Penyu Sarawak dan Covid-19 - Utusan Malaysia

Penyu Sarawak dan Covid-19

Anak-anak penyu agar dilepaskan ke laut. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika disebut Sarawak, pasti terbayang ikon burung kenyalang. Namun, mungkin ramai yang tidak tahu tentang kewujudan populasi penyu agar (chelonia mydas) di sekitar perairan Sarawak.

Penyu agar mendarat dan bertelur di Pulau Satang Besar and Pulau Talang-Talang Besar. Fakta sains menunjukkan penyu ini bertelur sepanjang tahun tetapi musim yang paling banyak mendarat ialah sekitar Jun hingga Ogos.

Secara jujurnya, saya amat teruja apabila melihat kiriman pemilik Pandan Goldcoast Holiday Villa (PGHV), Captain Eugene di Lundu menerusi akaun TikTok. Beliau merakamkan kehadiran penyu di pantai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Ia secara kebetulan berlaku pada ulang tahun keenam pelepasan penyu ke laut.

Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan eksperimen bagi mengembalikan penyu ke pantai berkenaan. Mungkin juga secara kebetulan, pantai tersebut begitu sunyi ketika itu lalu penyu mendarat.

PGHV adalah rakan kongsi industri Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi memulakan projek head start penyu pada 2014. Penyu dibela dari umur dua hari hingga 18 bulan dan sepanjang tempoh tersebut, premis PGHV dibuka kepada orang awam yang ingin belajar tentang penyu secara percuma. Selepas penyu dilepaskan ke laut pada 2015, projek ini dihentikan kerana kehabisan dana.

Penduduk Lundu banyak membantu dari segi tenaga dan moral sepanjang projek berjalan. Golongan nelayan secara sukarela membantu memantau kesihatan dan keselamatan anak-anak penyu yang dilepaskan. Projek ini berjaya dalam misi pemerkasaan masyarakat tempatan terhadap pemuliharaan penyu Sarawak.

LOCKDOWN

Terdapat banyak rencana bagaimana lockdown akibat pandemik Covid-19 yang mengehadkan aktiviti manusia telah memberi impak positif terhadap alam sekitar. Ini menggembirakan seluruh penduduk dunia terutama aktivis alam sekitar.

Namun begitu, tentu sekali ada kesan negatif kepada populasi hidupan liar termasuk penyu. Pandemik Covid-19 mengubah cara hidup dan amalan manusia. Pelitup muka, sarung tangan plastik, pembungkus makanan berasaskan plastik adalah bahan-bahan tidak mesra alam dan akan mengambil masa beratus tahun untuk dilupuskan. Pembuangan barang-barang tersebut di merata tempat tentunya memberi akibat buruk kepada alam sekitar.

Jika terdampar di pantai, ia merosakkan landskap pantai yang cantik dan akan menutupi dan merosakkan habitat haiwan, contohnya habitat ambal (siput pahat).

Jika terapung di air, mungkin si penyu menyangka ia obor-obor lalu dimakannya. Penyu yang makan plastik akan mengalami masalah dalam sistem pencernaan dan akhirnya boleh mengakibatkan kematian.

Oleh itu, marilah kita menjalankan tanggung jawab kita menghentikan rantaian Covid-19 dan serentak itu menjaga populasi penyu kita. Buang sampah plastik dan pelitup muka ditempat yang disediakan sahaja.

PROFESOR Madya Dr. Ruhana Hassan ialah Timbalan Pengarah Pusat Pengajian Pra-Universiti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN