Membina kembali Felda - Utusan Malaysia

Membina kembali Felda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FELDA merupakan sebuah agensi penting kepada pembangunan negara. Agensi yang ditubuhkan pada 1956 ini telah membuktikan keupayaannya untuk membangunkan tanah
bagi membasmi kemiskinan.

Namun sejak kebelakangan ini, Felda menghadapi masalah yang serius. Aset bersihnya bernilai RM20.2 bilion pada 2012 merosot kepada RM7.1 bilion tahun lalu manakala hutangnya meningkat RM10.6 bilion.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, Roshihan Annuar Yub dan Fahmi Faiz serta jurugambar Fariz Rusadio bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengupas lebih mendalam langkah yang diambil kerajaan bagi mengangkat kembali Felda termasuk untuk menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan pengambilalihan semua kilang daripada FGV.

UTUSAN: Datuk Seri adalah salah seorang anggota Kabinet paling berpengalaman. Bagaimana Datuk Seri melihat cabaran kali ini?
Kebanyakan yang hidup hari ini tidak pernah mengalami krisis sedahsyat ini. Ada yang menyatakan lebih buruk dari zaman kemelesetan 1930-an. Pada tahun 1998, negara mengalami kemelesetan ekonomi tetapi tidak melibatkan semua sektor. Hanya bank, pasaran mata wang asing dan perniagaan terjejas. Sekarang, semua sektor terjejas sehingga mengubah corak hidup kita.

Bagaimana Datuk Seri melihat Felda secara keseluruhannya?
Felda merupakan sebuah agensi yang penting dalam pembangunan negara. Sejak 1956, Felda mengubah hidup 112,638 peneroka dan kira-kira dua juta ahli keluarga mereka. Ia turut mendapat pengiktirafan dunia sebagai agensi pembangunan tanah terbaik dan menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Felda juga berjaya membawa peneroka keluar daripada kemiskinan. Kita boleh lihat sendiri perubahan yang berlaku di tanah-tanah rancangan, keadaan rumah, infrastruktur dan ramai anak Felda berjaya sebagai professional dam usawahan.

Felda akhir-akhir ini mengalamai beberapa masalah. Ini semua disebabkan beberapa faktor seperti tadbir urus tidak cekap, hutang tinggi dan pemindahan sebahagian ladang kelapa sawit milik Felda kepada FGV apabila disenaraikan.

Penyenaraian FGV di Bursa Malaysia telah menjana dana yang besar kepada Felda dan FGV. Bagaimanapun, tidak semua dana ini dilaburkan dalam bidang-bidang yang mampu memberi pulangan lestari. Ada juga beberapa keputusan dibuat oleh Felda tanpa kajian dan penilaian mendalam sehingga terpaksa menanggung kerugian.

Kesemua faktor yang menyebabkan Felda berhadapan masalah diperjelaskan dalam Kertas Putih Felda yang dibentangkan kepada Dewan Rakyat pada 10 April 2019 serta laporan pasukan petugas khas menangani isu Felda yang dibentangkan kepada Kabinet pada 14 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Felda tetap mempunyai potensi amat besar kerana mempunyai tanah yang luas. Sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan. Apa yang berlaku pada masa lalu dijadikan pengajaran dan biarkan pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka dengan seadilnya.

Apa tindakan awal Datuk Seri untuk memahami dan menyelami masalah dihadapi Felda?
Kita perlu hands on dalam menunaikan tanggungjawab. Saya telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan Felda. Saya juga berjumpa beberapa pakar dalam industri kelapa sawit. Saya beberapa kali berjumpa ahli-ahli Parlimen khususnya yang ada tanah rancangan Felda.

Setiap bulan saya melawat tanah rancangan Felda. Banyak maklum balas diterima daripada peneroka serta pihak pengurusan seperti masalah perumahan generasi baharu Felda, kos pengurusan ladang yang tinggi berbanding industri dan penyata hutang tidak lengkap.

Pasukan khas ditubuhkan oleh Felda bagi meneliti isu-isu yang dihadapi termasuk aspek kewangan dan tadbir urus. Pasukan khas ini diketuai Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan dianggotai oleh Pengerusi Felda sendiri, Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Mohd. Bakke Salleh yang merupakan bekas Pengerusi Felda. Kesemua ahli pasukan ini mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang perladangan dan korporat terutama berkaitan Felda.

Apa cadangan pasukan petugas khas dalam menangani isu Felda?
Selain pelaksanaan Kertas Putih Felda, pasukan petugas khas mengesyorkan lima cadangan utama.

Pertama, mengurangkan kos kewangan dan jumlah pinjaman. Bagi melaksanakannya, Felda akan menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion berjaminan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan tanah ladang Felda serta mengurangkan pinjaman dengan institusi kewangan. Felda juga akan menjual aset yang tidak memberi pulangan positif untuk mengurangkan jumlah pinjaman.

Kedua, meningkatkan daya berdikari peneroka dan mengurangkan pinjaman peneroka. Antara langkah akan diambil selepas ini ialah menstruktur semula pemberian pinjaman kepada peneroka bertujuan mengurangkan jumlah pinjaman dan tempoh pembayaran.

Ketiga, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti ladang. Pada masa sekarang, kos pengurusan dan operasi ladang didapati terlalu tinggi dengan anggaran keseluruhan sebanyak RM600 juta setahun. Jumlah ini lebih tinggi berbanding entiti perladangan lain yang mempunyai keluasan tanah hampir serupa (benchmark).

