Malaysia-Rusia akrab sejak 1967 - Utusan Malaysia

Malaysia-Rusia akrab sejak 1967

Sheikh Muszaphar Shukor (kanan) menjadi angkasawan pertama Malaysia. Gambar ini sebelum beliau berlepas ke angkasa lepas di Baikonur, Kazakhstan pada 2007. Di sebelahnya ialah Faiz Khaleed.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hubungan Malaysia dan Rusia terjalin sejak 3 April 1967 sewaktu era Kesatuan Soviet lagi. Sejak dari itu, Kuala Lumpur dan Moscow yang terpisah beribu kilometer rancak merancang dan menjalankan kegiatan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, lumrah kehidupan, setiap hubungan pasti ada pasang surut. Ini tidak terlepas juga dengan hubungan Malaysia dan Kesatuan Soviet yang pada ketika itu kurang memuaskan.

Namun, disebabkan kebijaksanaan dan sikap toleransi pemimpin kedua-dua negara, isu-isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik dan cermat menerusi saluran diplomasi.

Sikap ingin berkawan dan merapatkan hubungan dua hala ditonjolkan dengan penubuhan Pusat Sains dan Kebudayaan Kesatuan Soviet di Malaysia pada 1981. Setelah tertubuhnya Persekutuan Rusia pada 1991, kegiatan menghubungkan kedua-dua negara diteruskan menerusi organisasi yang sama tetapi di bawah nama baharu, iaitu Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) Malaysia.

Objektif utama penubuhan RCSC ialah menjalinkan hubungan persahabatan dan kerjasama dari sudut sains, kebudayaan dan pendidikan. Dasar ini dapat dilihat menerusi perjanjian kerjasama kebudayaan dan saintifik sejak 1972. Di bawah perjanjian ini, kedua-dua pihak menjalankan pelbagai projek dan aktiviti mencakupi kebudayaan, juga melaksanakan bantuan kemanusiaan dan perkongsian pintar.

RCSC melaksanakan pelbagai program untuk warga Kuala Lumpur dan tetamu yang berkunjung ke ibu kota. Salah satu program adalah pembacaan buku dan puisi, pertemuan dengan artis, pameran lukisan, buku serta gambar, konsert, pertunjukan, persembahan, persidangan, seminar dan perbincangan.

RCSC turut menjalankan kelas bahasa Rusia yang diajar oleh guru-guru dari negara berkenaan mengikut konsep pembelajaran berkualiti. Sebenarnya program ini sudah berlangsung sebelum tertubuhnya RCSC lagi dengan kewujudan banyak kelas pengajaran bahasa Melayu di beberapa universiti di Rusia semenjak awal abad ke-20.

P. Ramlee

Banyak buku tentang Malaysia ditulis dalam bahasa Rusia dan penterjemahan penulisan anak tempatan Malaysia khususnya syair dan puisi ke dalam bahasa Rusia.

Selain itu, Negaraku, lagu negeri Selangor dan beberapa lagu P. Ramlee diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia bagi rujukan warganya. Begitulah sikap ingin tahu dan minat mendalam rakyat Rusia terhadap Malaysia yang disifatkan sebagai unik dan istimewa.

Malaysia turut melakukan perkara sama dengan membuka beberapa kelas bahasa Rusia seperti terdapat di Institut Teknologi Penerbangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dan Universiti Malaya.

Ramai juga pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di Rusia khususnya dalam bidang perubatan. Antaranya, di Universiti Perubatan Kebangsaan Kursk yang mempunyai pelajar Malaysia paling ramai. Selain itu, di Universiti Moscow, Volgograd dan Universiti Perubatan Nizhny Novgorod.

RCSC menyediakan biasiswa belajar di Rusia secara percuma kepada pelajar-pelajar Malaysia. Tawaran biasiswa ini dibuka pada setiap November. Jadi, pelajar yang berminat perlu segera mandaftarkan diri mereka kerana kuota adalah terhad.

Perkongsian ilmu pengetahuan sentiasa diadakan dengan kehadiran beberapa profesor dari Rusia yang menjadi pensyarah di Malaysia seperti Profesor. Dr. Elmira Akhmetova di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Profesor Dr. Igor Nikolayevich di Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa.

Selain itu, hubungan Malaysia dan Rusia juga terjalin dalam industri-industri lain. Contohnya, dalam sudut hubungan ketenteraan. Pada 2003, kerajaan Malaysia membeli 18 pesawat Sukhoi-30MKM buatan Rusia. Sebagai timbal balas, pada 2007, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed dihantar menjalani latihan di Pusat Latihan Angkasa Yuri Gagarin, Moscow. Sheikh Muszaphar Shukor terpilih sebagai angkasawan pertama Malaysia dengan menaiki kapal angkasa Soyuz TMA-11.

Banyak kesan positif daripada hubungan Malaysia dan Rusia ini tetapi malangnya begitu sedikit yang mengetahuinya. Sepatutnya rakyat Malaysia khususnya pengkaji, penulis dan golongan akademik menerokai dan mengkaji mengenai Rusia dengan lebih lanjut.

Dalam pada itu, Pengarah RCSC di Kuala Lumpur, Dr. Ayrat Akhmetov berkata, hubungan akrab Malaysia dan Rusia perlu diteruskan.

“Hubungan yang baik antara Malaysia dan Rusia perlu dipelihara. Apa sahaja yang berlaku, kita tetap teguh bersama! Seperti kata pepatah Melayu, bagai aur dengan tebing,” katanya.

PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Awam, Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN