YOUNG SYEFURA OTHMAN atau Rara yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari daripada DAP sememangnya dikenali ramai.
Beliau juga sering menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak termasuklah yang menganggapnya sebagai wanita Melayu yang dipergunakan DAP. Malah status beliau yang berpisah dengan suami pada Mac 2019 juga menerima kritikan bersifat peribadi yang tidak ‘enak’.
Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mengupas perasaan wanita berusia 31 tahun ini berhubung pelbagai kritikan yang dilemparkan dan perjalanan politiknya. Ikuti temu bual tersebut:
PENGKHIANAT
UTUSAN: Bagaimana Yang Berhormat (YB) hadapi kritikan?
Betul, orang selalu kata saya dipergunakan oleh DAP. Orang Melayu dipergunakanlah, orang Melayu yang bangsatlah, macam-macam cacian. Kadang-kadang status saya pun diperkatakan dan sebagai seorang wanita pun selalu diperlekehkan
Bagi saya, ini adalah satu perkara yang tidak sihat dan tidak baik kerana kadang-kadang netizen seronok bermain di media sosial kerana mungkin di situ dia berasa puas.
Apabila orang mengatakan saya dipergunakan oleh DAP, mereka seperti memperkecilkan keupayaan saya. Itu adalah tidak baik kerana DAP adalah platform yang memberi ruang dan peluang kepada orang muda dan wanita. Saya telah memilih jalan yang betul untuk menentukan wadah perjuangan kerana kalau parti lain, mungkin saya tidak berpeluang menjadi wakil rakyat kerana saya orang muda dan wanita.

POLITIK
Pandangan YB mengenai trend lompat parti?
Senario politik hari ini sudah macam cacamarba, terlalu pantas. Bagi saya, kita tidak boleh lagi terlalu taksub dengan satu-satu parti. Sebab itu saya selalu katakan, dalam politik tidak ada kawan, tidak ada musuh. Hari ini kita berkawan, esok tiba-tiba kita jadi musuh.
Tentang isu lompat parti, ia berbalik kepada prinsip. Kalau kita ada prinsip yang teguh, prinsip yang kekal dengan pendirian dan perjuangan parti yang dibawa, kita akan kekal. Tapi kalau kita rasa prinsip itu mudah dijual beli, maruah itu mungkin senang diambil. Mungkin senanglah pergi ke mana-mana parti yang kita rasa mudah dibeli dengan jiwa ataupun wang.
YB pernah ditawarkan habuan untuk lompat parti?
Saya dapat tawaran daripada dua parti berbeza tetapi bagi saya, kita ada prinsip yang dibawa. Saya masih percaya dengan perjuangan DAP, perubahan yang hendak dibawanya. Saya setia dengan DAP.
PRU-15
YB akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari?
Bertanding atau tidak, saya serahkan kepada parti. Kalau masih diberikan kepercayaan, saya akan teruskan khidmat sama ada di Ketari atau mana-mana kawasan yang parti akan hantar. Saya percaya, walau di mana pun, kalau kita berkhidmat dengan baik, insya-Allah orang akan terima kita.
Kita lihat Perikatan Nasional (PN) walau menjadi kerajaan sekalipun, sebenarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti yang memberi undi adalah rakyat. PRU-14 lalu pun kita tidak tahu, tiba-tiba rakyat buat keputusan menukar kerajaan selepas 60 tahun. Kali ini rakyat juga akan buat keputusan, kita tidak tahu ke mana rakyat pergi. Mungkin nampak banyak antara PH ataupun PN tetapi masih ada antara mereka yang di atas pagar atau pun mereka yang memerhati.
Jadi kita jangan rasa terlalu selesa di mana-mana pihak. Lebih baik kita memberikan perkhidmatan terbaik, di situ rakyat sendiri akan menilai.
Status YB juga jadi bualan dalam media sosial. Komen?
Jujur saya rasa tidak ada orang yang suka dengan status yang kita bawa apabila kita berpisah dengan suami. Tiada orang seronok pun dengan title dibawa ini tetapi benda itu kita terpaksa bawa.
Jadi saya harap netizen di luar sana agar lebih bertanggungjawab apabila memberi komen-komen tentang status seorang wanita kerana bagi saya, kalau mereka tidak tahu menghormati seseorang wanita maka mereka tidak menghormati ibu mereka sendiri.
Saya bukan robot, ahli politik bukan robot. Kita ada hati dan perasaan. Jadi, netizen di luar sana perlulah bertanggungjawab semasa memberi komen. Saya boleh terima komen negatif pasal kerja kerana kita boleh menilai balik. Mana yang positif, kita ambil supaya boleh ditambah baik lagi tetapi bagi saya soal peribadi, mereka tidak perlu masuk campur.
Bagaimanapun, status tidak ada halangan kepada saya untuk buat kerja. Kalau sudah jadi ahli politik, orang kata hati kena keras, Saya redah, lawan saja. Sifat kuat melawan itu ada dalam diri saya.










