SEHARI dua ini tular di WhatsApp, ciapan Twitter Presiden UMNO mengenai satu kajian dari akar umbi UMNO terhadap kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Saya andaikan orang UMNO pun sudah ikuti tweet ini. Daripada 191 bahagian, sejumlah 137 bahagian menolak kerjasama ini.
Sebelum Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan lagi pun difahamkan sudah ada deal dalam Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas untuk menentukan agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tiga kriteria ditetapkan:
1) Status quo kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mana-mana calon UMNO atau Pas, kekal di tangan penyandang masing-masing.
2) Parti yang meraih undi kedua tertinggi di kerusi yang kalah, dipersetujui menjadi calon mewakili MN.
Contoh:
i. P. 149 – SRI GADING
PH : 21,511 undi (Sharuddin Md. Salleh)
UMNO/BN: 18,223 (Datuk Ab Aziz Kaprawi)
Pas: 4,548 (Lt. Kol. Haji M Ashari Sidon)
Keputusan: Calon UMNO bertanding di situ pada PRU-15.
ii) P.057 – PARIT BUNTAR
PH: 16,753 (Datuk Mujahid Yusof)
UMNO/BN: 13,655 (Abdul Puhat Mat Nayan)
Pas: 12,312 (Ahmad Azhar Sharin)
Keputusan: Calon UMNO bertanding.
iii) P.077 – TANJONG MALIM
PH: 24, 672 (Chang Lih Kang)
BN: 19,314 (Dr. Mah Hang Soon)
Pas: 10, 311 (Ustaz Mohd. Tarmizi)
Keputusan: Calon BN bertanding.
3) UMNO-Pas boleh saling bertukar-tukar kerusi Parlimen dan DUN dengan syarat dipersetujui bahagian dan kawasan. Dengan kata lain, UMNO berlapang dada menyerahkan kerusi dimenanginya kepada Pas untuk ditandingi. Demikianlah juga timbal balik daripada Pas.
Contoh:
i. P. 059 BUKIT GANTANG
UMNO/BN: 22,450 (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal)
PH: 18,361 (Datuk Khadri Khalid)
Pas: 16, 052 (Ustaz Idris Ahmad)
Keputusan: Calon Pas bertanding PRU-15.
ii) P.028 PASIR PUTEH
Pas: 32,307 (Ustaz Dr. Nik Zawawi)
UMNO/BN: 30,947 (Dr. Asyraf Wajdi Dusuki)
PH: 4,896 (Datuk Kamarudin)
Keputusan: Calon UMNO bertanding PRU-15.
Faktanya, kerjasama MN membuahkan hasil berbaloi. Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) di DUN Slim, 29 Ogos lalu dengan majoriti besar, menjadikan kedudukan 7-0 kejayaan gabungan itu dalam siri pilihan raya kecil (PRK) yang dibentuk UMNO-Pas.
PH sebelum ini kalah kesemua enam PRK disaingi mereka di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Chini. Cuma pada pasca PRU-14, yakni ketika peringkat awal BN tumbang 2018, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan Parlimen Sandakan.
Demikianlah hukum-hakam politik hari ini. Sukar dijangka. Politik berubah bukan lagi setiap tahun, bulan dan minggu lagi. Tetapi setiap minit dan jam.
UJIAN PANGKAT, KUASA
Malam kelmarin, sempat saya bersembang dengan penganalisis isu semasa, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim. Beliau mempersoalkan mengapa Pas kebelakangan ini memilih neraca berbeza serta ‘menghalalkan ijtihad’ bila bertembung dengan UMNO dalam satu-satu isu.
“Bila UMNO hendak berkawan dengan si polan A ini, Pas menentang kerana katanya bersabit isu moral. Tapi apa beza dengan si polan B yang bersama Pas waktu ini. Bila Pas dengan Bersatu okey, tetapi UMNO dengan Amanah tak boleh. Apa neraca yang dipakai oleh Pas?
“Hubungan kerjasama Pas-UMNO sudah cukup cantik dalam tempoh 22 bulan PH memerintah. Antaranya, menentang percubaan meratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan mengusahakan pindaan RUU 355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016. Tapi sekarang?” kata Ahmad Faris.
Ahmad Faris mengingatkan Pas bahawa jawatan dan kekayaan yang dimiliki akan diuji oleh Allah. Ini jelas diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi bermaksud:
“Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku ialah harta kekayaan.”
Demikian juga dengan orang yang diuji dengan pangkat dan kekuasaan, sehinggakan mereka menyangka mereka telah berkuasa sepenuhnya dan memiliki segala-galanya.
“Hal ini diperingatkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas ketika menganggap dirinya serba cukup. Sesungguhnya hanya kepada Tuhanmu tempat kembali.” (QS Al-Alaq:6-8),” kata Ahmad Faris lagi.
Bagi Ahmad Faris, dalam kemelut apa yang dikatakan ‘pergeseran’ antara Pas-UMNO, pendek kata MN, ia bukanlah salah UMNO mahupun Bersatu. Tapi yang salahnya adalah Pas.
“Ijtihad apa yang diguna oleh Pas dan sekarang ijtihad apa pula yang diguna?” katanya.
Hubungan UMNO-Pas ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dalam grup WhatsApp Jawatankuasa Pemandu Pusat MN dalam seminggu dua ini, saya difahamkan perbincangan pasal agihan kerusi ‘panas.’ Turut membabitkan, perang mulut antara ketua pemuda UMNO dan Pas selain menteri besar Kedah dari Pas.
Kata Majlis Syura Ulama Pas: “Perkasakan MN dan pertahankan PN.”
Tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula, “Pas pertahankan Tan Sri Muhyiddin, terus kukuh MN, PN.”
Semua ini dikatakan meletakkan UMNO dalam persimpangan dilema. Berbelah bahagi jika 150 kerusi Parlimen Melayu/bumiputera daripada 222 dibahagikan tiga pula antara UMNO-Pas-Bersatu. Dan berapalah agaknya UMNO akan menang. Baki 30 kerusi lagi adalah kawasan campuran manakala 42 kerusi adalah majoriti Cina.
Waima apa pun, duduk berbincang. Fikirkan impak masa panjang.
Jika menerusi persepakatan UMNO-Pas-Bersatu merupakan satu-satunya jalan terbaik untuk menumpaskan saingan, buktikanlah kejujuran dan keikhlasan masing-masing.










