PETALING JAYA: Bekas anggota polis, Saifuddin Abdul Kader memohon campur tangan Peguam Negara supaya siasatan berkenaan dirinya dipukul oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain pada 2015 dibuka semula.
Permohonan itu dibuat selepas Mohd. Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Peguam yang mewakili Saifuddin, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, anak guam mereka membuat laporan polis terhadap Mohd. Shuhaily pada 19 November 2015 ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Bagaimanapun, mereka mendakwa, tiada tindakan diambil berhubung laporan tersebut.
“Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang pengadu yang mendakwa dipukul Shuhaily pada 2015.
“Walaupun laporan polis sudah dibuat, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Shuhaily sehingga hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurut mereka, Saifuddin yang ketika itu berpangkat rendah turut berdepan pelbagai kesukaran dalam kerjayanya selepas membuat laporan berkenaan sehingga akhirnya diberhentikan.
Berdasarkan laporan polis dibuat, kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi pada 17 November 2015 ketika Saifuddin bertugas menjaga pos pengawal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Saifuddin mendakwa, Mohd. Shuhaily menegurnya kerana gagal memberikan tabik hormat sebelum memarahinya berulang kali di hadapan anggota lain.
Dia turut mendakwa, Mohd. Shuhaily menumbuk pergelangan tangan kirinya sekali ketika pertikaian itu berlaku, selain mengugut untuk menukarkannya ke Sabah atau Sarawak serta mengenakan tindakan tatatertib.
Peguam itu berkata, anak guam mereka percaya masih berpeluang mendapatkan keadilan, susulan keputusan Peguam Negara mendakwa Mohd. Shuhaily dalam kes di KLIA.
“Selepas melihat prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi ditunjukkan Peguam Negara dalam membawa pertuduhan terhadap Shuhaily, Saifuddin percaya dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran semasa.
“Kami dengan penuh hormat memohon kes ini disemak dan dipertimbangkan semula bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus ditegakkan tanpa diskriminasi,” katanya.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd. Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan dua anggota polis di KLIA.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-UTUSAN











