PETALING JAYA: Pelakon, Amir Ahnaf, memilih untuk tidak mengulas lanjut kontroversi yang mengaitkan namanya dengan seorang wanita sehingga tular di media sosial, baru-baru ini.
Amir atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 26, pada awalnya sekadar tersenyum ketika diajukan pertanyaan oleh pihak media sebelum menyifatkan apa yang dilaluinya ketika ini sebagai ujian oleh Allah.
“Saya manusia, hidup semua manusia ada liku-liku.
“Saya percaya apa yang saya hadap sekarang adalah yang ditakdirkan oleh Tuhan,” katanya menerusi satu temu bual video yang tular di media sosial.
Pelakon yang popular menerusi watak Kahar dalam drama Projek: High Council itu turut berharap agar peminat terus mendoakan kesejahteraan dirinya pada masa akan datang.
“Saya harap semua mendoakan kesejahteraan saya pada masa sekarang dan hadapan juga,” katanya.
Terdahulu, nama Amir sekali lagi menjadi perhatian apabila sebuah akaun media sosial berkongsi tangkap layar komen yang didakwa ditulis pelakon itu di sebuah akaun yang dianggap kurang sopan.
Kontroversi berkenaan turut mengheret rakan pelakonnya, Siti Khadijah Halim, apabila namanya menerima tempias susulan isu tersebut.
Bagaimanapun, Amir sebelum ini telah memohon maaf dan menafikan komen berkenaan mempunyai niat seksual sekali gus berharap agar Siti Khadijah tidak dikibatkan dalam kontroversi ini.
Bagaimanapun hantaran itu juga dilaporkan telah dipadamkan.











