Seperti kanak-kanak lain, saya dan kakak-kakak sering menyanyi ketika bermain bersama-sama. Antara lagu yang sering kami nyanyikan ialah Ring a Ring o’ Roses. Ketika menyanyi, kami berpegangan tangan membentuk bulatan sambil berlari-lari anak dan pada akhir lagu, kami merebahkan badan ke tanah.
Ketika itu saya hanya menyanyikannya mengikut lirik dengan penuh keseronokan. Namun, sekarang barulah saya tahu, lagu tersebut mengisahkan tentang wabak besar yang melanda London.
Wabak yang melanda antara 1665 hingga 1666 itu digelar Maut Hitam. Itulah pandemik paling dahsyat pernah melanda sejarah manusia setakat ini.
Saya membayangkan, mereka tentunya hidup dalam keresahan seperti apa yang kita lalui sekarang ketika berdepan pandemik Covid-19. Namun, semakin lama, semakin ramai yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam menangani Covid-19.
Kini fist bump sudah menjadi trend sedangkan ia melibatkan sentuhan fizikal yang tidak digalakkan oleh Kementerian Kesihatan. Malah, ramai juga yang sudah mulai lalai untuk kerap membasuh tangan seperti disarankan kerana berasa kes-kes baharu hanya berlaku dalam kluster-kluster tertentu di negeri-negeri yang jauh dari tempat mereka tinggal.
Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan kita yang berasa semakin selesa, lantas mula mengabaikan SOP di khalayak ramai seperti ketika menghadiri kenduri dan membeli-belah.
Alangkah baiknya jika kita sentiasa beringat serta mendisiplinkan diri dalam mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan. Kita dapat melihat kluster-kluster baharu merebak akibat kegagalan segelintir individu dalam mematuhi SOP. Lihat sahaja penambahan kes-kes baharu di negara-negara yang gagal menguatkuasakan peraturan ketat dalam mengawal pergerakan rakyatnya di tempat awam, contohnya Amerika Syarikat.
Kini, saya betul-betul memahami maksud lagu Ring a Ring o’ Roses yang dahulu sering saya nyanyikan. Jangan sampai keadaan dahsyat wabak Maut Hitam kembali melanda dunia akibat kealpaan serta sikap tidak kisah sebahagian daripada kita.
PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).










