“KESATUAN ummah semakin menghadapi cabaran besar. Perbezaan politik, mazhab, bangsa, kepentingan di samping tarikan kepada pengaruh, pangkat, jawatan, harta dan kemewahan dunia, semakin mengatasi semangat persaudaraan yang mengakibatkan konsep ukhuwah semakin dipinggir.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baru-baru ini, tular video TikTok oleh pereka kandungan luar negara yang menjadikan Malaysia sebagai contoh negara Islam yang aman dan damai bagi menolak dakwaan bahawa Islam menjadi punca keganasan serta peperangan.
Di ruangan komen, penuh komentar pengguna lain yang pernah melawat Malaysia memberikan pujian dan berkongsi pengalaman manis ketika berada di negara ini.
Dalam era digital yang semakin pesat tanpa sempadan dan kekangan, akhirnya kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak di marcapada tetapi juga di ruang maya.
Keunggulan Malaysia di mata dunia tidak hanya dapat disukat mengikut jumlah hutang negara berbanding jumlah pendapatan kasar negara. Lebih utama, apakah Malaysia diiktiraf sebagai negara berdaulat yang memenuhi erti sebenar kedaulatan negara bangsa.
Kerana itulah, pempengaruh media sosial kini mempunyai peranan yang tidak boleh dipandang ringan.
Mereka bukan sahaja mengetengahkan kandungan bagi menjana wang dan imbuhan tetapi perlu mengingati amanah yang jauh lebih bernilai iaitu sumbangan kepada negara dan bangsa.
Hari ini, seorang pempengaruh dengan ratusan ribu atau jutaan pengikut mampu mempengaruhi cara masyarakat melihat kehidupan, bahasa, budaya, sejarah dan negara sendiri.
Apa yang mereka lakukan, pakai, makan, tonton, katakan boleh ditiru bukan sahaja golongan muda, bahkan seluruh rakyat Malaysia. Pengaruh sebesar ini datang bersama tanggungjawab yang besar.
Malaysia mempunyai identiti yang terbina daripada sejarah yang panjang, kerencaman budaya, bahasa, adat dan pengalaman bersama sebagai sebuah negara.
Identiti ini merupakan pasak negara yang membolehkan kita bergerak ke hadapan tanpa kehilangan arah. Dalam konteks ini, pempengaruh memainkan peranan sebagai duta tidak rasmi nilai murni dan identiti Malaysia.
Kerana itulah, kemeriahan pereka kandungan media sosial yang mengetengahkan jati diri Malaysia perlu diraikan dan disokong. Ada beberapa pereka kandungan yang saya gemari dan wajar diketengahkan sebagai duta kecil Malaysia.
Antaranya Hiyaz Community yang mengetengahkan anak muda di Kota Bharu, Kelantan mengambil inisiatif membersihkan kawasan komuniti termasuklah memotong rumput di taman permainan kanak-kanak, menebang pokok yang tumbuh liar dan membaiki struktur awam yang usang.
Dengan hampir 80,000 pengikut di TikTok, beliau mempamerkan semangat semangat kejiranan, gotong-royong, integriti dan toleransi yang masih teguh kuat dalam identiti rakyat Malaysia di dunia moden.
Begitu juga dengan pereka kandungan yang memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai fokus utama mereka.
Pempengaruh seperti Mekyun dan ahli keluarganya mempunyai keupayaan luar biasa untuk menjadikan penggunaan bahasa kebangsaan sesuatu yang menarik, moden dan membanggakan.
Kandungan mereka yang menggunakan bahasa Melayu dengan baik, sambil meraikan bahasa dan budaya masyarakat lain, sebenarnya memperkukuh identiti kebangsaan tanpa menafikan kepelbagaian.
Lebih penting, pempengaruh perlu memahami kebebasan bersuara bukan bererti bebas daripada tanggungjawab. Algoritma media sosial cenderung memberi ganjaran kepada kandungan yang sensasi dan berkontroversi. Tetapi sesuatu yang mendapat jutaan tontonan tidak semestinya membawa jutaan manfaat.
Apabila fitnah, buli, dan kebencian dijadikan lumrah demi kandungan, kita sebenarnya sedang menghakis nilai sosial yang menjadi asas kepada kestabilan negara. Kedaulatan tidak hanya terancam apabila sempadan negara diceroboh.
Sebaliknya, kedaulatan negara juga boleh terhakis apabila rakyat kehilangan kepercayaan terhadap sesama sendiri dan tidak lagi mempunyai rasa bangga terhadap tanah tumpah darah mereka sendiri.
Kerana itulah, kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa, media arus perdana dan masyarakat juga mempunyai peranan yang perlu dimainkan bersama.
Kita memerlukan pendidikan literasi digital bagi memupuk minda kritis anak muda bukan sekadar cara menggunakan media sosial tetapi cara menilai apa yang mereka lihat, siapa yang mereka percaya dan nilai apa yang mereka serap.
TANGGUNGJAWAB
Pempengaruh yang benar-benar memahami tanggungjawab sosialnya tidak perlu mengajar rakyat mencintai Malaysia melalui slogan. Mereka boleh melakukannya melalui perkara yang dilihat sederhana melalui kandungan yang memaparkan keistimewaan Malaysia.
Sebagai contoh lain, Karabaw Monster yang menggunakan bahasa Melayu sebagai medium memberikan pendidikan mengenai alam sekitar khususnya kehidupan fauna di hutan.
Kedaulatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada siapa yang mengawal wilayahnya tetapi juga pada siapa yang membentuk fikirannya. Jika ruang digital kita dipenuhi kandungan yang memperlekehkan nilai murni, memecah-belahkan masyarakat dan menanam rasa malu terhadap identiti sendiri, sudah tentu sedekad lagi kita akan mendepani generasi akan datang yang semakin jauh dari akar mereka.
Sebaliknya, jika pempengaruh media sosial bijak menggunakan pengaruh mereka untuk mengangkat kesopanan, ilmu, integriti, budaya dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia, landasan ini boleh menjadi medan pembinaan negara.
Dalam dunia yang sempadannya semakin kabur, kita tidak boleh menghalang anasir luar yang tegar menyelusup masuk. Tetapi kita mampu kekal mempertahankan pasak negara agar kita tidak kehilangan diri sendiri. Sebetulnya, inilah bentuk kedaulatan yang paling penting untuk dipertahankan. –UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.











