Pemimpin keras untuk perpaduan? - Utusan Malaysia

Pemimpin keras untuk perpaduan?

Qin Shi Huangdi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OLEH kerana saya Melayu, sudah tentu fokus saya menulis terhadap bangsa saya. Melayu dan tentang keperluan menyatupadukan mereka, yang saya anggap tanggungjawab wajib digalas sama ada oleh mereka yang di atas atau kita yang di bawah.

Saya menjadikan sejarah sebagai landasan kepada tulisan ini kerana sejarah, biar sekecil mana pun ia, di mana dan bila pun berlakunya, adalah antara guru pengajaran kehidupan yang terbaik.

Adalah perkara biasa jika manusia bersengketa kerana bangsa atau kerana agama. Bukan juga luar biasa jika persengketaan itu berpunca daripada puak dan suku, mazhab dan fahaman atau doktrin dan pegangan. Paling tidak pun ia berpunca daripada perselisihan keluarga. Dalam kes-kes lebih besar pula ia mungkin disebabkan perselisihan antara wilayah, antara negeri atau antara negara.

Peperangan

Peperangan menjadi sebahagian cara hidup pemerintah-pemerintah negeri dan wilayah di China pada zaman dahulu. Begitu banyaknya perang sehingga mendorong ahli-ahli sejarah menyifatkan abad ke-5 SM hingga ke-2 SM di Tanah Besar itu sebagai Zaman Negeri-Negeri Berperang.

Turut terlibat dalam siri peperangan itu adalah negeri Qin yang ketika itu di bawah pemerintahan Dinasti Zhou. Pada 221 SM, ketika di bawah pemerintahan Raja Zheng (259–210 SM), Qin memenangi siri peperangan itu. Susulan itu, Zheng menggunakan segala kekuatan menyatukan negeri-negeri tersebut di bawah Empayar Qin, yang kemudiannya berkembang menjadi Empayar China.

Dia turut mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Qin yang pertama dengan menggunakan gelaran Qin Shi Huangdi, yang dalam kalangan kita sering disebut Shih Huang Ti.

Keras dan kejam menjadi identiti Shih Huangdi. Dengan kekerasan dia menundukkan negeri-negeri dan wilayah lain bagi memaksa mereka menjadi sebahagian daripada Empayar Qin. Dengan kekejaman dia bertindak ke atas sesiapa sahaja yang menentang atau disyaki menentangnya.

Lebih 460 orang bijak pandai dikatakan ditanam hidup-hidup atas sebab itu. Ajaran Confucius diharamkan, semua buku dan bahan bertulis kecuali yang dikehendaki olehnya, dibakar. Tetapi di sebalik keras dan kejamnya, maharaja itu juga membawa banyak pembaharuan dalam pemerintahan. Dia berjaya membina sebuah China yang bersatu sehingga sekarang.

Seperti China, Jepun juga pernah melalui satu era yang sarat dengan peperangan khususnya dari tahun 1467 hingga 1603. Berbeza dengan China yang peperangannya melibatkan negeri dengan negeri atau wilayah dengan wilayah, di Jepun peperangannya lebih disebabkan puak dan kumpulan yang diketuai oleh daimyo atau tuan-tuan tanah feudal.

Paksaan berdamai

Mereka ini sering bertempur antara satu sama lain untuk mendapatkan lebih banyak tanah dan juga pengaruh. Tempoh ini juga ditandai oleh banyaknya pemberontakan petani yang bangkit menentang penindasan ke atas mereka. Pada penghujung abad ke-16 seorang daimyo yang berpengaruh, Oda Nobunaga berkempen menyatukan Jepun. Dia berjaya menakluk Honshu, pulau utama Jepun dengan mengalahkan semua pihak yang menentangnya.

Tonggak utama di sebelah kejayaan Nobunaga itu ialah Toyotomi Hideyoshi, seorang yang asalnya hanya askar berjalan kaki, yang disebabkan keberanian dan kehebatannya dinaikkan pangkat sehingga menjadi salah seorang daripada tiga orang kanan Nobunaga. Selepas Nobunaga dan anak sulungnya dibunuh pada 1582, Hideyoshi mengambil alih kedudukan Nobunaga sebagai daimyo bagi puak Oda.

