Perjalanan kelas menengah Melayu - Utusan Malaysia

Perjalanan kelas menengah Melayu

Di era sebelum merdeka, kelas menengah Melayu terdiri daripada guru, imam, penghulu, kerani dan golongan makan gaji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARL Marx menggolongkan manusia kepada dua kelompok, iaitu kapitalis dan buruh. Lebih tepat lagi, kaya dan miskin. Yang miskin kepentingannya adalah memaksimumkan upah dan faedah. Manakala yang kaya pula memaksimumkan keuntungan.

Max Weber yang muncul kemudiannya memperkenalkan pula Mittlestandsklassen, iaitu golongan pertengahan yang berada di antara miskin dan kaya. Mereka inilah yang kemudiannya disebut kelas menengah.

Tidak ada definisi jelas berkenaan golongan pertengahan ini. Namun, saya tertarik dengan blog Perancis, Le blog de Descartes yang mendefinisikan kelas menengah sebagai golongan yang mempunyai modal cukup untuk tidak dieksploitasi, tetapi tidak berlebihan untuk mengeksploitasi.

Mereka berbeza dengan golongan miskin yang tidak mempunyai cukup modal untuk tidak dieksploitasi atau golongan kaya yang mempunyai modal mencukupi untuk mengeksploitasi.

Pada era sebelum merdeka, tidak banyak orang Melayu yang berada dalam kelompok pertengahan. Sebahagian kecil mungkin berada dalam kelas kaya atas dukungan-dukungan feudalisme, namun majoritinya berada dalam kelompok miskin.

Menurut pengkaji-pengkaji sosial tempatan, kelas menengah Melayu pada masa itu terdiri daripada guru, imam, penghulu, kerani dan golongan makan gaji yang tidaklah besar bilangannya.

Keadaan perlahan-lahan berubah. Dasar Ekonomi Baharu (DEB) walaupun tidak berjaya sepenuhnya tetapi tidaklah pula gagal dalam memperbanyak bilangan orang Melayu dalam kelas menengah.

Demikian juga dasar-dasar lain selepas itu. Semuanya membantu membesarkan saiz kelas menengah Melayu, terutama pada 1980-an, 1990-an dan selepasnya.

Ada pengkaji sosial beranggapan, kelas menengah Melayu berkembang lebih pantas berbanding kaum Cina atau India, malah daripada semua kaum lain di seluruh dunia. Menurut mereka, faktor ini disumbangkan oleh dasar-dasar kerajaan yang sentiasa berpihak kepada orang Melayu.

Namun, ada juga yang beranggapan pertambahan pesat yang mendadak itu juga menyebabkan kelas menengah Melayu dan kelas atasannya bersifat fragile atau rapuh.

Puncanya kerana mereka tidak berada di kedudukan itu menerusi proses semula jadi tetapi melalui jambatan, kabel dan tongkat. Akibatnya, mereka kurang daya tahan dan mudah ditumpaskan oleh keadaan.

Apa-apa pun, satu perkara yang jelas adalah pertambahan kelas menengah Melayu membawa manfaat besar kepada bangsa yang pernah menguasai alam Melayu ini. Kelas menengah itulah teras utama dalam memperkasa self-esteem orang Melayu.

Mereka juga penyumbang terbesar dalam pembentukan sosioekonomi dan geopolitik orang Melayu. Dalam bahasa lebih mudah, kumpulan M40 inilah yang menjadi kuasa dominan dalam menentukan hala tuju dan masa hadapan bangsa Melayu di negara ini.

Namun di sebalik peranan itu, bagaimanakah mereka dinilai? Pernahkah pemimpin-pemimpin bertanya tentang cabaran sebenar yang dihadapi mereka? Pernahkah hati nurani disingkap dan denyut nadi mereka didengar?

Tidak dinafikan kerajaan Barisan Nasional dahulu dan Perikatan Nasional sekarang mengamalkan dasar prihatin kepada rakyat yang kategori pendapatannya dibahagikan kepada tiga iaitu T20, M40 dan B40.