Keempat, meningkatkan pendapatan teras daripada tanah Felda melalui penamatan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan pengambilalihan kilang daripada FGV. Langkah ini bagi menangani masalah sumber pendapatan yang berkurangan terutama terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA tersebut.

Kelima, meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan tadbir urus korporat.

Jemaah Menteri meluluskan cadangan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion manakala hutang sebanyak RM10.6 bilion. Tidakkah ini akan menambah hutang Felda?
Sukuk ini dijamin oleh kerajaan. Terma-terma terperinci sedang dibincangkan oleh Felda dan Kementerian Kewangan. Antaranya bantuan kerajaan untuk membayar pokok bagi sukuk ini manakala kadar keuntungan sukuk akan dibayar oleh Felda. Penerbitan sukuk adalah untuk menstruktur semula pinjaman dan membuat beberapa bayaran yang perlu.

Pada zahirnya, sukuk akan menambah hutang Felda tetapi dengan bantuan kerajaan, beban hutang akan berkurangan dan Felda akan lebih lestari.
Felda mampu melunaskan sukuk ini dengan model baharu perniagaan yang lebih mampan. Pada tahun depan, insya-Allah semuanya berjalan seperti biasa selepas krisis kesihatan ini berakhir.

Namun, apa yang penting ialah pengurusan harus cekap dan efisien.

Boleh ulas tentang Model Baharu Felda?
Felda tidak boleh terus bergantung semata-mata kepada kelapa sawit dan getah. Peneroka tidak boleh terus bergantung kepada bantuan kerajaan. Felda dan koperasinya perlu terlibat secara aktif dalam keseluruhan rantaian nilai (complete value chain) untuk menjadi sebuah organisasi yang kuat. Kepelbagaian tanaman dan penggunaan teknologi pintar perlu dilaksanakan bagi membolehkan peneroka meningkatkan pendapatan dan mereka tidak perlu lagi berhutang dengan Felda.

Felda adalah lombong emas kerana ia satu-satunya agensi yang ada lebih dua juta ekar atau 879,220 hektar tanah termasuk ladang yang kini diuruskan oleh FGV. Terlalu banyak potensi yang boleh dicungkil.

Peneroka Felda antara paling banyak terima bantuan kerajaan. Apakah ‘tradisi’ ini akan diteruskan?
Dahulu Felda menjana pendapatan sendiri. Pada 2012, Felda mempunyai aset bersih bernilai RM20.2 bilion tetapi tahun lalu merosot kepada RM7.1 bilion. Ini membuktikan mereka boleh berdikari namun selepas penyenaraian FGV, Felda mula mengalami masalah kewangan yang memerlukan campur tangan kerajaan.

Salah satu masalah utama yang dihadapi ialah penyata hutang peneroka. Hutang mereka tidak dapat dimuktamadkan. Alhamdulillah, penyata hutang sudah selesai.

Sehubungan itu, amalan pemberian bantuan kewangan akan distruktur semula bagi mengurangkan bebanan jumlah pinjaman dan tempoh bayaran pinjaman yang terpaksa ditanggung oleh peneroka.

Felda memperkenalkan benih baharu kelapa sawit, 3-way yang akan mengeluarkan hasil lebih banyak dan cepat. Dalam tempoh tiga tahun, benih ini akan mula mengeluarkan hasil dan pada tahun kelima dianggarkan mampu mengeluarkan 15 tan hasil per hektar.

Mengenai projek PPP, sejauh mana pelaksanaannya?
Pelaksanaan PPP sedang rancak berjalan dengan peruntukan RM1 bilion. Projek rintis PPP di Felda Bukit Rokan telah bermula dan sedang diperluas ke beberapa tanah rancangan lain. Saya sendiri memantau rapi kemajuan dan perkembangan projek ini.

Beberapa projek PPP lain juga akan dilancarkan dalam tempoh terdekat seperti tanaman nanas di Felda Besout 2 dan Felda Lenga.

Selain itu, Felda juga mengadakan kerjasama dengan Agrobank bagi memastikan kelancaran pelaksanaan PPP. Insya-Allah, kita akan dapat melihat hasilnya tahun depan.

Bagaimana penerimaan peneroka terhadap pelan ini?
Alhamdulillah, mereka menerimanya dengan baik. Kita boleh melihat kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh wakil-wakil peneroka dan generasi baharu Felda. Penerimaan perakuan pasukan petugas oleh kerajaan telah memberi harapan baharu kepada mereka dan mencetuskan feel good factor. Mereka gembira kerana ada hala tuju yang jelas.

Tiga perkara asas untuk memastikan pelan ini berjaya iaitu kepimpinan, kakitangan dan peneroka. Kesemua ini harus berjalan seiring. Felda kini dipimpin oleh Datuk Seri Idris Jusoh dan Datuk Amiruddin Abdul Satar. Mereka dibantu oleh Tan Sri Abdul Wahid yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan. Jawatankuasa Pemantauan perlu melaporkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan saya pada setiap bulan. Abdul Wahid, Idris dan Amirudin mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan.

Kakitangan Felda harus melaksanakan tugas dengan penuh komitmen dan amanah. Peneroka juga perlu bekerja keras dan mampu berdikari. Insya-Allah, pelan ini akan mula membuahkan hasil dalam tempoh tiga tahun lagi. Perlu ada perubahan minda yang radikal dan budaya kerja baharu, sesuai dengan dunia yang lebih mencabar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN