Portal Mandarin: Apa yang silap? - Utusan Malaysia

Portal Mandarin: Apa yang silap?

PORTAL bahasa Mandarin yang dilancarkan semula oleh SPRM, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELALU juga muncul isu bahasa di negara kita. Sekejap diam, sekejap muncul. Jika isu pencemaran bahasa memang kita sudah lali, malah orang jadi tidak kisah kerana ada sahaja berlaku di mana-mana, waima di tengah bandar. Papan tanda dan kain rentang bercampur baur dengan bahasa rojak, salah ejaan dan pelbagai unsur lain yang memperlihatkan bahasa kebangsaan kita tercemar.

Pro dan kontra isu bahasa kebangsaan selalu dapat kita tatap apabila ada tindakan sesetengah pihak mengenainya. Ia tidak menghairankan kerana di negara kita banyak kaum menghuninya dan sudah tentu mereka mengendong bahasa masing-masing dalam pertuturan, tulisan dan menjadi medium mendapatkan maklumat.

Terkini, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] melancarkan semula portal bahasa Mandarin, ramai yang buka mata. Ramai yang menoleh semula Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan berkaitan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Lalu ada suara-suara yang membantah pengaktifan semula portal tersebut kerana menganggap ia membelakangkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tidak kurang pula yang menyokong termasuklah SPRM sendiri yang menganggapnya wajar demi kefahaman seluruh warganegara terhadap sesuatu yang ingin disampaikan.

MANJA

Ada yang berpendapat, SPRM mestilah menggunakan kaedah lain untuk menyampaikan maklumat kepada kaum-kaum lain seperti akhbar. Sebaliknya jika menggunakan portal rasmi kerajaan, ia akan meminggirkan bahasa kebangsaan. Maka usaha kaum-kaum lain untuk terus mendekati bahasa Melayu sudah tiada lagi jika kerajaan ‘manja’ dengan mereka dalam soal bahasa.

Ada pula berpendapat, subjek Bahasa Melayu di sekolah-sekolah belum mampu melahirkan masyarakat majmuk yang bertutur dalam satu bahasa yang mantap dan boleh menguasai segenap aspek hidup masyarakat.

Kita tidak nafikan, rata-rata masyarakat di negara kita mampu berbahasa Melayu kerana jika mereka pernah ke sekolah, bahasa itu dipelajari sebagai subjek wajib, waima mereka yang belajar di sekolah aliran Cina ataupun Tamil.

Bagaimanapun, sejauh manakah kefahaman dan penguasaan kaum-kaum lain terhadap bahasa Melayu kerana ia dipelajari semata-mata untuk lulus atau mendapat kepujian dalam subjek tersebut sahaja? Budak-budak Melayu pun belum tentu mampu menguasai sepenuhnya kerana bukan semua memperoleh pangkat A dalam subjek tersebut.

Maka tidak hairanlah bahasa Melayu menjadi cacamarba yang bukan hanya dapat dikesan menerusi kaum lain, tetapi orang Melayu sendiri.

Pelajar Cina dan India pun jika di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh pangkat A dalam subjek tersebut, tidak semestinya mereka mampu mengheret bahasa Melayu sebagai medium perantara dalam jangka masa panjang. Ia bergantung kepada persekitaran, rakan, kerja dan keluarga.

BAGUS

Bekas anak-anak murid saya pun, jika bertemu di mana-mana selepas meninggalkan alam persekolahan, tidak kira Melayu, Cina atau India, bercakap Melayu sudah tunggang-langgang walaupun dahulunya bagus berbahasa itu. Dalam satu ayat, sekurang-kurangnya dua perkataan Inggeris terselit. Jika berbual-bual selama lima minit, berpuluh-puluh perkataan Inggeris digunakan.

Oleh itu, isu portal bahasa Mandarin yang dilancarkan semula oleh SPRM memang menjadi cabaran dalam kalangan pencinta bahasa kebangsaan tetapi setidak-tidaknya ada niat baik di sebaliknya. Saya berpendapat, bahasa-bahasa lain yang dikesampingkan tidak membawa masalah besar jika bertujuan mendekatkan diri dengan masyarakat majmuk di negara kita kerana tidak semua bangsa mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Kerana itulah, media kerajaan di negara kita pun masih ada berita dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN