Kenapa musnahkan kehidupan? - Utusan Malaysia

Kenapa musnahkan kehidupan?

Tidak semua air hujan akan menjadi sumber air bersih kerana sebahagiannya jatuh di laut dan longkang. –GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hubungan dan kebergantungan manusia terhadap air tidak dapat dinafikan sama sekali. Air penting dalam kehidupan manusia. Selain kelangsungan hidup (makan dan minum), manusia juga memerlukan air untuk tujuan santai dan hiburan.

Kepentingan sumber air boleh juga dilihat dari sudut pandang agama. Dalam pandangan hidup Islam, pentingnya air itu boleh dilihat dari aspek kewujudannya. Air diwujudkan lebih awal daripada manusia, malah lebih awal daripada kewujudan alam itu sendiri. Ayat 17, surah Hū menjelaskan antara maksudnya: “..sedang Arasy-Nya, berada di atas air…” Sebuah hadis daripada Imam al-Bukhari memperkukuhkan kenyataan ini dengan maksudnya: “Tuhan telah ada, dan belum ada sesuatu selain-Nya dan ‘Arasy-Nya di atas air.”

Semasa proses kejadian manusia, elemen air juga penting. Dalam ayat 19, surah ‘Abasa serta ayat 12 hingga 14, Surah al-Mu’minun disebutkan tentang ‘air mani’ serta ‘air benih’ dan kedua-duanya jelas mengandungi elemen ‘air.’ Malah disebutkan pula dalam ayat 54, Surah al-Furqa yang maksudnya: “Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air…” Pun begitu, bukan sahaja manusia, air juga ialah elemen penting dalam penciptaan haiwan dan ini ditunjukkan dalam ayat 45, Surah al-Nu yang sebahagiannya bermaksud: “Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air…”

Selain kehidupan duniawi, air juga ialah elemen penting dalam kehidupan ukhrawi. Disebutkan dalam ayat 15, surah Muhammad bahawa terdapatnya beberapa sungai yang mengalir di dalam syurga dan mutu airnya tidak akan berubah rasa serta baunya.

Berdasarkan penjelasan tersebut, maka jelaslah air dan kehidupan tidak dapat dipisahkan. Malah, tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa air ialah kehidupan. Hal yang demikian kerana tanpa air, kehidupan tidak mungkin bermula. Oleh itu, merosakkan sumber air bermakna merosakkan kehidupan secara keseluruhannya. Persoalannya, mengapa manusia bermaharajalela merosakkan sumber air atau bersikap acuh tak acuh terhadap sumber tersebut?

Seperti diketahui umum, pencemaran air menjadi isu hangat sepanjang tahun ini. Masalah air di Selangor yang berlaku beberapa bulan ini, jelas disebabkan pencemaran bahan kimia. Keadaan tersebut menyebabkan gangguan bekalan air kepada penduduk di Selangor dan sekitarnya. Keadaan ini amat memalukan bagi sebuah negeri termaju berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2019, Selangor menyumbang hampir 24 peratus kepada KDNK dan mengekalkan status sebagai penyumbang pelaburan tertinggi di Malaysia. Bukan sahaja Selangor, isu pencemaran sungai turut berlaku di Johor.

KIM-KIM

Misalnya di Sungai Kim Kim yang menyebabkan kesan serta-merta kepada penduduk sekitar dalam bentuk gangguan pernafasan sehingga perlu diberikan rawatan segera. Hakikatnya, masalah pencemaran sungai tidak tertakluk di dua negeri ini sahaja tetapi berlaku di mana-mana sama ada diketahui mahupun tidak.

Jika ingin menelusuri kesilapan demi kesilapan pengurusan sumber air, sebuah makalah ringkas seperti ini sebenarnya tidak cukup untuk membincangkan semuanya. Ini disebabkan masalah muncul dari pelbagai aspek, misalnya dasar negara, perundangan, pemantauan, ekonomi dan politik (tadbir urus). Oleh itu, makalah ringkas ini hanya menumpukan kepada aspek umum, iaitu kesilapan dari segi pemikiran manusia terhadap sumber air.

Cara berfikir manusia terhadap sumber air akan menentukan cara manusia menggunakannya. Kesilapan utama terletak pada fikiran yang menyangka sumber air adalah banyak, melimpah-ruah dan tidak mungkin habis. Malaysia ialah sebuah negara yang kaya dengan sumber air. Pada 2016, kita menerima 907 juta meter padu hujan tahunan. Purata jumlah hujan tahunan negara juga tinggi, iaitu antara 2,000 dan 4,000 milimeter (mm) setahun. Nyatalah Malaysia kaya dengan sumber air hingga boleh menjualnya kepada negara jiran, Singapura. Dengan kekayaan ini, mustahil kita berhadapan masalah kekurangan sumber air bersih. Namun hakikatnya, tidak semua air hujan akan menjadi sumber air bersih kerana sebahagiannya turun di kawasan laut dan longkang. Ini ialah sumber air yang tidak boleh digunakan oleh manusia.

Ramai juga silap berfikir bahawa hal-hal pengurusan air hanyalah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Pengguna hanya tahu mengguna dan tidak punya peranan signifikan. Apakah logiknya di situ? Hakikatnya, peranan pengguna amat besar. Antaranya menjadi pengguna bijak menggunakan air secara berhemah. Pengguna juga harus bersikap aktif dan mampu menyuarakan pandangan terhadap pengurusan air serta membuat aduan bila perlu.

Kesilapan lain meliputi sangkaan bahawa sumber air adalah yang keluar dari paip semata-mata. Sebenarnya, sumber air terdiri daripada sungai, air bawah tanah, empangan dan tasik. Untuk air ini sampai kepada pengguna, ia perlu dirawat terlebih dahulu. Ini bukanlah tugas yang mudah. Kos untuk membina, mengurus serta menyelenggara adalah terlalu tinggi. Bagi pengguna, tentunya sudah biasa membayar bil air yang rendah tetapi percayalah, jumlah yang dibayar itu tidak menggambarkan kos menguruskan sumber air secara keseluruhannya.
Akhir sekali, wujudnya pemikiran secara terpisah dalam pengurusan pelbagai sumber alam di negara ini. Misalnya, mereka yang menguruskan sumber air tidak bersinergi dengan mereka yang menguruskan sumber hutan. Sedangkan hakikatnya, sumber hutan amat penting dalam memastikan kesejahteraan sumber air. Realitinya, hutan ketika ini dimusnahkan sesuka hati. Jika ini terus berlaku, adakah kita pasti kelestarian sumber air dapat dikekalkan?

PENULIS ialah Felo di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN