Hidup jangan bertuhankan duit - Utusan Malaysia

Hidup jangan bertuhankan duit

TIDAK mustahil ada warga asing yang terlepas masuk ke negara ini terlibat dengan pelbagai kegiatan haram dan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan negara. – GAMBAR HIASAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membaca laporan muka depan Utusan Malaysia semalam dan kelmarin menimbulkan kebimbangan. Tajuk utama muka depan Rabu, 200,000 warga asing bolos dan tajuk kecil RM5,000 hingga RM20,000 sehari bayar pegawai Imigresen dan semalam, Pegawai Imigresen disogok RM3.6 juta membuat masyarakat tersentak.

Tindakan mereka sebagai pegawai yang diamanahkan dalam urusan keluar-masuk manusia itu memang jelas adalah satu pengkhianatan. Khianat terhadap negara dan juga profesion sebagai penjawat awam.

Natijahnya, sejumlah 200,000 warga asing ‘dilepaskan’ untuk terus tinggal di negara ini tanpa melalui tapisan yang betul. Mereka dikesan berada di Malaysia walaupun pasport dan permit kerja telah tamat tempoh. Ada sebahagian lagi berjaya ‘melepasi’ pintu masuk untuk bekerja di sini.

Warga asing yang terdiri daripada warganegara China, Bangladesh dan Pakistan itu dengan mudah mendapat ‘keistimewaan’ apabila ada pegawai Jabatan Imigresen yang gelap mata. Seterusnya sanggup menyalahgunakan pengesahan cap keluar-masuk sempadan utama negara.

Difahamkan, pegawai imigresen dalam kumpulan gred 19 hingga 32 itu sanggup ‘bersekongkol’ dengan lebih 10 ejen yang jadi orang tengah menerima upah antara RM5,000 ke RM20,000 sehari.

Benarkah semurah itu maruah segelintir pegawai penguat kuasa kita? Antara percaya dengan tidak. Namun, statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan sebanyak 46 ditahan dalam Ops Selat. Daripada jumlah itu, 27 adalah pegawai imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah.

Sanggup gadai kedaulatan negara kerana mata sudah dikelabui oleh duit. Apabila bertuhankan duit, manusia hilang kewarasan. Tidak fikir soal halal-haram dan integriti. Bak kata pepatah, “membujur lalu melintang patah”.

Tidak mustahil mereka yang terlepas masuk ini antara warga asing yang terlibat dengan pelbagai kegiatan haram seperti pelacuran, rumah urut dan lain-lain yang boleh menggugat keselamatan negara.

Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan. Syaratnya, ia mesti dilakukan dengan jalan yang dibenarkan oleh syarak sama ada melalui perniagaan atau bekerja membanting tulang empat kerat. Bukannya dengan jalan batil, makan rasuah, menyalahguna kuasa, menipu dan sebagainya. Pendek kata, bukan senang nak jadi senang.

Semua orang tahu rasuah itu haram tetapi tidak semua mampu bertahan apabila disogok. Namun, itu bukanlah alasan untuk terlibat rasuah. Sabda Nabi SAW daripada Thauban r.a yang bermaksud: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya. (Riwayat Ahmad)

Negara memang tekad membanteras rasuah. Antaranya dengan memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019. Alhamdulillah, pada 23 Januari lalu, indeks global membabitkan 180 negara di seluruh dunia itu menyaksikan Malaysia melonjak ke tangga 51, tahun lalu berbanding kedudukan ke-61 pada 2018, selain mencatatkan peningkatan skor sebanyak enam mata kepada 53, berbanding 47.

Namun, perbuatan mengambil rasuah masih belum dapat dibanteras sepenuhnya. Masih ada yang tidak rasa bersalah makan rasuah walaupun tahu ia haram dan dosa besar. Realitinya, belum timbul rasa jijik makan rasuah seperti jijiknya makan babi. Walhal, imam al-Zahabi dalam kitabnya, al-Kabair menyenaraikan rasuah sebagai dosa besar dalam Islam.

Larangan makan harta orang lain secara batil dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (al-Baqarah: 188)

Ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan, termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap iaitu wang yang diberi kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya.” (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626)

Sebagai orang Islam, kewajipan mencari rezeki yang halal amat penting dan daruriyyat. Sebabnya, setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka tempatnya adalah neraka. Ini ditegaskan oleh sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada daging yang tumbuh dari as-suht, kecuali neraka lebih layak baginya. (Riwayat al-Tirmizi)

Bagi para suami dan ketua keluarga, renunglah wajah isteri, ibu bapa dan anak-anak. Sanggupkah kita memberi nafkah makan, minum kepada mereka daripada sumber yang haram. Yang dengan sebab itu akan menyebabkan mereka turut dibakar api neraka di akhirat kelak. Hasil rasuah walaupun luarannya nampak lumayan tetapi tidak ada keberkatan padanya.

Sebab itu, adakalanya rumah tangga tidak pernah aman, sering berantakan. Hilang mawaddah dan warahmah. Anak-anak bermasalah. Hidup tidak tenang. Ada sahaja perkara yang mencetuskan perbalahan walaupun hal yang remeh-temeh. Pendek kata, ‘rumahku syurgaku’ tidak wujud dalam keluarga tersebut.

Golongan isteri sebenarnya boleh memainkan peranan. Jika pendapatan suami luar biasa dan berbelanja mewah, eloklah si isteri bertanya dari mana datangnya wang tersebut. Biasanya isteri maklum tentang gaji dan pendapatan suami, lebih-lebih lagi bagi yang makan gaji.

Jika jawapan suami meragukan, eloklah isteri menasihatkan suami agar memastikan sumber pendapatan yang dibawa pulang itu halal. Rezeki bukan diukur pada jumlahnya tetapi yang lebih utama adalah keberkatan yang ada padanya.

Walaupun adakalanya sukar menyatakan kebenaran tetapi ia menjadi tugas kita bersama. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Nyatakan kebenaran, sekalipun ia pahit. (Riwayat Ibn Hibban)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN