KOTA TINGGI: Suspek yang ditahan terlibat kes pembunuhan seorang peneroka warga emas menggunakan kapak di Felda Lok Heng Selatan, di sini ditahan reman selama tujuh hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap individu lelaki tempatan berusia 41 tahun itu dikeluarkan Hakim, Hidayatul Syuhada Shamsudin di Mahkamah Majistret Pengerang, di sini hari ini.
Perintah reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.45 sambil diiringi polis.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek berjaya ditahan pada pukul 10.26 pagi di dalam kebun kelapa sawit.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun ditemukan berlumuran darah dan terbaring di tepi jalan.-UTUSAN











