NAMA mendiang Tan Siok Tjien, 91, mungkin tidak dikenali semua pihak, namun bila menyebut rokok kretek Gudang Garam, sudah pasti ramai yang mengenali jenama tersebut.
Siok Tjien ialah isteri kepada mendiang pengasas syarikat rokok Gudang Garam iaitu Surya Wonowidjojo yang meninggal dunia pada 1985.
Figura ahli perniagaan wanita itu jarang muncul dalam media Indonesia, namun pengaruhnya cukup besar apabila menjadi individu ke-369 paling kaya di dunia ketika ini.
Wanita besi itu buat pertama kalinya tersenarai sebagai individu terkaya dunia pada 2017 menerusi Indeks Jutawan Bloomberg.
Ketika itu, Siok Tjien memperoleh nilai kekayaan sebanyak AS$9.29 bilion (RM38.6 bilion) dan berada pada kedudukan 145 daripada 500 individu terkaya di dunia.
INSPIRASI
Pencapaian itu juga menjadikan Siok Tjien sebagai satu-satunya wanita Indonesia yang pernah tersenarai sebagai individu terkaya di dunia.
Kisah kekayaannya mula menjadi tumpuan pelbagai pihak selepas beliau mewarisi perniagaan rokok Gudang Garam yang dibangunkan oleh mendiang suaminya di Kediri, Jawa Timur pada 1958.
Berdasarkan laporan tahunan 2018, Siok Tjien memiliki saham yang dipegang melalui dua perusahaan induk iaitu Suryaduta Investama dan Suryamitra Kusuma.
Malahan, sebelum 1990, wanita tersebut memiliki lebih 31 peratus perusahaan dan merupakan pemegang saham perseorangan terbesar dalam Gudang Garam.
Menurut portal The Asian Parent Indonesia, Siok Tjien menjadi inspirasi untuk golongan muda di negara ini, terutamanya kaum wanita.
Melalui pengaruh dan kejayaannya, kaum hawa di Indonesia berpeluang menjalankan perniagaan yang kukuh dan berjaya.
Selain itu, wanita tersebut juga dilihat sebagai ahli perniagaan ternama yang sering merendah diri dan sentiasa menyokong suaminya ketika mereka bersama-sama membangunkan perusahaan Gudang Garam.
Selepas kematian suaminya, Gudang Garam diuruskan anak pertamanya iaitu Rachman Halim, namun lelaki itu meninggal dunia pada 2008 di Singapura akibat sakit jantung.
Kini, syarikat tersebut ditadbir oleh adik Rachman iaitu Susilo Wonowidjojo.
Ketika hayatnya, Siok Tjien dilaporkan sentiasa menemani Surya ketika berdepan saat sukar sewaktu membangunkan syarikat tersebut, malah dikatakan tidak pernah berputus asa memberi sokongan kepada suaminya untuk meneruskan perjuangan dalam perniagaan.
Sehingga kini, syarikat tersebut sudah menyediakan puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat Indonesia, malah menjadi polisi Gudang Garam untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan.
SEJARAH
Syarikat tersebut dibangunkan pada 26 Jun 1958 oleh Tjoa Ing Hwie yang kemudiannya menukar nama kepada Surya Wonowidjojo.
Gudang Garam awalnya merupakan industri rokok kecil-kecilan yang menghasilkan rokok jenama SKL dan SKT.
Namun, akibat permintaan yang semakin meningkat, syarikat tersebut membuka cawangan baharu di Gurah iaitu kira-kira 13 kilometer dari Kota Kediri dengan 200 pekerja.
Pada September 1968, syarikat itu membangunkan unit produksi sendiri di atas kawasan seluas 1,000 meter persegi dan setahun kemudian, Gudang Garam secara rasmi menjadi syarikat induk.
Dua tahun kemudian, Gudang Garam dinaik taraf menjadi perseroan terbatas (PT) atau sendirian berhad dan tidak lama selepas itu, saham syarikat tersebut tersenarai dalam Bursa Efek Jakarta dan Bursa Efek Surabaya.
Susulan itu, Gudang Garam kini bukan lagi syarikat PT, namun ditukar kepada perusahaan terbuka.










