Institut Integriti Malaysia (IIM) bersama Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) mempunyai peranan signifikan dalam pembangunan kapasiti dan kompetensi sektor awam dan badan korporat berhubung usaha pemantapan integriti serta profesionalisme menerusi penekanan terhadap pengaplikasian instrumen dan teknologi baharu.
Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan pada 29 Januari 2019 merupakan antara inisiatif kerajaan yang komprehensif dan inklusif ke arah mencapai matlamat negara bebas rasuah dan berintegriti.
NACP adalah pelan bersepadu julung kali digubal bagi menentang rasuah, menggariskan enam bidang keutamaan yang menjadi teras dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini. Bidang itu ialah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang serta tadbir urus korporat.
Sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 29 inisiatif di bawah enam strategi pelaksanaan NACP berjaya dijayakan.
Selain itu, peranan GIACC sebagai Sekretariat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) terus diperkasakan bagi memastikan hasrat murni kerajaan ini dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan. Jawatankuasa Antirasuah (JAR) yang dilaksanakan di beberapa peringkat kementerian dan jabatan juga akan dimantapkan bagi memastikan dasar yang dirangka tidak berkompromi terhadap sebarang tindakan rasuah.
Dalam memperkasakan kompetensi penjawat awam amnya, GIACC mengambil inisiatif menganjurkan kursus Strategic Leadership Course on Governance, Integrity and Anti-Corruption dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Razak School of Government melibatkan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional yang berpotensi dan dipilih oleh JPA.
SOP
Bagi merealisasikan mekanisme transformasi baharu pemantapan integriti dalam kerangka perniagaan strategik, IIM mengambil langkah inovatif dengan membina rangkaian perkongsian pintar dan komprehensif menerusi kepelbagaian pendekatan terutama dalam bidang pembekalan latihan, konsultasi dan program kesedaran dengan memperkenalkan beberapa produk perkhidmatan, instrumen serta kaedah yang boleh dilaksanakan secara praktikal dalam usaha memperkukuhkan sistem kualiti pengurusan dalaman sesebuah organisasi.
Pendekatan ini juga secara tidak langsung dapat merekayasakan sistem pengurusan kualiti perkhidmatan penjawat awam mahupun swasta bagi menjamin peningkatan amalan governans, integriti dan antirasuah.
Seiring visi IIM sebagai pusat kecemerlangan pembangunan budaya integriti, kerajaan sentiasa memfokuskan dan menitikberatkan akauntabiliti kepemimpinan berintegriti dalam organisasi dan negara, malah individu yang memiliki integriti tinggi merupakan prasyarat utama dalam menentukan kepimpinan dalam setiap organisasi.
Sempena memperingati Hari Integriti Nasional yang disambut 5 November setiap tahun, setiap organisasi tidak seharusnya menjadikan alasan Covid-19 untuk tidak melaksanakan program pemantapan integriti. Kesemua inisiatif ini tetap boleh dilaksanakan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan tujuan:
i) Memupuk kesedaran dalam kalangan penjawat awam mengenai keperluan dan kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti.
iii) Memberi penjelasan mengenai isi-isu berkaitan kesalahan tatatertib, ketidakpatuhan tadbir urus dan mewujudkan kesedaran tentang norma tatakelakuan yang baik kepada pegawai dan kakitangan di kementerian dan agensi.
iv) Memberi akses kepada warga kementerian dan jabatan/agensi untuk memperoleh dan menyalurkan maklumat berkaitan isu-isu governans, integriti dan antirasuah dengan lebih mudah dan tepat.
RISIKO
IIM juga berperanan memberikan konsultasi dan nasihat kepada ketua badan awam dan swasta dalam mengenal pasti punca risiko kepada berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja dalam organisasi masing-masing.
Selain itu, IIM juga bertindak sebagai institusi yang membantu proses runding cara dan pelaksanaan beberapa inisiatif strategik antirasuah seperti Penilaian Risiko Rasuah (CRA), Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) MS ISO 37001:2016, Pelaksanaan Garis Panduan Tata Cara Mencukupi, Pelan Antirasuah Nasional (NACP), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), Taklimat-Taklimat Liabiliti Korporat (Seksyen 17A), Latihan Etika dan Integriti, Penilaian Integriti Individu (IIP) dan mengkoordinasi sebar luas maklumat latihan konsultasi kepada ahli-ahli berdaftar dalam Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).
Kesemua inisiatif ini menjadi pencetus dalam usaha-usaha pencegahan rasuah di sektor swasta, badan korporat dan agensi kerajaan. Keterlibatan semua pihak sangat kritikal dalam memastikan matlamat pembasmian rasuah dan pengamalan budaya integriti dapat dijayakan dengan sempurna. Selain itu, terdapat pelbagai langkah lain yang boleh diambil oleh setiap organisasi termasuklah analisa dan pengurusan untuk mengenalpasti potensi risiko rasuah, prosedur pelaksanaan untuk menetapkan dan menambahbaik tadbir urus serta amalan-amalan antirasuah.
Usaha menambahbaik sistem pengurusan dalaman organisasi bukan sekadar disambut pada Hari Integriti Nasional setiap November, namun perlu dilaksanakan setiap masa dan di mana juga tindakan kita sebagai individu dalam organisasi.
Pandemik Covid-19 telah merubah paradigma baharu dari segi tatacara budaya kerja dan norma sosial masyarakat. Namun keberhasilan produktiviti negara hendaklah sentiasa menjadi keutamaan demi kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara. Selamat menyambut Hari Integriti Nasional 2020 bertemakan Integriti Penentu Kejayaan Budaya Kerja Norma Baharu.
TAN Sri Mohd. Zuki Ali ialah Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM).










