RM409 juta aset ‘mafia korporat’ disita, dibekukan

RM409 juta aset ‘mafia korporat’ disita, dibekukan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409 juta yang merupakan sebahagian siasatan berterusan terhadap isu mafia korporat di bawah Op Viking.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia merangkumi lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham melibatkan sekitar RM323.59 juta dan 404 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM85.62 juta.

Beliau berkata, setakat 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Polis telah mengambil tindakan, termasuk penahanan beberapa individu serta pembekuan dan penyitaan pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai skop dan status terkini siasatan polis berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat, susulan arahan Kabinet untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Saifuddin berkata, berdasarkan latar belakang dan identiti individu yang dipanggil untuk memberi keterangan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat atau dikenal pasti perlu membantu siasatan.

Beliau berkata, Op Viking masih berjalan dan polis sedang berusaha untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Kementerian memberi jaminan bahawa pihak polis kekal komited untuk menjalankan siasatan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini