Antara tembok dan nyawa - Utusan Malaysia

Antara tembok dan nyawa

Anggota Pasukan Gerak Am (PGA) meninjau keadaan sempadan ketika OP Benteng di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada Julai lalu.- MINGGUAN-MUHAMAD IQBAL ROSLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMBANGUNKAN ‘tembok besar dan indah’ di sempadan Amerika Syarikat (AS) dan Mexico adalah antara janji istimewa kempen pilihan raya Presiden Donald Trump pada 2016.

Alasan yang diberikan oleh beliau, halangan konkrit, akan menghentikan apa yang digambarkannya sebagai aliran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pengedaran dadah di sempadan.

Sebelum Trump menjawat jawatan itu, sepanjang sempadan kedua-dua negara terdapat penghalang sepanjang 1,054 kilometer di sepanjang sempadan selatan – terdiri daripada sekatan sejauh 566 kilometer untuk menahan pergerakan pejalan kaki dan 480 km pagar antikenderaan.

Kini, Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) dalam laporan statusnya pada 6 Oktober mendedahkan sempadan selatan memiliki 1,070 km ‘penghalang utama’ – struktur pertama yang akan dihadapi orang dari Mexico ke AS.

Kenapa Trump begitu serius untuk ‘memagar’ negaranya supaya tidak dicerobohi oleh pendatang tanpa izin dan aktiviti jenayah rentas sempadan. Ada yang menganggap Trump sebagai anti-hispanic, namun rasional di sebalik pembinaan tembok yang menelan ratusan dolar juga adalah untuk tujuan keselamatan.

Penghalang Fizikal
Dari zaman ke zaman sebuah bandar, kerajaan dan negara akan membina penghalang fizikal untuk menandakan wilayah mereka, melindungi penduduk dan mengawal siapa yang masuk dan siapa yang kawal. Ia juga bagi mengawal pencerobohan pihak luar.

Dalam tempoh beberapa dekad lalu, negara-negara di seluruh dunia – termasuk AS – telah membina beribu-ribu kilometer tembok dan pagar sepanjang sempadan mereka dengan matlamat utama bagi menghalang kemasukan PATI.

Seperti apa yang ditulis oleh seorang penyelidik, Elisabeth Vallet: “Ia sudah menjadi kebiasaan dalam hubungan antarabangsa dan menjadi penyelesaian dalam usaha menjaga keselamatan.”

Begitu juga dengan Malaysia. Hal berkaitan penjagaan sempadan tidak boleh diambil mudah atau dipandang remeh.

Sempadan negara baik di darat mahupun di laut tidak pernah sunyi daripada ancaman. Setiap hari ada sahaja cubaan untuk menembusi sempadan negara sama ada yang membabitkan PATI atau pun jenayah.

Kejadian yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar, Perlis yang mengorbankan anggota Pasukan Gerak Am (PGA), Sarjan Baharuddin Ramli baru-baru ini tentunya membuka mata banyak pihak betapa rapuhnya sempadan kita.

Rakan sepasukan mendiang Sarjan Norihan Tari, 39, kini masih bertarung nyawa di Hospital Pulau Pinang ekoran kecederaan parah di tembak penyeludup.

Mudah Bolos

Ia bukan bermakna kawalan keselamatan kita lemah, tetapi tindakan agresif penjenayah dan PATI memerlukan kaedah yang lebih berkesan untuk menanganinya.

Pembinaan tembok di sepanjang 640 kilometer sempadan Malaysia-Thailand dari Perlis hingga Kelantan mungkin penyelesian terbaik.

Seperti apa yang didedahkan oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Said, pagar sempadan sempadan sangat mudah dibolosi kerana ia mudah dipotong oleh penjenayah. Walaupun tiap hari dibaiki ia tetap akan rosak esoknya.

Pembinaan tembok sempadan itu rasanya tidak akan menjadi isu kerana dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Sempadan MALTHAI ke-25.

Namun, ia tidak direalisasikan apabila ada yang berpendapatan kos untuk membinanya iaitu sekitar RM1 juta untuk satu kilometer terlalu tinggi dan tidak ekonomik. Untuk membina tembok sempadan dari Perlis ke Kelantan itu dianggarkan menelan belanja sekitar RM640 juta.

Sudah tentu untuk mengawal sempadan negara dan memastikan keselamatan rakyat tidak terjejas ada harga yang perlu dibayar. Jika tidak dibayar dengan wang ringgit sudah tentu ia dibayar dengan nyawa sebagaimana yang menimpa mendiang Baharuddin.

Selain itu, negara juga menanggung kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun akibat aktiviti pengeludupan barangan kawalan seperti minyak masak, tepung, gula dan minyak diesel ke negara jiran.

Itu belum diambil kira kerugian akibat aktiviti penyeludupan barang terlarang seperti daun ketum dan dadah. Semua itu memberi kerugian kepada negara untuk jangka panjang sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kita sendiri boleh nilai apa yang tidak melepasi sempadan negara kita? Daripada PATI membawa kepada pemerdangan manusia hingga ke penyeludupan dadah bernilai jutaan ringgit.

Malah isu membabitkan penyeludupan rentas sempadan sudah lama perkatakan dengan ribuan lorong tikus menjadi lokasi transaksi penyeludupan.

Kerugian Bilion Ringgit

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ismail Bakar pernah mendedahkan bahawa negara mengalami kerugian antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setahun akibat kebocoran hasil yang berlaku di pintu masuk negara.

Selain terdapat keperluan bagi pemerkasaan penguatkuasaan agensi-agensi yang terlibat dalam menjaga sempadan negara cadangan membina tembok di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand perlu dipertimbangkan secara serius.

Ini kerana ancamannya sangat serius dan berterusan. Selang beberapa hari selepas insiden anggota PGA maut ditembak, polis Kedah telah merampas heroin bernilai sekitar RM18 juta yang dibawa masuk melalui sempadan berhampiran Padang Sanai di Padang Terap. Ini semua ancaman kepada negara.

Tanpa tembok sempadan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah pun membuktikan keupayaan mereka. Tetapi ketika para penjenayah menggunakan peralatan yang semakin canggih maka pihak berkuasa kita terpaksa meningkatkan usaha berkali ganda untuk memastikan sempadan negara terkawal.

Perkara seperti ini tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan.

Pada 2015, ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah pun mengkaji sistem yang sesuai untuk digunakan bagi pembinaan tembok di sempadan negara.

Malah sebanyak 15 cadangan dikemukakan di mana selain pembinaan tembok fizikal turut dicadangkan ialah pemantauan menggunakan drone, satelit dan CCTV berdifinisi tinggi. Tetapi hingga kini ia belum menjadi realiti.

Yang pasti saban hari sempadan negara kita terus diasak oleh pelbagai bentuk pencerobohan yang mana nyawa pasukan keselamatan kita menjadi taruhan. Sudah tentu jika tidak ada tindakan segera diambil, mendiang Baharuddin bukan orang yang terakhir perlu berkorban nyawa untuk mempertahankan sempadan negara.

Antara tembok dan nyawa, mana satu pilihan kita. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN