Pentadbir universiti mesti serba boleh - Utusan Malaysia

Pentadbir universiti mesti serba boleh

Penularan wabak Covid-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pentadbir universiti sepi daripada menghasilkan produktiviti dalam bekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pentadbiran universiti resah lagi apabila Malaysia menghadapi gelombang ketiga penularan wabak Covid-19. Tempoh itu menyaksikan pertarungan membendung penularan wabak kian hari kian membimbangkan. Sektor pengajian tinggi antara yang sangat terkesan dan pada waktu sama mengadaptasi norma baharu bagi memastikan kelangsungan tanggungjawab hakiki sebagai kakitangan pentadbiran.

Awalan wabak membuatkan kakitangan kebingungan termasuk pentadbir universiti yang selama ini menjadi tulang belakang dalam setiap aktiviti. Norma lazim yang sepertinya tidak akan datang kembali harus diganti dengan norma baharu yang menuntut perubahan mentaliti, penambahan ilmu dan kemahiran. Dalam apa keadaan sekalipun, produktiviti dan keberhasilan tetap menjadi keutamaan.

Covid-19 tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pentadbir universiti sepi daripada menghasilkan produktiviti dalam bekerja.

Bagi menghadapi cabaran ini, institusi pengajian tinggi (IPT) memerlukan pentadbir yang multitask atau serba boleh.

Apakah yang kita maksudkan dengan pentadbir serba boleh? Dalam bahasa mudahnya, pentadbir yang mampu mencabar intelektual, kemahiran dan kebolehan diri dengan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti di luar tugasan hakiki. Pada masa sama berusaha gigih untuk menjadi pentadbir yang boleh menghasilkan pencapaian cemerlang untuk organisasi.

Ini selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.Justeru, pentadbir serba boleh turut membuka ruang ke arah mewujudkan insan yang seimbang.

Celik Teknologi

Keupayaan mempelajari dan menguasai kemahiran teknologi dalam masa singkat menjadi keperluan asasi pentadbir universiti. Kampus kini sepi daripada aktiviti-aktiviti berkumpulan.

Kelazimannya mesyuarat, latihan dan program secara fizikal kini digantikan dengan interaksi secara maya. Era Covid-19 bukan sahaja menuntut pentadbir mengamalkan budaya fikir yang kreatif tetapi turut menggabungkan penggunaan teknologi dalam sebarang bentuk tindakan bagi mewujudkan senario bekerja lebih effektif.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), usaha menggalakkan pentadbir supaya celik teknologi dilakukan dengan gabungan usaha pelbagai pihak termasuk Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Teknologi dan Maklumat serta Kesatuan Kakitangan. Sokongan padu pihak pengurusan daripada penyediaan pelbagai platform persidangan dalam talian, siri latihan sehinggalah kemudahan berinteraksi secara maya, menjadikan pentadbir tidak kekok dalam norma baharu.

Jika dahulu, platform persidangan dalam talian kelihatan amat janggal, namun kini saban hari mereka perlu bergelumang dengan aplikasi dan pelbagai platform sedemikaner. Keperluan bekerja dari rumah dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan merancakkan aktiviti-aktiviti dalam talian di kampus.

Bahagian Khidmat Pengurusan (MSD) UIAM juga memulakan siaran dalam talian untuk siri-siri latihan, bicara kepimpinan, tazkirah yang turut dibuka kepada pentadbir-pentadbir di kampus. Setiap sesi dirakamkan secara menyeluruh untuk diakses dan dikongsikan bersama pelayar di serata dunia. Terbaharu, Bahagian Teknologi dan Maklumat memperkenalkan sistem i-Attend untuk merekodkan kedatangan secara dalam talian bagi siri latihan, mesyuarat dan program-program yang dijalankan.

Projek impak Tinggi

Tuntutan kerja seharian tidak mengehadkan kreativiti dan komitmen para pentadbir untuk melakukan perkara luar biasa dan memberikan impak wow kepada universiti walaupun dalam kemelut Covid-19.

Kini pentadbir UIAM melaksanakan projek-projek impak tinggi bertemakan Sustainable Developmet Goals (SDG) for Administrators: Making Everyone Counts sebagai menyahut usaha UIAM dalam mencapai matlamat pembangunan mampan, yakni matlamat global yang ditetapkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015, iaitu matlamat 2030 untuk pembangunan mampan.

Sebanyak 16 projek sukarela daripada pentadbir UIAM didaftarkan di bawah seliaan Bahagian Khidmat Pengurusan. Bagi tujuan pelaksanaan dan pemantauan, 22 pegawai dilantik sebagai penyelia projek. Tiada sebarang tuntutan belanjawan dibuat oleh ketua-ketua projek memandangkan ia adalah aktiviti sukarela dan ahli-ahli kumpulan menyumbang tenaga dan modal dengan ikhlas.

Projek SDG yang diusulkan kepada pihak pengurusan tertinggi diangkat sebagai projek universiti kerana impak dan sumbangan dari segi kelestarian sumbangannya kepada universiti dan masyarakat setempat. Antara fokus projek ialah membudayakan tanaman herba, sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kampus, penjimatan eletrik, aktiviti kitar semula, adab dan budi, penjagaan kesihatan, kelestraian kewangan, sukan etnik, penternakan lebah kelulut, aktiviti membaca dan pemeliharaan rekod perpustakaan.

Pentadbir Mula Berkarya

Jika menyebut tentang aktiviti penulisan di universiti, ia merupakan antara darah dan daging kakitangan akademik yang kerap menghasilkan karya-karya penulisan tidak kira untuk pembacaan akademik atau umum.

Jika dilihat dari sudut hikmah, norma baharu telah banyak merubah nilai keyakinan diri dan mutu kerja para pentadbir universiti. Kebangkitan dari sisi gelap Covid-19 membentuk jati diri pentadbir universiti serba boleh dan menjadikan mereka kekal relevan dalam apa jua situasi.

Realitinya, bukan sekadar merekodkan kehadiran pukul 8 pagi dan pulang petang, pentadbir universiti kini dilihat makin berani dan cakna dengan keperluan kepada perubahan. Ya, mereka telah bersedia untuk melakukan perubahan.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Bahagian Khidmat Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN