Ejaan Jawi dahulunya agak mengelirukan dan lebih sukar untuk dibaca berbanding ejaan Jawi yang kita gunakan pada hari ini. Selaras perkembangannya, sistem ejaan diperbaharui. Hasilnya, kini ia lebih mudah untuk dibaca dan dieja.
Ustaz saya pernah menceritakan satu kisah lucu ketika dia mengikuti kelas di zaman mudanya. Sewaktu membaca sebuah kitab lama bertulisan Jawi, salah seorang daripada mereka membaca, “maka hendaklah dibasuh hingga ke hujung bulu Rom.” Kata-kata itu membuatkan ramai rakannya terkebil-kebil kehairanan.
Ada juga yang tergelak kerana lucu mendengar. Rupa-rupanya, apa yang dibaca sebagai bulu Rom itu sebenarnya ialah bulu roma. Kesilapan tersebut berlaku kerana dalam ejaan Jawi lama, perkataan roma dieja tanpa huruf alif di hujung.
ARWAH ATUK
Arwah atuk sentiasa berusaha untuk menanam minat dalam diri saya dan kakak-kakak supaya mempelajari dan menghargai tulisan Jawi. Dahulu, saya tidak begitu memahami kepentingan hal ini.
Tambahan pula, buku-buku yang saya minati tidak ditulis dalam Jawi. Jadi, saya tidak berasa ada keperluan untuk belajar Jawi dengan bersungguh-sungguh.
Saya mula mempelajari tulisan warisan nenek moyang kita ini secara serius bermula akhir tahun lepas. Awalnya, bacaan saya tidak begitu lancar, apalagi apabila berhadapan dengan banyak perkataan yang agak sukar untuk dibaca. Sambil mengecilkan mata dan mendekatkan diri kepada helaian kertas atau skrin komputer, saya berusaha mengagak apa yang ditulis.
Setelah berjaya membaca dengan agak lancar, saya bertekad untuk belajar mengeja supaya dapat menulis tanpa menggunakan alat penterjemah Rumi-Jawi. Mempelajari sistem ejaan Jawi adalah lebih rumit berbanding mempelajari sistem ejaan Rumi.
Berbekalkan Daftar Kata Bahasa Melayu DBP, saya mengambil masa beberapa bulan untuk memahami dan memahirkan diri dengan sistem ejaan Jawi.
Bagi saya, belajar mengeja adalah lebih sukar daripada belajar membaca Jawi. Saya amat berterima kasih kepada guru-guru yang menolong memperbetulkan ejaan saya.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)










