KITA sedia maklum, Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dibentuk pada 16 September 1963.
Kita juga tahu, istilah ‘Bahasa Malaysia’ bagi bahasa kebangsaan diperkenalkan secara rasmi pada 1970 sebagai tindakan proaktif susulan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Akan tetapi, nama ‘Malaysia’ sebenarnya sudah wujud jauh sebelum kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Maka, elok juga sekiranya kita cuba menambah ilmu supaya tahu lebih sedikit berbanding apa yang diajar di sekolah selama ini.
Rupert Emerson dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat melakukan kunjungan dan kajian lapangan di beberapa negara jajahan British selama hampir setahun mulai Ogos 1932. Pensyarah sains politik itu berkunjung semula ke Malaya pada Julai 1933 selama tiga minggu bagi melengkapkan kajian mengenai sistem pentadbiran British.
Susulan kajian mendalam, Emerson menghasilkan buku Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (1937). Dalam masa setahun sahaja, menurut laporan The Straits Times (2 Oktober 1938), naskhah berkenaan menjadi buku paling dicari oleh penjawat awam dan orang ramai yang mahu tahu tentang Malaya.
100 TAHUN
Perkara yang lebih penting untuk diperhatikan di sini, nama Malaysia sudah digunakan hampir 25 tahun sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Malah, nama Malaysia pernah digunakan dalam konteks lebih luas hampir 100 tahun sebelum itu.
Pada 1831, penjelajah Perancis, Jules Dumont d’Urville mencadangkan nama ‘Melanesia’, ‘Micronesia’ dan ‘Malaysia’ bagi meliputi kawasan yang kini kita kenali sebagai Nusantara dan Kepulauan Melayu.
Kemudian pada 1850, penjelajah British, George Windsor Earl menyarankan nama ‘Melayunesia’ dan ‘Indunesia’ bagi kawasan yang kini dikenali sebagai Asia Tenggara. Nama ‘Indunesia’ akhirnya digunakan bagi Indonesia.
Hasil kajian perpustakaan, saya turut menemui istilah ‘Malaysia’ digunakan dalam beberapa akhbar bahasa Inggeris sebelum 1930. Dalam akhbar Malaya Tribune (3 Julai 1929, 11 Julai 1929, dan 6 April 1931), misalnya, dinyatakan mengenai sebuah akhbar mingguan bahasa Malayalam berjudul Malaysia Malayalee.
UTUSAN MELAYU
Akhbar berkenaan kemudian menjadi akhbar harian serta mampu bertahan di Malaya dan kemudian di Singapura sehingga Disember 1988. Apa yang mengujakan, nama ‘Malaysia’ digunakan pada akhbar berkenaan lebih tiga dekad sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.
Pada 1950, akhbar Utusan Melayu (Singapura) dan Majlis (Kuala Lumpur) turut menggunakan istilah ‘Malaysia’. Dilaporkan, UMNO Cawangan Batu Pahat dan Kluang menyokong penggunaan ‘Malaysian’ berbanding ‘Malayan’ apabila merujuk kepada kewarganegaraan penduduk Tanah Melayu.
Istilah ‘Malaysia’ juga digunakan dalam laporan dan berita seperti dalam Malaya Tribune (2 Februari 1950) dan The Singapore Free Press (3 Februari 1950). Dalam surat yang disiarkan dalam akhbar The Straits Times (25 Julai 1950), pakar undang-undang dan penasihat Perlembagaan di Malaya, Roland Braddell, dipetik menggunakan istilah ‘Malaysia’ beberapa kali.
Maklumat di atas agak menarik untuk membantu kita memahami serba sedikit bagaimana proses evolusi nama ‘Malaysia’ berlaku.
VERSI
Memanglah akan ada pelbagai versi terhadap sesuatu kisah tetapi sekurang-kurangnya kita akan tahu maklumat daripada pelbagai sumber untuk membantu melakukan analisis, penilaian dan keputusan sendiri.
Generasi yang lahir pada 1960-an dan 1970-an pasti masih ingat bagaimana istilah ‘Bahasa Malaysia’ mula digunakan dalam semua urusan rasmi khususnya di sekolah mulai 1970 bersama-sama Rukun Negara dan Rukun Tetangga.
Dalam Perlembagaan Persekutuan memang termaktub bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Apa yang kita mungkin tidak tahu, pada 1960-an, mata pelajaran Bahasa Melayu diajar kepada anak-anak Melayu, manakala orang bukan Melayu mengambil mata pelajaran Bahasa Kebangsaan.
Sewaktu berucap dalam majlis ulang tahun ke-150 penubuhan Penang Free School pada 21 Oktober 1966, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengusulkan supaya istilah ‘Bahasa Malaysia’ digunakan secara menyeluruh. Saranan itu mendapat sokongan para pejuang dan pencinta bahasa serta sastera di seluruh negara.
Sekali lagi, perkara yang lebih penting untuk direnungkan adalah hakikat istilah ‘Bahasa Malaysia’ bukan sesuatu yang tiba-tiba muncul dalam minda pemimpin negara susulan rusuhan kaum pada 1969, lalu diperkenalkan secara rasmi pada 1970 sebagai usaha memupuk perpaduan kaum. Sebaliknya, sudah mula difikirkan dan diamalkan lebih awal.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










