PETALING JAYA: Kejayaan merangkul tiga pingat di Kejohanan Lapua IWK Berlin 2026 menjadi tonik berharga buat skuad menembak menjelang Piala Dunia di Munich pada 24 Mei ini.
Sentuhan jurulatih menembak pistol negara, Mohamad Firdaus Abd. Rahim membuktikan keberkesanan perancangan rapi selepas skuad kebangsaan meraih masing-masing satu emas, perak dan gangsa.
Firdaus menyifatkan pencapaian tersebut sebagai penanda aras penting dalam fasa pertama penetapan petunjuk prestasi utama (KPI), sekali gus menjadi tonik terbaik menjelang cabaran lebih besar pada Piala Dunia.
Katanya, meskipun kejohanan di Berlin itu bukan bertaraf Piala Dunia, kehadiran beberapa atlet Olimpian dari negara lain tetap memberi tekanan tinggi dari sudut mental dan psikologi kepada barisan penembak negara.
“Ini adalah hasil daripada perancangan yang rapi, teliti dan tersusun. Kita berjaya capai sasaran fasa pertama dan yang lebih penting, atlet menunjukkan ketahanan mental yang baik dalam situasi pertandingan sebenar.
“Kita tidak melihat kejohanan ini sebagai kecil kerana tahap persaingan tetap tinggi. Ia medan ujian terbaik sebelum kita turun ke Munich nanti,” katanya.
Pada kejohanan tersebut, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin muncul penyumbang utama apabila menghadiahkan pingat emas acara 10 meter pistol udara wanita dengan catatan 574 mata.
Sementara itu, Johnathan Wong membawa pulang pingat gangsa dalam acara 10 meter pistol udara lelaki (576 mata) selain turut menyumbang dalam acara berpasukan campuran yang meraih satu lagi pingat Perak bersama Joseline Cheah.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan atlet, malah membuka ruang untuk menilai aspek teknikal serta kekuatan psikologi menjelang kejohanan lebih mencabar.
“Daripada kejohanan ini, kita dapat kenal pasti beberapa perkara penting terutama dari segi teknikal dan pengurusan tekanan semasa pertandingan.
“Ini penting sebagai persiapan bukan sahaja ke Munich, tetapi juga sebagai langkah awal menuju Sukan Asia pada September nanti,” ujarnya. – UTUSAN
CAPTION
(Dari kiri) Joseline Cheah, Johnathan Wong dan Nurul Syasya Nadhirah Mohd Arifin berkaya meraih pingat pada Kejohanan Lapua IWK Berlin 2026 pada 20 April lalu.