Walaupun ramai berkehendakkan jawatan itu, termasuk anak Nobunaga yang masih hidup namun tiada siapa berupaya menyingkirkan Hideyoshi. Mana-mana yang cuba memeranginya akan dikalahkan kemudian dipaksa berdamai dan menerima dirinya sebagai pemerintah.

Dengan iltizamnya untuk menyatukan seluruh Jepun, Hideyoshi berjaya menumpaskan saingannya satu demi satu. Akhirnya dia berjaya mencapai apa yang dicita-citakan. Pemangkin kepada kejayaan Hideyoshi adalah ketegasannya. Dia memaksa musuhnya supaya menerima perdamaian, jika tidak mereka akan berdepan dengan kemungkinan diserang.

Seperti Shih Huangdi, Hideyoshi mengambil langkah-langkah keras terhadap mereka yang menentang atau berpotensi menentangnya. Penyebaran agama Kristian diharamkan, orang-orang Jepun yang meninggalkan kepercayaan asal dan memeluk Kristian ramai yang dihukum mati.

Soalannya sekarang, apakah kita perlukan seorang yang sekeras Shih Huangdi atau setegas Hideyoshi untuk menyatupadukan bangsa kita? Tentu sahaja tidak. Fitrah kita dengan mereka yang di China atau di Jepun berbeza. Keras bukan cara kita.

Sehinggakan dalam soal berjuang mendapatkan kemerdekaan pun kita tidak bersenjatakan senjata. Senjata kita cuma diplomasi.

Jadi barangkali kita perlu menanti munculnya seorang yang sehebat Sardar Vallabhbhai Patel, nama yang tidak sehebat Mahatma Ghandi atau Pandit Jawarhalal Nehru, tetapi sebenarnya dialah tulang belakang kepada pencapaian kedua-dua nama besar itu.

Digelar ‘Iron Man of India’, Patel juga disifatkan sebagai bapa perpaduan India. Tidak mudah untuk menyatukan rakyat di bumi sebesar India, yang sebelum 1947 jumlah penduduknya sudah menjangkau 350 juta dan terbahagi kepada kira-kira 2,000 etnik dan sub-etnik. Lebih rumit lagi, terdapat 565 negeri yang setiap satunya beraja. Hendak mendapatkan persetujuan raja-raja itu supaya menerima sebuah India yang besar, sekali gus menghakis hak dan kuasa mereka sahaja merupakan cabaran cukup besar apatah lagi bagi meyakinkan pengikut dan rakyat mereka.

Perpaduan Melayu

Tetapi Patel berjaya melakukannya. Semuanya dengan diplomasi bukan dengan senjata.Tugas itu menjadi mudah kerana dia dan dua teraju utama politik India ketika itu, Ghandi dan Nehru memainkan peranan masing-masing tanpa bertindan-tindih. Bukan tidak ada perselisihan antara mereka bertiga.Tetapi kepentingan negara yang mengatasi kepentingan diri membolehkan mereka menemui jalan keluarnya secara mudah.

Saya yakin kalau pemimpin Melayu mampu melakukan perkara yang sama, perpecahan dalam kalangan bangsa kita akan dapat dibendung kalaupun tidak dapat diselesaikan sekali gus.

Yang menjadi masalah ramai memilih menjadi enau dalam belukar. Dan yang lebih menjadi masalah kerana adanya orang mencari nama dan membina kuasa dengan cara mengadu domba. Kerja mereka hanya menyiram minyak bukan berusaha memadamkan api. Mereka memilih menembak kaki kawan walaupun sedar yang serpihan pelurunya akan terkena mereka juga.Mereka inilah musuh sebenar Melayu.

Kita akan menjadi lebih malang apabila dalam kalangan pemimpin Melayu menghalang penyatuan perpaduan Melayu.

Datuk Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×