TERSEPIT

Antara ketiga-tiganya, B40 paling diberikan tumpuan menerusi pelbagai bentuk bantuan.

T20 walaupun tidak kelihatan mendapat bantuan secara langsung, mereka sebenarnya memperoleh banyak faedah lain. Contohnya, sokongan ‘peluang untuk membesarkan peluang’ dan subsidi cukai.

M40 tersepit. Di satu sisi, mereka melihat B40 memperoleh segala-galanya daripada kerajaan. Di sisi lain pula, mereka menyaksikan T20 terus bergerak pantas menjadi lebih kaya dan berjaya.

Tidak cukup melihat, mereka juga terpaksa menanggung akibat. Lambakan bantuan kepada B40 meningkatkan permintaan di pasaran yang membawa kepada kenaikan harga pengguna. Itu yang lazim berlaku setiap kali kerajaan mengumumkan pakej bantuan kepada golongan tersebut. Belum pun habis pengumuman, pengeluar, pemborong dan peruncit sudah berkira-kira menaikkan harga.

Kuasa membeli T20 yang semakin besar juga membawa kesan sama terutama subjek-subjek lebih besar seperti harga hartanah. Pemaju hartanah lebih berminat membangunkan rumah mewah yang tidak mampu dicapai tangan oleh M40, apatah lagi B40. Minat pemaju membangunkan rumah kos sederhana untuk M40 berkurangan. Projek-projek perumahan kerajaan pula selalunya tertumpu kepada B40.

Jadi, di manakah duduk letaknya M40? Hendak beli rumah mewah tidak mampu, hendak beli projek perumahan kerajaan pula tidak layak.

Tidak dinafikan, M40 juga menerima bantuan daripada kerajaan. Contohnya, Bantuan Prihatin Nasional. Mereka juga ada bahagiannya, namun saya berpendapat, bukan itu yang mereka perlukan.

Menampung perbelanjaan harian walaupun sesekali menjadi masalah, pada dasarnya bukanlah besar buat mereka.

Perkara lebih penting mereka sebenarnya adalah peluang untuk menjadi lebih mantap dan perkasa. Pemberian oleh kerajaan adalah sesuatu yang boleh mengukuhkan kedudukan mereka, seiring peranan sebagai kumpulan dominan dalam mencorakkan landskap kehidupan negara.

Pandemik Covid-19 mungkin menyebabkan saiz kelas menengah Melayu menjadi sedikit lebih kecil berbanding sebelumnya kerana ada yang hilang pekerjaan dan hilang pendapatan. Mereka wajar dibantu. Namun, bantuan itu tidak sewajarnya dipukul rata kepada semua M40. Fokuskan kepada yang benar-benar memerlukan dan terjejas.

Kepada golongan belum terjejas, fikir-fikirkanlah pakej-pakej yang boleh merangsang dan melonjakkan kehidupan bersesuaian kedudukan mereka. Contohnya, tawarkan peluang-peluang perniagaan berskala sederhana dengan kemudahan bantuan modal berpatutan.

Sediakan pakej pinjaman dengan kaedah pembayaran mudah atau pakej pembiayaan semula (refinancing) yang menarik. Tawarkan subsidi pembiayaan bagi pembelian peralatan atau sebarang insentif lain yang memudahkan mereka bergerak ke hadapan.

Mereka yang berada dalam kelompok kelas menengah ini umumnya adalah orang yang berpendidikan, berkebolehan dan berpengalaman. Orang Melayu kebanyakannya tidak mewarisi timbunan harta yang melayakkan mereka terus berada dalam kelas tersebut secara automatik.

Mereka perlu mencari modal dan salah satu atau ketiga-tiga ciri yang disebutkan itulah modalnya. Oleh itu, sewajarnyalah mereka diberikan peluang untuk memanfaatkan modal tersebut, bukannya diasuh menjadi orang yang menghargai ikan lebih daripada pancing.

DATUK Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN