Membaca kisah hidup pasangan Wan Yahya Wan Husein, 87, dan isteri, Wan Zainun Wan Chik, 84, yang meninggal dunia selang 15 jam, Selasa lalu cukup istimewa. Antaranya, amat jarang suami dan isteri meninggal pada hari yang sama walaupun semasa bercinta memang berjanji ‘sehidup semati, bukit didaki dan lautan direnangi.’
Demikianlah aturan Allah ke atas pasangan berkenaan yang pastinya mempunyai perkongsian hidup berumah tangga yang manis sepanjang 64 tahun bergelar suami-isteri. Wan Yahya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9.40 malam di kediaman anaknya di Kuala Berang selepas pemergian isterinya, Wan Zainun di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada pukul 6.48 pagi, hari sama.
Anak sulung mereka, Wan Rahimah, 63, berkata, bapanya yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru tidak dapat menahan kesedihan kehilangan isterinya akibat kanser hingga merisaukan ahli keluarga.
Katanya, dalam keadaan diri yang turut lemah, ayah menguatkan semangat melihat jenazah emak sebelum disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Pusara kira-kira pukul 3 petang.
Yang lebih penting, menurut Wan Rahimah, ibu bapanya adalah pasangan romantis dan sepanjang lebih enam dekad usia perkahwinan, mereka tidak pernah bergaduh besar, bahkan semua keputusan dibuat secara perbincangan bersama malah mereka juga berkongsi tarikh lahir sama iaitu 19 April.
MENYIMPUL MATI
Barangkali, inilah pasangan yang benar-benar menyimpul mati kasih dan cinta mereka. Sehingga diibaratkan kekasih sehidup semati. Semoga Allah SWT mengampunkan mereka dan ditempatkan bersama orang beriman.
Melayari hidup berumah tangga bukan semua indah sepanjang masa. Ada masanya ribut datang melanda. Ibarat lirik lagu allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, ini pula suami isteri. Namun percayalah, jika kita sabar dan mengikut panduan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW, insya-Allah semua badai yang datang dapat diatasi.
Malangnya di negara kita, sebanyak 6,569 kes perceraian didaftarkan sepanjang tiga bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 18 Jun lalu yang memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Laporan muka depan Utusan Malaysia pada 5 Ogos lalu mendedahkan, hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP akibat pandemik Covid-19 ternyata mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat kita dengan meningkatnya kes-kes perceraian.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, dalam keadaan suami isteri terpaksa duduk di rumah, rupa-rupanya mencetuskan cabaran lebih besar kepada mereka sehinggakan hal-hal remeh pun membawa kepada perselisihan faham seterusnya perceraian.
Malah, beliau sendiri terkejut apabila mahkamah syariah di seluruh negara yang beroperasi semula pada 10 Jun lalu mencatatkan jumlah kehadiran orang awam agak luar biasa yang memfailkan kes perceraian masing-masing.
“Berbeza sebelum PKP, kalau bergaduh mungkin salah seorang boleh keluar rumah untuk cool down bagi mencari ketenangan, jadi boleh kawal emosi. Namun semasa PKP, terpaksa mengadap sahajalah satu sama lain,” katanya.
Begitulah hakikatnya sebahagian besar orang kita. Ada yang beranggapan apabila sudah lama hidup sebagai suami isteri, hal-hal berkaitan menyulam kasih sayang tidak lagi perlu. Penampilan diri pun tidak lagi diberi perhatian. Alasannya: “kita dah tua” atau “malu mahu memadu kasih.” Si suami sepanjang hari di rumah hanya ‘berlenggeng’ dan berkain pelikat. Si isteri pula berbaju kelawar sepanjang masa.
Antara amalan Nabi SAW dalam mengekalkan rasa romantik dengan isteri baginda adalah mandi bersama. Cuma, dalam masyarakat kita perkara ini selalu dikesampingkan. Tidak menghairankan jika masih ada pasangan suami isteri yang tidak pernah mandi bersama-sama ada yang baru berkahwin ataupun yang sudah berpuluh tahun hidup bersama.
Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.ha yang bermaksud: “Aku sentiasa mandi bersama Nabi SAW daripada satu bekas. Tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu.” (Riwayat Bukhari)
Makan sepinggan dan menyuapkan makanan. Ini juga perkara luar kebiasaan yang dilakukan oleh suami isteri melainkan semasa hari persandingan selepas bergelar ‘Raja Sehari.’ Selepas daripada itu, jarang suami atau isteri mengamalkan tabiat ini. Walhal, suami isteri digalakkan makan bersuap. Yang selalu dilihat saling bersuap makan ini hanya pasangan yang bercinta yang belum sah suami isteri.
MAT SALLEH
Ia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain, Aisyah r.ha berkata: “Pernah aku minum sedangkan pada saat itu aku sedang haid. Kemudian aku memberi minuman tersebut kepada Nabi SAW dari bekas yang sama di mana baginda menempelkan mulutnya pada bekas aku minum, lalu baginda minum.” (Riwayat Muslim)
Suami sebagai ketua keluarga dan pemimpin bagi wanita mesti memulakan langkah. Buang sikap ego dengan isteri. Tunjukkan rasa kasih sayang kepada isteri melalui perbuatan dan tindakan. Ini bagi menyangkal dakwaan jejaka Melayu tidak romantis berbanding lelaki Mat Salleh.
Contohilah bagaimana romantisnya Nabi SAW membelai dan menunjukkan kasih sayang kepada isteri-isteri baginda. Diberitakan baginda sengaja bermanja dengan cara menyandarkan kepala di pangkuan isteri. Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah r.ha: “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.” (Riwayat Bukhari)
Seperkara lagi yang boleh dilakukan oleh para suami adalah mempamerkan sifat penyayang lagi lembut. Lebih-lebih lagi jika isteri dalam keadaan sakit. Diriwayatkan daripada Aisyah r.ha: “Baginda SAW adalah seorang yang penyayang lagi lembut dan baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Marilah kita berusaha mencontohi baginda SAW dalam melayari bahtera rumah tangga. Lebih-lebih lagi bersempena dengan bulan kelahiran baginda, insan terpuji dan berakhlak agung.










