Mengikut laporan Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM), negara mencatatkan purata 1,000 orang diisytihar muflis pada setiap bulan sepanjang tahun lalu. Dianggarkan angka tersebut akan terus meningkat kepada empat hingga lima peratus, tahun ini. Apa yang membimbangkan kita, kelompok masyarakat yang paling ramai muflis adalah dalam kalangan peringkat umur 35 hingga 44 tahun. Ini menunjukkan golongan muda semakin kritikal dari segi kedudukan dan pengurusan kewangan, sekali gus memerlukan bimbingan sewajarnya dalam aspek pengurusan kewangan peribadi yang berhemat.
Tahun ini dilihat semakin parah apabila serangan wabak Covid-19 memberi kesan langsung kepada kedudukan ekonomi negara dan rakyat. Jumlah anggota masyarakat yang menjadi penganggur dalam sekelip mata semakin meningkat dan menggusarkan. Akibatnya, ramai yang hilang punca pendapatan secara total. Sudah semestinya golongan muda antara yang terjejas teruk dan menjadi mangsa diberhentikan kerja oleh majikan. Ini menyebabkan mereka mula menghadapi kesukaran untuk membayar balik segala hutang yang ada terutama kepada institusi kewangan berpunca daripada pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi serta perbelanjaan kad kredit.
BOROS
Ironinya, saya yakin ramai yang muflis pada tahun ini bukanlah kerana perbelanjaan boros dan membazir seperti tahun-tahun sebelumnya, tetapi lebih kepada untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing apabila periuk nasi terjejas teruk akibat wabak Covid-19. Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan untuk membantu golongan muda ini. Bantuan yang dimaksudkan perlulah bersifat segera dan untuk jangka masa pendek serta yang bersifat jangka masa panjang.
Sebagai bantuan segera dan untuk jangka masa pendek, kerajaan wajar melanjutkan kemudahan moratorium yang akan berakhir pada hujung tahun ini sehingga pertengahan tahun hadapan, iaitu dilanjutkan enam bulan lagi. Dengan ini menjelang Jun 2021, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran terutama dalam kalangan golongan muda. Ini sekali gus dapat memulihkan kedudukan kewangan rakyat dan membolehkan kehidupan mereka kembali stabil dan mampu membayar balik segala hutang yang ada.
Satu lagi jalan penyelesaian segera ialah peranan institusi kewangan termasuk Bank Negara. Misalnya, Bank Negara perlu tampil menjadi orang tengah antara institusi kewangan dan penghutang dalam mencari jalan penyelesaian menang-menang. Paling diharapkan, institusi kewangan akan lebih bertimbang rasa dan tidak segera ambil jalan mudah dengan membankrapkan terus penghutang. Berilah ruang supaya penghutang dapat berunding dan cari jalan penyelesaian secara menang-menang. Antaranya berilah peluang kepada penghutang membuat bayaran bulanan mengikut kemampuan semasa mereka. Bila kedudukan ekonomi diri kembali pulih, baharulah bayar mengikut jumlah ansuran yang asal.
4PM
Dalam konteks ini, saya menyokong penuh cadangan Biro Pengaduan Awam, Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM) agar Bank Negara tampil dengan jalan penyelesaian terbaik termasuk mewujudkan akta yang tidak membenarkan tindakan muflis dikenakan terhadap penghutang terutama dalam tempoh masa kritikal sebegini.
Pada masa sama untuk jangka masa panjang pula, kita perlu ada inisiatif di pelbagai peringkat bagi membimbing golongan muda tentang aspek pengurusan kewangan peribadi yang berhemat.
Ini antara ilmu yang wajib ada pada ketika ini agar mereka tidak terjerumus ke situasi keterhutangan yang serius sehingga berhadapan diisytihar muflis. Misalnya bagi anak muda yang belajar di universiti dan kolej, subjek pengurusan kewangan boleh diwajibkan ketika berada di tahun akhir pengajian mereka. Tanpa membebankan atau menganggu gred pencapaian keseluruhan mereka, ia boleh dijadikan subjek berbentuk pengetahuan dan kemahiran yang paling asas. Perkara penting di sini ialah bukan penilaian atau markah yang diperoleh tetapi peluang untuk mendapatkan ilmu dan pengetahuan tersebut secara formal dan betul.
KURSUS
Dalam pada itu, para majikan baik di sektor awam mahupun swasta dan korporat perlu menyediakan sesi kursus dan taklimat yang sewajarnya berkaitan ilmu dan pengetahuan pengurusan kewangan secara wajib kepada semua pekerja yang baru dilantik. Sebagai contoh, kursus ini boleh diselitkan dalam Program Transformasi Minda yang perlu diikuti oleh setiap penjawat awam yang baru dilantik sebelum pengesahan jawatan masing-masing.
IBU BAPA
Ibu bapa juga boleh memainkan peranan yang signifikan dalam hal ini. Bimbing dan didiklah anak-anak yang baru memasuki alam pekerjaan, yang baru dapat merasa gaji sendiri untuk bijak menguruskan pendapatan tersebut. Ajar dan pujuk mereka supaya tidak sewenang-wenangnya membuat pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit.
Kita akui kehidupan pada hari ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi, apatah lagi ketika dunia diserang wabak Covid-19 yang hampir melumpuhkan sistem ekonomi global. Justeru, golongan muda yang baru hendak membina hidup perlu dibantu dan dididik sewajarnya supaya mampu bertahan dengan segala cabaran sekali gus menguruskan kewangan peribadi dengan berhemat.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










