Fahami kepentingan institusi raja - Utusan Malaysia

Fahami kepentingan institusi raja

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima mengadap Perdana Menteri secara sidang video sempena mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, baru-baru ini. – Facebook Istana Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tatkala kehidupan kita pada tahun ini dikejutkan dengan ancaman wabak Covid-19, rakyat dan negara juga terpaksa mengharungi pelbagai krisis dan ketidaktentuan politik sejak Februari lalu. Antaranya, kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan muncul kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) dengan pelantikan Perdana Menteri kelapan. Namun, apa yang menarik di sebalik pelbagai kemelut yang melanda negara adalah ia berjaya menyerlahkan kepentingan dan kebijaksanaan dua institusi yang penting iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Hakikatnya, ahli politik dan kerajaan datang dan pergi tetapi kedua-dua institusi tersebut terus kekal utuh menaungi dan melindungi kepentingan rakyat dan negara. Kita dapat lihat dengan jelas peranan dan fungsi serta kebijaksanaan dimainkan oleh Seri Paduka dan Majlis Raja-Raja. Misalnya, peranan dan fungsi itu sangat terserlah dalam menangani kemelut peralihan kepimpinan Kerajaan Persekutuan pada akhir Februari lalu. Siapa sangka, Yang di-Pertuan Agong atas kedudukannya sebagai ketua negara sanggup mencemar duli berjumpa semua 222 ahli Parlimen secara berasingan bagi mendapatkan pandangan dan sokongan mereka sebelum membuat keputusan melantik seorang Perdana Menteri yang baharu.

BERUNDING

Kebijaksanaan dan kewibawaan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berserta nasihat Majlis Raja-Raja akhirnya berjaya meredakan kembimbangan dan keresahan rakyat, sekali gus menstabilkan politik dan sistem pentadbiran negara pada ketika itu.

Malah kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong terserlah sekali lagi apabila memutuskan untuk berunding dengan Raja-Raja Melayu tentang cadangan pengisytiharan darurat yang dikemukakan oleh kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19. Akhirnya Yang di-Pertuan Agong setelah berbincang dengan Raja-Raja Melayu memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat pada ketika ini dan menyerahkan kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar yang diperlukan bagi membendung wabak.

Ini menunjukkan Seri Paduka begitu teliti, sangat terbuka dan cukup bijak dalam membuat sesuatu keputusan, sekali gus membuktikan Yang di-Pertuan Agong sentiasa bertindak berlandaskan undang-undang yang ada dan menjadi pelengkap dalam sistem pemerintahan demokrasi di negara kita. Kebijaksanaan Seri Paduka juga terbukti apabila secara berterusan memberi nasihat kepada semua rakyat dan ahli politik. Misalnya, baru-baru ini menitahkan ahli politik untuk bermuhasabah supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu dan menyelesaikan permasalahan antara mereka menerusi rundingan dan proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Di samping itu, sebelum ini kita juga dapat lihat kebijaksanaan raja-raja lain dalam menstabilkan situasi politik di negeri masing-masing seperti yang pernah berlaku di Perak, Selangor dan Johor. Kebijaksanaan raja-raja tersebut berjaya mengawal keadaan dan memudahkan pembentukan kerajaan negeri.

GOLONGAN MUDA

Jadi, inilah masa terbaik untuk rakyat terutama golongan muda memahami dengan jelas peranan dan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Selama ini, kebanyakan daripada kita mungkin hanya membaca dalam buku sejarah di sekolah tentang peranan dan fungsi institusi penting ini. Namun, kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini menyediakan ruang dan platform terbaik untuk kita melihat dan memahami dengan jelas fungsi dan peranan serta kepentingan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. Ringkasnya, dalam senario politik negara yang semakin mencabar ini, peranan kedua-dua institusi terbukti semakin terserlah, relevan dan amat signifikan. Malah kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah menangani kemelut politik yang dicetuskan sekali lagi ini cukup mengagumkan.

Sebagai rakyat, inilah juga masanya untuk kita menzahirkan penghormatan, ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang bertindak sebagai payung negara. Justeru, marilah kita meletakkan keyakinan yang tinggi kepada kedua-dua institusi ini dalam menstabilkan politik dan sistem pentadbiran negara sekali gus melindungi kesejahteraan rakyat.

Daulat Tuanku!

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN