat termasuk membeli tiket kapal terbang dengan wang sendiri sekiranya mahu mengikut suami yang mengadakan lawatan rasmi di dalam dan ke luar negara.

Dalam pada itu, kematian Abdul Razak pada 14 Januari 1976 memang mengejutkan Rahah dan anak-anak. Keluarga hanya tahu beliau menghidap leukemia selepas dimaklumkan doktor yang merawat Abdul Razak, dua hari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir.

Kematian suami secara tiba-tiba tidak melemahkan semangat Allahyarham yang ketika itu berusia 43 tahun yang menjadi ibu tunggal.

TAAT

Satu sifat Rahah yang dipanggil sebagai ‘Mummy’ oleh anak-anak yang didedahkan Datuk Idris Shaari Mat Aris yang pernah bertugas sebagai setiausaha sulit beliau ialah Allahyarham sentiasa menasihat mereka supaya taat kepada pemimpin sama seperti suaminya mentaati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj walaupun didesak mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas terjadi rusuhan kaum pada 1969.

Al-Fatihah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN