Belanjawan ‘penyelamat’ rakyat - Utusan Malaysia

Belanjawan ‘penyelamat’ rakyat

Barisan hadapan seperti anggota polis, tentera dan petugas kesihatan sewajarnya diberikan elaun khas berikutan pengorbanan mereka dalam membendung wabak Covid-19. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini, mata dan fikiran rakyat akan terarah ke Dewan Rakyat untuk sesi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Setiap tahun, belanjawan pasti berbeza mengikut hala tuju pemerintah dan dapatan cadangan daripada rakyat bawahan. Namun, Belanjawan 2021 ini agak berbeza kerana ia sedang berada dalam situasi separa darurat.

Kelulusan Belanjawan 2021 amat kita harapkan bagi mengatasi krisis kesihatan awam dan masalah kegawatan ekonomi akibat serangan virus Covid-19 sejak hujung 2019.

Kenapa dikatakan belanjawan kali ini berbeza? Selain keperluan mendesak untuk mengurus isu pandemik dan ekonomi, Belanjawan 2021 juga tidak lagi mengharapkan sebuah belanjawan seimbang antara pendapatan dan perbelanjaan.

Sebaliknya, Belanjawan 2021 adalah satu-satunya (setakat ini) belanjawan yang disifatkan sebagai ‘penyelamat’ kepada rakyat. Untuk kali ini rakyat tidak lagi kisah soal keseimbangan tapi yang penting, pandemik Covid-19 dapat dimusnahkan dan kehidupan rakyat tidak terlalu terjejas.

Dari perspektif kerajaan pula, sudah tentu Belanjawan 2021 antara yang paling merumitkan kerana situasi telah memaksa. Di kala pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia, pendapatan negara merosot teruk.

Bermula Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion.

Seterusnya, kerajaan mengumumkan Langkah Tambahan Bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) berjumlah RM10 bilion lagi. Ini tak termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dan lain-lain inisiatif jangka masa panjang lain.

CUKUP MAKAN

Di kala belanja makin besar, pendapatan negara pula tidak sebanyak sebelum ini, mungkin hanya cukup-cukup makan. Sama ada punca pendapatan cukai atau bukan cukai, ia berlaku penyusutan yang mendadak akibat pandemik.

Pun begitu, dengan apa cara sekalipun, kerajaan melalui Belanjawan 2021 harus memberi fokus terhadap inisiatif dan elaun tambahan kepada barisan hadapan dalam melawan Covid-19 sejak 2019. Bukan berniat untuk menyogok dengan wang tetapi ia tanda kerajaan pandang kerja mereka.

Beberapa kementerian dan jabatan kerajaan juga harus diberi penekanan yang lebih jitu. Kementerian dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan, kesihatan, kewangan, pendidikan dan komunikasi wajar didahulukan untuk menerima peruntukan tertinggi.

Tanpa ada niat untuk membelakangkan kementerian atau jabatan kerajaan lain, suka untuk disebut di sini adalah keperluan mendesak Kementerian Kesihatan yang perlu diberi penekanan jauh oleh kerajaan.

Kita tahu, setiap minggu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba sentiasa keluar dalam media mengumumkan pelbagai inisiatif sektor kesihatan. Kita tahu, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tampil di media untuk membaca laporan terkini kes Covid-19.

PEPERANGAN

Semua ini jika tiada sokongan dan peruntukan kewangan yang besar daripada kerajaan, sudah pasti tidak akan menjadi.

Kemenjadian Kementerian Kesihatan dalam mengurus ‘peperangan’ negara dengan Covid-19 sedikit sebanyak dibantu oleh sokongan kewangan dan empowerment daripada Perdana Menteri kepada Menteri Kesihatan, seterusnya Ketua Pengarah Kesihatan.

Bukan nak cakap soal menteri atau ketua pengarah tetapi nak tekankan bagaimana pentingnya Kementerian Kesihatan perlu mendapat sebuah peruntukan terbesar dalam sejarah negara bagi 2021.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga antara yang paling banyak diminta ke hadapan, bukan sahaja dalam upacara keraian negara semata-mata. Tentera diminta membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

Justeru, diharapkan barisan hadapan sebegini juga memperoleh elaun Covid-19 daripada kerajaan. Sumpah setia mereka tidak dapat dinafikan lagi. Kita semua menjadi saksi walaupun hujan, panas, ribut petir, tidak mereka hiraukan. Demi negara tercinta, demi nyawa kita semua.

Wang peruntukan untuk Kementerian Kesihatan dan lain-lain barisan hadapan ini bukan untuk mereka bersuka ria, berjoli sakan atau menganjurkan retreat di tempat-tempat peranginan tetapi untuk operasi melawan virus maut ini.

Justeru, amatlah diharapkan kerajaan memberi inisiatif dan peruntukan terbesar khusus kepada barisan hadapan dalam belanjawan kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN